Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadir kes Arun Dorasamy: Saya hanya singgah sekejap, kata Kula
Diterbitkan:  Mar 17, 2026 3:01 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) M Kulasegaran menjelaskan kehadirannya bersama Arun Dorasamy ketika pengerusi Pasukan Tindakan Pemeliharaan Kuil (Tepat) itu berdepan pertuduhan mahkamah hari ini, susulan reaksi balas daripada pihak tertentu.

Katanya, dia singgah di Mahkamah Majistret Jawi di Pulau Pinang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur untuk bercakap dengan Arun tentang "mempercayai proses undang-undang".

"Saya mengenali Arun sejak saya mewakili M Indira Gandhi dalam cabaran undang-undangnya berkaitan anak-anaknya," kata Kulasegaran dalam satu kenyataan.

“Saya ingin menjelaskan bahawa saya hanya bertemu Arun sebentar di sekitar kompleks mahkamah sebelum beredar.

“Saya tidak hadir di bilik mahkamah ketika pertuduhan dibacakan dan prosiding dijalankan,” tambahnya.

Dia menekankan bahawa “seperti lazimnya” semua pihak adalah sama rata di sisi undang-undang, dan proses sewajarnya mesti dihormati.

Terdahulu, imej dan laporan berita merakamkan timbalan menteri berdiri bersama Arun dan pasukan guamannya sebelum aktivis itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Seksyen itu, yang menyebut bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi mereka dengan niat menyebabkan, atau yang boleh menyebabkan, kegentaran kepada orang ramai, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad, mempersoalkan mengapa Kulasegaran, yang juga anggota parlimen Ipoh Barat daripada DAP, hadir di mahkamah untuk "menemani" Arun .

“Kita tak nak perkara ini memberi gambaran yang salah kepada rakyat, seolah-olah kerajaan memihak kepada Arun atau cuba menunjukkan sokongan politik terhadap beliau.

“Kita bimbang juga tindakan ini boleh rosakkan imej Kerajaan Madani dan perdana menteri di mata rakyat Malaysia,” tambah Faezuddin dalam satu hantaran di Facebook.

Anggota Jawatankuasa Pusat PSM, Gandipan Nantha Gopalan, menegaskan bahawa sebagai anggota parlimen, peranan Kulasegaran adalah "bukan untuk memberikan sokongan kepada seorang rasis", tetapi untuk menggubal undang-undang yang lebih baik.

Arun Dorasamy

Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh, turut senada ketika membandingkan kes Arun dengan penceramah Zamri Zinoth yang turut didakwa di mahkamah hari ini.

“Adakah SOP berbeza sebab Arun diiringi oleh timbalan menteri berbanding Zamri?”  tulis Akmal di Facebook.

Dia berkata demikian ketika mempersoalkan kenapa Zamri digari sedangkan Zamri tidak.

Mendakwa bahawa perbezaan layanan itu adalah "implikasi" daripada kehadiran Kulasegaran, peguam Zainul Rijal Abu Bakar menegaskan bahawa seorang timbalan menteri undang-undang tidak sepatutnya hadir bersama orang tertuduh kerana ini boleh menggambarkan campur tangan dalam kehakiman.

Penasihat Persatuan Peguam Muslim Malaysia itu memberi amaran bahawa tindakan Kulasegaran boleh memberi gambaran kepada majistret bahawa tertuduh "tidak bersalah sebelum pun dibicarakan".

Menegaskan bahawa kehadiran Kulasegaran juga boleh "menyebabkan kegelisahan" kepada majistret, Zainul berkata: 

“YBTM (YB timbalan menteri) buatlah kerja YB. Biar undang undang menjalankan prosesnya.”

Malaysiakini telah menghubungi Kulasegaran untuk mendapatkan maklum balas dia terhadap kritikan tersebut.

Zamri Vinoth

Zamri dan Arun masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan. Undang-undang itu menetapkan bahawa mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.

Dalam kes Zamri, dia dituduh mengganggu ketenteraman awam melalui hantaran Facebook pada 3 Feb berhubung perhimpunan melibatkan "kuil haram".

Majistret Faezahnoor Hassan menetapkan ikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 April untuk sebutan kes seterusnya.

Arun, yang diwakili peguam T Gunaseelan, Balwant Singh Purba, dan Dickson Eng, didakwa menyebabkan ketakutan atau kegusaran awam melalui satu video di akaun Instagram dia pada 12 Mac tahun lepas.

Aktivis itu membayar ikat jamin selepas majistret Nurul Ainna Ahmad menetapkan jumlah RM5,000 dengan seorang penjamin, dengan 22 Jun ditetapkan untuk sebutan kes seterusnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS