Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, nampak agak teruja untuk membincangkan isu kepimpinan ulama atau kelayakan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon perdana menteri.
Ia bermula dengan pandangan diutarakan menantu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mengenai calon pilihannya untuk diangkat sebagai perdana menteri dari parti tersebut semalam.
Isu berkenaan menjadi pertikaian selepas akaun Facebook kendalian Dewan Ulama PAS Selangor mempersoalkan hujah Zaharudin yang enggan menerima jika Ahmad Samsuri yang dicalonkan sebagai perdana menteri PN.
Pandangan Dewan Ulama PAS Selangor itu dinyatakan dalam bahagian komen di bawah hantaran Zaharudin.
“Kepada admin (pengendali) page […] saya bukan sahaja bersedia, tapi bersetuju untuk muzakarah isu pokok, sama ada topik ‘hukum kepimpinan ulama dan cara perlaksanaannya’ atau ‘kelayakan Dr Samsuri sebagai PM menurut hukum.’
“Lama dah saya tunggu ada pihak dalaman untuk muzakarah,” kata Zaharudin hari ini.
Tambah Zaharudin, jika muzakarah itu dibuat sesuai dengan keadaan, dia sedia membentangkan pandangannya secara terus terang.
“Kalau nak buat tertutup, insya-Allah saya tak tapis.
“Saya alu-alukan juga kalau nak ajak sekali Dr Samsuri biar saya tajrih (menyatakan kelemahan atau kekurangan dengan tujuan yang dibenarkan agama) dia depan-depan dan dapat penjelasan (daripada) dia depan-depan terhadap apa yang dia buat sebelum ni,” katanya lagi.
Jawab reaksi Facebook
Zaharudin sebelum ini menyatakan kebimbangannya terhadap cadangan menaikkan Ahmad Samsuri sebagai pengganti Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, sebagai Pengerusi PN.
Pada pandangan Zaharudin, PAS berisiko hilang sehingga hampir 40 kerusi pilihan raya jika ahli politik terbabit diangkat juga menjadi orang nombor satu PN.
Bagaimanapun semalam nada Zaharudin sedikit berubah apabila menunjukkan persetujuannya agar Ahmad Samsuri dilantik sebagai ketua pembangkang, namun pada masa sama tetap menolak Naib Presiden PAS itu dicalonkan sebagai perdana menteri.
Di mata Zaharudin, orang yang layak ditawarkan sebagai perdana menteri dari PAS ialah sama ada timbalan presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man, atau seorang lagi naib presiden, Idris Ahmad.

Kedua-dua mereka pernah menjadi menteri dalam kerajaan PN selepas Langkah Sheraton.
Ekoran itu Dewan Ulama PAS Selangor semalam membangkitkan persoalan bagaimana pendirian Zaharudin jika Tuan Ibrahim dan Idris sendiri merestui Ahmad Samsuri menjadi calon perdana menteri.
“Adakah ustaz tetap keras dengan padangan peribadi ini?”
“Kalau begitu, memang patu la ustaz stay (kekal) sebagai YDP di kawasan saja dan tiada jawatan sebagai pemimpin tertinggi parti di peringkat negeri atau pusat,” kata sayap PAS itu lagi.
Bekas anggota Majlis Syura Ulama PAS Pusat itu menegaskan bahawa sebagai ahli “gerakan Islam” mengejar kepimpinan tertinggi bukan suatu idaman, malah ada perkara tertentu yang perlu dijauhi.
Selain itu, tambah Zaharudin, ada sesetengah orang yang perlu dijauhi.
Untuk menjelaskan pandangannya itu, Zaharudin memberitahu, dia menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat sejak 2017 atau 2018 walaupun mendapat hampir 100 pencalonan dari seluruh negara.

Mengulas lanjut mengenai calon perdana menteri seperti dibangkitkan Dewan Ulama PAS Selangor, Zaharudin berkata, tidak berbangkit isu Tuan Ibrahim atau Idris bersetuju dengan nama Ahmad Samsuri kerana ia tidak dibawa ke mesyuarat pun.
Malah Zaharudin mengemukakan dua soalan yang dianggapnya “lebih tepat” iaitu mesyuarat mana yang memutuskan Ahmad Samsuri menjadi calon perdana menteri, dan mengapa ada pihak yang mempromosikan Menteri Besar Terengganu itu sebagai calon PN berbanding Tuan Ibrahim atau Idris.
“Sedangkan dari segi senioriti dan pengalaman serta kelayakan hukum, mereka berdua (Tuan Ibrahim dan Idris) jauh lebih layak.
“Banyak kebaikan (Tuan Ibrahim) dan (Idris) sewaktu mereka berdua jadi menteri, kenapa kumpulan ini tak higlight dan angkat?” katanya lagi.
Menutup reaksinya, Zaharudin menegaskan dia menujukan soalan tersebut kepada pengendali akaun Facebook Dewan Ulama PAS Selangor dan bukan badan itu secara khusus.
“Kerana saya dah tanya kawan-kawan, ia bukan keputusan dewan, tapi admin Facebook sahaja,” katanya.
