ULASAN | RM26 juta tunggakan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) — kurang daripada 1 peratus bajet Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Namun reaksi kita sering sama — menyalahkan, melabel, dan memalukan.
Komen-komen tipikal cepat bertukar menjadi stereotaip rasis — “kakitangan kerajaan”, “bawa Myvi”, “malas”, “nak sewa tapi tak bayar”, dan sebagainya.
Tetapi jika diperhatikan, banyak suara ini datang daripada profil tanpa identiti jelas, akaun tidak aktif, atau “keyboard warriors” yang gemar melabel dan menyerang tanpa tanggungjawab.
Di sebalik angka ini adalah keluarga.
Setiap kes mungkin mempunyai kisah tersendiri — sakit, kehilangan pencari nafkah secara tiba-tiba, perceraian, atau ditinggalkan. Adakah kita mahu menyamaratakan semuanya dengan satu label ‘malas’? Adakah kita sanggup menjadikan mereka gelandangan untuk dihina dan dibuli?
Bagaimana pula dengan anak-anak mereka?
Anak-anak yang terpaksa menanggung stigma — bukan kerana kesalahan mereka, tetapi kerana persepsi masyarakat. Pendedahan dan penghinaan secara terbuka hanya menambahkan beban ini.
Adakah kita sudah lupa bagaimana rasanya disasar, dipijak atau dibuli?
Atau mungkin kita tidak pernah melaluinya — lalu mudah untuk bersikap keras?
Kemiskinan bukan sekadar “enggan membayar”.
Ia adalah kitaran — pendapatan tidak stabil, kos hidup meningkat, dan peluang yang terhad. Kadangkala ia “vicious circle” sosial.
Istilah kuil ‘haram’
Begitu juga apabila rumah ibadat dilabel secara mudah sebagai “haram” atau tidak sah.
Perkataan “haram” bukan sekadar istilah undang-undang. Ia membawa makna agama, emosi, dan kadangkala nada penghukuman.
Bagi penganut, ia menyentuh soal kepercayaan dan identiti.
Bagi yang lain, ia boleh membawa maksud penghinaan atau penolakan.
Sedangkan banyak kes melibatkan sejarah panjang, toleransi berdekad, dan isu tanah yang kompleks — malah ada yang berpunca daripada kelemahan pentadbiran atau janji yang tidak ditunaikan oleh politikus.
Masalah sebenar bukan sekadar angka atau status undang-undang.
Tetapi kecenderungan kita untuk menyederhanakan realiti kompleks menjadi stereotaip.
Lebih membimbangkan apabila sentimen agama atau sosial dieksploitasi sehingga mendorong reaksi berbentuk “mob”, tanpa mengambil kira prinsip keadilan dan kesaksamaan.
Kita boleh tegas tanpa menjadi kejam.
Kita boleh memilih untuk berbuat baik sambil mempertahankan nilai kita.
Kita boleh menegakkan undang-undang tanpa kehilangan empati.
Kerana masyarakat yang adil tidak dinilai dari cara ia menghukum golongan yang lemah.
Tetapi dari cara ia memahami dan membantu mereka.
Saya mengimpikan sebuah Malaysia yang lebih berperikemanusiaan dan kurang menghakimi atau label dan stereotyping - bukan masyarakat yang dipacu oleh kemarahan tanpa wajah atau identiti palsu, tetapi oleh masyarakat yang mempunyai nilai kemanusiaan, kesucian dan bermaruah.
TI LIAN KER merupakan bekas naib presiden MCA.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
