Pengendali taman peringatan, Xiao En percaya insiden melibatkan kehilangan bekas simpanan abu mayat baru-baru ini mungkin mempunyai kaitan dengan organisasi jenayah rentas sempadan.
Xiao En berkata pihaknya telah mengambil langkah segera untuk menyemak dan memperkukuh proses pengurusan dan keselamatan bagi mencegah kejadian serupa berulang.
Syarikat itu memaklumkan laporan polis telah dibuat selain semua ahli keluarga yang terlibat telah dihubungi dan diberitahu mengenai kejadian itu.
"Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai siasatan jenayah, dan kami memberikan kerjasama sepenuhnya,"katanya.
Menurut Bernama, syarikat itu turut memberikan bantuan termasuk mengiringi ahli keluarga untuk membuat laporan polis dan mengatur tindakan susulan.
"Kami akan terus membantu dalam usaha mencari bekas yang hilang," menurut kenyataan itu.
Xiao En turut menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Sebelum ini polis dilaporkan menahan empat individu berhubung kehilangan 22 bekas simpanan ab mayat di sebuah taman peringatan di Johor, dipercayai kes kecurian untuk dijual semula.
Semalam, polis Negeri Sembilan memaklumkan sedang menyiasat kes kehilangan 15 bekas simpanan abu mayat dari sebuah taman peringatan di Nilai.
Ketua Polis Daerah Nilai, Johari Yahya berkata suspek telah menghubungi pihak pengurusan dan menuntut bayaran bagi memulangkan bekas abu mayat tersebut.
Menurutnya siasatan setakat ini mendapati seorang suspek telah menghubungi pihak pengurusan melalui WhatsApp menggunakan nombor luar negara, dengan mendakwa dia menemui bekas simpanan abu mayat tersebut.
Suspek juga menuntut bayaran bagi pemulangan tempayan itu, katanya.
Johari berkata kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan, Seksyen 384 kerana peras ugut, dan Seksyen 297 kerana menceroboh tempat perkuburan.
