Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tok Dalang Cina terus hidupkan wayang kulit Kelantan
Diterbitkan:  Mar 18, 2026 12:00 PM
Dikemaskini: 4:00 AM

Bermula dengan rasa ingin tahu, minat itu akhirnya mencorakkan perjalanan seni seorang kanak-kanak kampung selama lebih enam dekad, yang kini masih setia menghidupkan warisan wayang kulit.

Eyo Hock Seng, 71, atau lebih mesra disapa Pak Cu mula berjinak-jinak dengan dunia kesenian tradisional itu seawal usia 12 tahun, sebelum mengasah bakatnya sehingga mampu menubuhkan kumpulan sendiri dikenali sebagai Kumpulan Seri Campuran pada 1968.

Keunikan kumpulan yang diterajui lelaki berketurunan Cina itu bukan sahaja terletak pada persembahannya, malah turut mencerminkan semangat perpaduan teguh apabila dianggotai oleh dua ahli berketurunan Cina dan lima ahli berketurunan Melayu.

“Saya mula berminat dengan seni wayang kulit ketika masih di bangku sekolah kerana sering mengikuti persembahan yang menjadi rutin di kampung saya ketika itu.

“Ketika berusia belasan tahun, saya sudah mengikuti beberapa tok dalang seperti Hashim Ali, Pak Nik Mat dan Abdullah bagi melihat secara lebih dekat bagaimana persembahan itu dikendalikan,” katanya kepada Bernama di Kampung Pasir Parit di Pasir Mas baru-baru ini.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata antara kriteria utama seorang tok dalang adalah kemampuan menguasai ‘buka panggung’ serta kemahiran menyesuaikan jalan cerita dengan isu semasa agar penonton tidak bosan.

Beliau berkata setiap persembahan lazimnya mempunyai tema tertentu termasuk naskhah klasik seperti Seri Petala, selain menyuntik elemen patriotisme bersempena dengan sambutan kemerdekaan atau perayaan seperti Tahun Baharu Cina.

“Untuk menjadi tok dalang muda yang mahir memainkan semua alat muzik, seseorang memerlukan kira-kira lima tahun untuk mempelajari segala ilmu berkaitan dan selepas itu barulah saya beralih kepada tok dalang tua yang bukan sahaja perlu mahir bercerita tetapi mampu mempelbagaikan suara watak,” katanya.

Sepanjang penglibatannya, Pak Cu mampu menghasilkan sehingga 120 variasi suara bagi menghidupkan pelbagai karakter termasuk raja, permaisuri, pahlawan hingga ke watak pengasuh.

“Sekiranya dalam sesebuah cerita terdapat lima watak pengasuh, saya perlu menghasilkan lima suara berbeza bagi menghidupkan setiap karakter,” katanya.

Pak Cu berkata sepanjang lebih 60 tahun bergiat aktif dalam seni wayang kulit, beliau bersama empat lagi ahli kumpulannya yang masih setia hingga kini berpeluang mengadakan persembahan di Thailand, Singapura, Indonesia, Taiwan, Hong Kong, Perancis dan terbaharu di China tahun lepas.

Selain mahir mengendalikan persembahan, Pak Cu juga berbakat menghasilkan sendiri pelbagai alat muzik yang digunakan dalam wayang kulit seperti gedombak, geduk, gendang, kerincing, canang dan gong, kemahiran yang dipelajarinya sejak berusia awal 20-an.

Beliau turut memiliki kepakaran menghasilkan patung watak wayang kulit menggunakan kulit lembu dan kambing, khususnya bagi karakter yang bersaiz lebih kecil.

“Proses membuat patung biasanya mengambil masa antara dua hari hingga dua minggu bergantung kepada tahap kesukaran. Kulit perlu dijemur selama tiga hari serta dibuang bulunya sebelum dilukis karakter dan selepas itu dipasang dengan buluh serta dicat mengikut watak yang diperlukan,” katanya.

Pak Cu berkata patung wayang kulit biasanya dijual antara RM200 hingga RM1,000 bergantung kepada kerumitan, namun beliau terpaksa menghentikan tempahan sejak dua tahun lepas berikutan masalah penglihatan yang semakin merosot.

Kini, fokus utamanya adalah untuk memastikan seni itu tidak terkubur dengan melatih cucunya, Eyo Adam, 14, agar mewarisi bakat dan kepakaran seni berkenaan.

“Saya harap cucu saya dapat meneruskan seni ini supaya wayang kulit tidak hilang ditelan zaman dan terus dikenali oleh generasi akan datang,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS