Adik mendiang Teoh Beng Hock menggesa Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) mendesak Malaysia mewujudkan siasatan bebas terhadap kematian bekas pembantu exco Selangor itu sambil menegaskan kebimbangan berterusan mereka terhadap kes-kes kematian dalam tahanan di negara ini.
Berucap di Geneva, Teoh Lee Lan berkata: “Saya telah mengembara beribu-ribu batu untuk membawa tuntutan keadilan ini kepada anda. Saya meminta anda untuk mendesak pertanggungjawaban.”
Dia memberitahu perwakilan UNHRC 17 tahun selepas kematian Beng Hock, tiada sesiapa yang dipertanggungjawabkan walaupun Mahkamah Rayuan memutuskan pada tahun 2014 ia disebabkan oleh “perbuatan menyalahi undang-undang oleh orang yang tidak dikenali”.
“Kes abang saya bukanlah isu terpencil. Penyeksaan dan kematian dalam tahanan kekal menjadi kebimbangan serius di Malaysia. Beratus-ratus orang telah meninggal dunia...
“Saya menggesa Malaysia untuk membuka semula kes abang saya melalui siasatan jenayah bebas mengikut piawaian antarabangsa,” katanya.
Lee Lan menambah kerajaan Malaysia mesti membenarkan Prosedur Khas PBB, termasuk pelapor khas mengenai hukuman mati di luar institusi kehakiman melawat setelah lama tertangguh.
“Saya menggesa majlis ini untuk membangkitkan kematian dalam tahanan, termasuk kes ini (kematian Teoh), dalam penglibatan anda dengan Malaysia,” tegasnya.
Lee dan delegasinya juga dijadualkan bertemu dengan pegawai hak asasi manusia PBB, diplomat dan organisasi antarabangsa untuk membincangkan kes tersebut, serta kebimbangan yang lebih luas mengenai kematian dalam tahanan dan amalan penahanan di Malaysia.
Pada tahun 2009, Beng Hock - ketika itu pembantu kepada ahli majlis eksekutif Selangor, Ean Yong Hian Wah - ditemui mati selepas disoal siasat semalaman di SPRM Selangor, yang ketika itu berpangkalan di Plaza Masalam di Shah Alam.
Suruhanjaya siasatan diraja 2011 menyimpulkan bahawa dia telah didorong untuk membunuh diri oleh soal siasat yang agresif.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh tindakan yang menyalahi undang-undang, termasuk tindakan pegawai SPRM.
Pada 21 Nov tahun lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan polis untuk menyelesaikan siasatan terhadap kematiannya dalam tempoh enam bulan.
Pada bulan Mei, Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
