Bekas perdana menteri, Najib Razak telah memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung saman RM1.9 juta terhadap bekas peguam negara, Tommy Thomas, selepas Mahkamah Rayuan menolak kes tersebut pada Januari lalu.
Dalam usul yang difailkan bulan lalu, pasukan peguam Najib daripada firma guaman Tetuan Raj, Ong & Yudistra mengemukakan tiga persoalan undang-undang:
Sama ada tuntutan sivil (tort) proses berniat jahat wajar diperkenalkan sebagai kausa tindakan di bawah undang-undang Malaysia, dan jika ya, apakah elemen serta skop bagi kausa tindakan ini?
Sama ada seseorang peguam negara, berdasarkan kelakuannya sebelum pertuduhan dikemukakan terhadap tertuduh, kelakuan selepas pertuduhan dibuat, dan kelakuan selepas pegawai awam tersebut (dalam kes ini bekas peguam negara) meninggalkan jawatan, boleh dianggap (jika terbukti) sebagai tuntutan sivil proses berniat jahat?
Sama ada tuntutan sivil salah laku dalam jawatan awam (misfeasance in public office), khususnya melibatkan tindakan peguam negara berkaitan kelakuannya sebelum, semasa, dan selepas memegang jawatan, adalah bergantung kepada keputusan pendakwaan jenayah tersebut?
Sementara itu, peguam Yudistra Darma Dorai memberitahu media bahawa permohonan kebenaran merayu tersebut akan didengar pada 30 Julai ini.
“Ini berkaitan dengan dakwaan anak guam saya terhadap tindakan, kelakuan dan kecuaian bekas Peguam Negara berhubung Najib Razak, sebelum semasa dan selepas Thomas menjadi peguam negara,” katanya.
Pada 13 Jan lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib, 72, untuk menghidupkan semula saman terhadap Thomas.
Dalam penghakimannya, panel tiga hakim yang diketuai oleh P Ravinthran berkata walaupun mahkamah tidak bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi sebelum ini bahawa peguam negara mempunyai imuniti terhadap saman sivil, namun mahkamah bersetuju bahawa saman Najib adalah pramatang.
Ini kerana kes jenayah belum bermula ketika ia difailkan.
Mahkamah Rayuan kemudian turut memerintahkan Najib membayar kos sebanyak RM12,000 kepada Thomas.
Pada 25 Nov 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib tanpa perbicaraan penuh.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah memfailkan saman tersebut pada 22 Okt 2021 yang mendakwa Thomas menyalahgunakan kuasanya apabila mendakwanya berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menerusi saman itu, Najib mendakwa Thomas telah bertindak secara berniat jahat apabila memfailkan pertuduhan terhadap beliau berkaitan kes 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC).
Pertuduhan itu termasuk salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan beberapa pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Antara lain, Najib memohon deklarasi mahkamah bahawa Thomas telah melakukan tort salah laku dalam jawatan awam dan menuntut ganti rugi khas RM1.9 juta merangkumi kos yang ditanggung bagi melantik pasukan audit untuk menyemak dokumen serta menyediakan pembelaan bagi prosiding jenayah.
Thomas berkhidmat sebagai Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020.
