Bekas menteri sumber manusia Steven Sim menegaskan bahawa dia akan sentiasa memihak kepada pekerja dalam pertikaian perusahaan di mahkamah, sambil menambah bahawa rekodnya dalam kerajaan secara konsisten mencerminkan pendekatan tersebut.
Katanya, kritikan lalu daripada majikan bahawa dia "terlalu menyebelahi pekerja" adalah bukti pendirian pro-pekerjanya yang konsisten sepanjang memegang jawatan menteri, lapor Free Malaysia Today.
“Pendirian saya sangat jelas. Sejak berkhidmat di kementerian, pendirian saya jelas dan terbukti melalui apa yang saya lakukan, sama ada dari segi dasar, program atau undang-undang – kami berpihak kepada pekerja. Itu sangat jelas,” katanya selepas pelancaran jawatankuasa sambutan ulang tahun ke-60 DAP di Kuala Lumpur, hari ini.
Sim, yang kini berkhidmat sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi, berkata pendiriannya dalam isu tersebut kekal, dan semua prosiding yang sedang berjalan harus diserahkan kepada badan kehakiman.
“Kes ini sedang dibicarakan dalam mahkamah, jadi saya fikir kita perlu biar mahkamah putuskan. Tetapi pendirian saya jelas: untuk menjaga kepentingan rakyat, khasnya majoriti, khasnya pekerja.
“Kes mahkamah masih berjalan. Kita biar mahkamah buat keputusan seterusnya,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa seorang bekas menteri sumber manusia bertindak secara berat sebelah dengan campur tangan dalam pertikaian antara bank dan pekerja mereka berhubung pembayaran bantuan sambutan Hari Raya tahun 2024.
Hakim Aliza Sulaiman dilaporkan berkata, Sim dilihat menyokong cadangan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) berhubung pembayaran ex gratia untuk 2024, sekali gus menjejaskan peranan kementerian sebagai penimbang tara neutral.

Walaupun mahkamah tidak menamakan menteri yang terlibat dalam perkara itu, Nube ketika itu telah menuduh Sim menyalahgunakan kuasa dan pecah amanah.
Pada masa itu, Nube mendakwa Sim mengetepikan pekerja demi rundingan dengan majikan mereka, yang diwakili oleh Persatuan Bank-Bank Komersial Malaysia (MCBA), bagi pembayaran bantuan perayaan.
Walaupun Nube berhujah bahawa pembayaran itu merupakan sebahagian daripada persefahaman yang dicapai di bawah perjanjian kolektif kedua-dua pihak dan kakitangan bank berhak mendapat bantuan perayaan tersebut, pihak bank sebaliknya mencadangkan pembayaran ex-gratia sekali bayar yang dikurangkan, yang ditolak oleh kesatuan itu.
Perkara itu dibawa ke Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) untuk perdamaian. Nube kemudiannya memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan menteri ketika itu untuk merujuk pertikaian tersebut ke mahkamah perusahaan.
