Kerajaan hari ini memaklumkan saranan supaya sektor perkhidmatan awam bekerja dari rumah (WFH) – jika dipersetujui untuk dilaksanakan – tidak akan melibatkan sektor pendidikan dan kesihatan.
Perkara itu dimaklumkan jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, pada sidang media mingguan selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.
"Tidak, (pada) waktu ini tidak melibatkan sektor pendidikan, sektor kesihatan, yang bersifat frontline (barisan hadapan)," katanya.
Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata demikian ketika diminta mengesahkan perkara itu.Pada sidang media itu juga Fahmi memberitahu, kabinet menerima laporan awal daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar yang disediakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mengenai cadangan WFH bagi sektor awam.
"Perdana menteri telah minta beberapa perkara disusuli dengan lebih rapi dan dibentang untuk dibuat keputusan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan datang yang akan dibuat selepas Aidilfitri.
"Ini yang menjadi keutamaan, semestinya sektor-sektor yang bukan kritikal, perdana menteri telah minta KSN membentangkan dengan lebih penuh pada mesyuarat MTEN akan datang," katanya.
Terdahulu Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta KSN dan KPPA meneliti cadangan pelaksanaan WFH untuk pastikan beberapa perkara terselaras untuk sektor awam.
Ia dilihat sebagai antara langkah penting bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, bencana atau krisis kesihatan awam.
Susulan konflik di Asia Barat beberapa negara Asean termasuk Thailand, Vietnam dan Filipina mengumumkan langkah berjaga-jaga, antaranya WFH bagi mengurangkan penggunaan tenaga, selain menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dan hibrid.
