Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kita sudah menang' – Israel dakwa Iran sudah lumpuh
Diterbitkan:  Mar 18, 2026 9:59 AM
Dikemaskini: 1:59 AM

Menteri Luar Israel Gideon Saar pada Selasa berkata negara itu secara berkesan telah memenangi perangnya dengan Iran, namun tidak memberikan sebarang petunjuk bila konflik itu akan berakhir.

Bercakap pada satu sidang media, Saar sebaliknya berkata, bahawa kempen tersebut akan diteruskan sehingga objektifnya tercapai.

Menurutnya, Israel sedang berusaha untuk menghapuskan "ancaman kewujudan", tetapi tidak menyatakan bagaimana kerajaan akan menentukan bila matlamat tersebut sudah dipenuhi.

"Kita sudah menang," katanya sambil menyifatkan Iran dilemahkan secara ketara, berbanding sebelum perang bermula pada 28 Februari lalu, menerusi serangan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

"Perkara ini jelas bagi kita dan negara jiran, namun misi ini akan diteruskan sehingga ia disempurnakan.

"Kita perlu bersabar," katanya, ketika berucap pada hari ke-18 peperangan yang telah mengorbankan lebih 2,000 orang, kebanyakannya di Iran dan Lubnan, selain di Israel, Iraq dan seluruh rantau Teluk.

Gulingkan pemerintah Iran

Media Barat juga memetik Saar dan pegawai Israel yang lain sebagai berkata matlamat mereka adalah untuk melemahkan keupayaan Iran secara signifikan bagi melancarkan serangan terhadap Israel dalam jangka masa panjang, sambil mewujudkan keadaan di dalam Iran yang akhirnya membolehkan rakyat negara itu menggulingkan pemerintah mereka.

Bagaimanapun, Saar pada Selasa turut mengakui bahawa "rejim" di Iran hanya boleh ditumbangkan oleh rakyat Iran sendiri — satu pengakuan jelas bahawa kebangkitan rakyat nampaknya tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Tentera Israel menyatakan ia telah melancarkan serangan udara ke atas pelancar peluru berpandu balistik Iran, serta kemudahan penyimpanan dan pengeluaran. Ia juga telah mengebom tapak yang dikatakan mempunyai kaitan dengan program nuklear Iran, selain menyerang pasukan keselamatan.

Walaupun Saar mendakwa kemenangan, yang senada dengan kenyataan Presiden Donald Trump pada 11 Mac, Iran tetap melancarkan pelbagai tembakan peluru berpandu ke arah Israel pada Selasa, menonjolkan keupayaan berterusan Tehran untuk melakukan serangan jarak jauh selepas lebih dua minggu berperang.

Pentadbiran Trump memberikan isyarat yang bercampur-campur tentang bila konflik itu akan berakhir, ada kalanya membayangkan ia akan tamat tidak lama lagi, namun pada masa sama menunjukkan kempen tersebut masih berjalan.

Tugas sangat penting

Pegawai Israel tidak memberikan sebarang garis masa, manakala pihak tentera menyatakan mereka mempunyai rancangan perang untuk tiga minggu akan datang dan seterusnya.

"Kami sedang melakukan tugas yang sangat penting," kata Saar, sejurus selepas Menteri Pertahanan negara itu, Israel Katz, mengumumkan bahawa tentera negara mereka telah membunuh ketua keselamatan tertinggi, Ali Larijani.

Perang AS-Israel dengan Iran telah mengheret rantau itu ke dalam kancah pergolakan, dengan Israel kini turut bertempur dengan Hezbollah yang disokong Iran di Lubnan, manakala Tehran melancarkan serangan ke atas negara-negara Arab Teluk.

Iran juga secara berkesan telah menutup Selat Hormuz di pintu masuk ke Teluk — laluan bagi 20 peratus aliran minyak dan gas asli cecair dunia — yang mengakibatkan kenaikan harga tenaga dan kebimbangan terhadap inflasi.

Beberapa sekutu AS telah menolak seruan Trump untuk menghantar kapal perang bagi mengiringi kapal tangki melalui laluan air tersebut, dengan sebahagiannya mengkritik Washington dan Israel kerana gagal berunding dengan mereka sebelum melancarkan perang.

Saar menyifatkan tindakan Iran menyekat laluan air itu sebagai "lanun moden" dan berkata ia merupakan masalah global.

Menteri Luar Estonia, Margus Tsahkna, yang bercakap bersama Saar pada sidang akhbar itu, memberi isyarat bahawa ahli NATO dan Kesatuan Eropah terbuka untuk mengambil bahagian dalam misi pimpinan AS bagi membuka semula laluan air strategik berkenaan, namun menyatakan Washington perlu menjelaskan objektifnya serta bentuk sokongan yang diperlukan terlebih dahulu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS