Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MIC akan kekal tanding di Sabai jika sertai PN

Perikatan Nasional (PN) Pahang bakal memperoleh satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tambahan jika MIC secara rasmi menjadi sebahagian daripada parti dalam gabungan itu.

Timbalan Pengerusi PN Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, ini kerana parti itu memiliki satu kerusi, DUN Sabai yang dimenangi V Arumugam dalam PRU ke-15.

"Kalau ikutkan perkara ini sudah diumumkan secara rasmi oleh Setiausaha Agung PAS (Takiyuddin Hassan)... cuma ada 'masalah sikit' kerana Timbalan Presiden MIC, M Saravanan kata mereka belum buat keputusan rasmi.

"Tapi kalau MIC sah jadi sebahagian daripada PN, macam di Pahang, kita ada tambahan satu kerusi... sekarang ada 17 kerusi DUN, tambah satu (Sabai) jadi 18.

"Dan kalau MIC masuk PN, kerusi itu kita bagi mereka teruskan (tanding) ikut prinsip status quo untuk PRU ke-16," katanya kepada media semasa majlis santai di Pusat Khidmat DUN Panching, dekat Kuantan, hari ini.

Untuk rekod Arumugam adalah calon tunggal MIC di Pahang dalam PRU ke-15. Dia memenangi kerusi Sabai dalam pertandingan tiga penjuru, termasuk melibatkan penyandang, D Kamache dari DAP.

MIC merampas kerusi tersebut dengan majoriti 96 undi.

Rosli yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mengakui penyertaan MIC dalam PN boleh memberi nilai tambah kepada gabungan itu.

Walaupun PAS memiliki Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang ahlinya daripada pelbagai kaum, namun kemasukan MIC dilihat dapat menarik sokongan daripada komuniti India.

"Sebab dalam DHPP pun kita dah kuat, ada sokongan daripada pelbagai kaum dan apabila MIC pula masuk PN, boleh bantu lagi menarik sokongan masyarakat India sebab bukan semua orang India sokong DAP, PH dan BN," jelasnya.

Isu kuil

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu kuil haram dan penggunaan 3R dalam menyiasat peserta demonstrasi baru-baru ini, Rosli memaklumkan perkara itu sepatutnya boleh diselesaikan dengan baik jika kerajaan pandai menguruskan isu berkenaan.

"Ia menjadi seperti tidak terkawal kerana kerajaan gagal membuat keputusan dalam hal berkaitan.

"Kita perlu lihat cara atau pendekatan diambil kerajaan Kedah dalam menyelesaikan isu kuil di negeri itu... yang tidak ada geran, dipindahkan ke kawasan lain yang mempunyai geran.

"Kalau ikut peruntukan undang-undang, duduk berbincang dan saya percaya masalah ini bukan jadi isu besar," katanya.

Perkara itu turut dipersetujui Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu.

Dia menegaskan punca kemelut membabitkan kuil berpunca daripada kelemahan kerajaan dalam penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

"Bagi pendapat saya, isu ini bukan isu agama tapi kita lihat isu ini membabitkan isu pematuhan undang-undang.

"Kalau kita ambil sikap dan pendirian dalam hal ini dengan merujuk kepada peraturan dan undang-undang, perkara ini boleh selesai.

"Sekarang ini sampai ada demonstrasi... ada tangkapan dan ada pula siasatan sampai ke elemen 3R, padahal isu asasnya adalah pematuhan undang-undang, kalau tiada geran, pindah ke tempat baru.

"Ini yang kita bimbang, apabila kerajaan gagal mengawal dan menguruskan isu sensitif sebegini dengan baik, mereka guna 3R... janganlah sampai guna 3R sebagai 'kambing hitam' bila gagal urus sesuatu isu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS