Mekanisme pemberian Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) perlu diteliti semula dengan rapi bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan, khususnya dalam menangani penyeludupan bahan bakar seperti diesel di Sabah dan Sarawak, kata Jurucakap kerajaan Madani, Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata perkara itu ditekankan dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini susulan maklum balas hasil mesyuarat jawatankuasa yang mengurus aspek penguatkuasaan berkaitan penyeludupan bahan bakar.
"Antara yang diberi penegasan ialah mekanisme SKDS ataupun pemberian subsidi diesel yang mungkin perlu diteliti dengan lebih rapi, sama ada diteruskan dengan mekanisme yang sedia ada ataupun dirangka satu mekanisme yang berbeza," katanya dalam sidang media pascamesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Fahmi berkata kabinet turut membincangkan penyelarasan pembahagian tugas antara agensi penguatkuasaan bagi memperkukuh tindakan di lapangan, selain menangani isu penyalahgunaan dan penyelewengan diesel.
Dia berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan memfokuskan penguatkuasaan di darat, manakala Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kawasan perairan dan juga di kawasan sungai.
“Kawasan sempadan negara pula akan diurus oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan,” katanya.
- Bernama
