Ikatan kasih sayang antara Adam Mikhael dengan keluarga angkatnya yang berbangsa India kembali mencuri perhatian warganet apabila kanak-kanak berusia tiga tahun itu dilaporkan mengalami demam dan meracau akibat terlalu merindui “Amma” dan “Appa”.
Menurut ibu kandungnya, Shaidatul Naqiyah, 26, kesihatan Adam mula merosot selepas sudah hampir sebulan tidak bertemu keluarga angkatnya.
Katanya, pada awalnya Adam hanya mengalami batuk dan selsema ringan, namun anaknya itu kemudian mula meracau serta menangis sambil memanggil “Amma” dan “Appa”.
“Selepas kami buat panggilan video, mungkin Adam ingat dah boleh pergi jumpa mereka.
“Dia tunggu dan berharap. Sampai satu tahap dia menangis tersedu-sedu sebab terlalu rindu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Tambah Shaidatul, dia terpaksa membawa Adam ke klinik selepas suhu badannya meningkat secara mendadak.
Menurutnya, sebelum itu Adam sudah beberapa kali meminta untuk pergi ke rumah keluarga angkatnya itu, namun terpaksa ditangguhkan susulan beberapa kekangan.
Kata Shaidatul, mereka perlu ulang alik ke hospital untuk menjaga ahli keluarga yang kurang sihat.
“Bukan tak nak bagi jumpa, tapi keadaan tak mengizinkan. Jadi saya cuba tenangkan Adam supaya dia tak terlalu berharap,” katanya.

Namun dia tidak menyangka kerinduan itu memberi kesan sehingga menjejaskan kesihatan anaknya.
Risau dengan keadaan Adam, pasangan itu akhirnya nekad untuk datang berjumpa dengan anak angkat mereka itu, dengan menempuh perjalanan hampir sejam menaiki motosikal dalam hujan lebat dari Sungai Besi ke Rawang.

“Walaupun hujan, mereka tetap datang. Bila mereka sampai, Adam terus nampak tenang, seolah-olah lega dapat lepaskan rindu,” katanya.
Sebelum ini, kemesraan Adam dapat dilihat menerusi video dimuat naik ibunya yang menunjukkan kanak-kanak itu begitu riang dan selesa bersama keluarga angkatnya, Banupiriya, 33, dan suaminya, Gunaseelan, 33, yang dipanggil ‘amma’ dan ‘appa’ oleh Adam.
Hubungan akrab mereka sering menarik perhatian warganet sehingga setiap video yang dikongsi meraih tontonan tinggi, malah ada yang mencecah jutaan penonton.
Ikatan sejak bayi, hubungan kekal walau berjauhan
Menurut Shaidatul, hubungan rapat antara Adam dan pasangan itu telah terjalin sejak anaknya berusia tiga bulan.
Katanya, ketika itu, dia mencari pengasuh melalui aplikasi Facebook selepas habis berpantang dan perlu kembali bekerja sebagai host siaran langsung di TikTok.
“Saya buat iklan cari pengasuh. Ramai yang hubungi, tapi saya tertarik dengan cara mereka perkenalkan diri yang jujur dan terbuka,” katanya.

Walaupun pada awalnya berasa ragu-ragu, Shaidatul akhirnya memberi peluang kepada pasangan itu menjaga anak hasil perkahwinan keduanya itu.
“Mulanya memang was-was sebab perbezaan kaum dan agama, tapi saya cuba. Lama-lama saya nampak mereka jaga Adam dengan penuh kasih sayang,” katanya.
Adam dijaga oleh pasangan itu sehingga berumur enam bulan sebelum Shaidatul mengambil semula tanggungjawab menjaga Adam sepenuhnya.
Namun ketika umur Adam hampir mencecah dua tahun, hubungan mereka kembali erat selepas Shaidatul mempertemukan mereka semula kerana mengakui berasa bersalah jika tidak membawa Adam bertemu dengan bekas pengasuhnya itu.
“Sejak itu, Adam kerap ke rumah mereka. Kadang-kadang bermalam beberapa kali dalam sebulan,” katanya.
Menurut Shaidatul, setiap kali dihantar, Adam tidak pernah menunjukkan tanda tidak selesa.
“Dia tak menangis bila saya hantar, tapi macam merajuk bila nak balik. Dari situ saya tahu dia seronok dan selesa di sana,” katanya.
Tambahnya, pasangan itu sentiasa meminta izin sebelum membawa Adam keluar atau membenarkan dia bermalam, selain sangat menjaga kebajikan anaknya.
“Mereka sangat sayangkan Adam kerana ketiga-tiga anak mereka perempuan serta belum dikurniakan cahaya mata lelaki,” katanya.
Walaupun berlainan agama dan budaya, mereka tetap berusaha memahami keperluan Adam dengan bertanya dan mempelajari perkara asas berkaitan Islam kepada Shaidatul bagi memastikan penjagaan yang diberikan sesuai dan selesa untuk kanak-kanak itu.
Dalam masa sama, Shaidatul menjelaskan pasangan berkenaan yang beragama Kristian sentiasa menghormati cara hidup keluarga mereka, termasuk aspek pemakanan dan persekitaran sepanjang menjaga Adam.
“Mereka jaga makan minum, kebersihan dan kesihatan Adam dengan baik. Mereka juga tak pernah minta sebarang bayaran, cukup dapat jumpa Adam saja,” katanya.
Shaidatul berkata, hubungan rapat itu turut mempengaruhi perkembangan Adam yang kini boleh bertutur dalam bahasa Tamil.

Lebih menyentuh hati, katanya, Adam melihat “Appa” sebagai figura bapa dalam hidupnya.
“Adam memang sangat rapat dengan Appa. Dia membesar tanpa kehadiran seorang ayah, justeru Adam sayang Appa seperti ayah sendiri,” katanya.
Menurut Shaidatul, “Appa” seorang yang lemah lembut, penyayang dan penyabar serta jarang meninggikan suara manakala “Amma” pula lebih tegas tetapi sangat mengambil berat terhadap kebajikan Adam.
Layanan yang diberikan tidak ubah seperti anak kandung sendiri, menjadikan Adam membesar dalam suasana penuh kasih sayang.
“Gabungan itu buat Adam rasa seperti ada keluarga lengkap bila bersama mereka,” katanya.
Selepas berkahwin baru, kata Shaidatul dia perlu berpindah ke Rawang. Faktor jarak ini telah menyebabkan mereka tidak dapat bertemu sekerap dahulu.
Namun katanya, dia akan tetap berusaha memenuhi permintaan kedua-dua pihak setiap kali berpeluang.
“Kalau mereka rindu atau minta, saya akan cuba hantar,” katanya.
Shaidatul berkata, pengalaman melihat anaknya demam akibat rindu membuka matanya tentang kekuatan ikatan emosi yang terjalinan antara mereka.
Dia juga berharap hubungan antara Adam dan keluarga angkatnya itu akan terus berkekalan sehingga anaknya dewasa.
Dalam pada itu, Shaidatul turut berharap agar masyarakat lebih menghormati perbezaan dan tidak mudah menghukum.
Katanya, setiap individu berhak mengamalkan kepercayaan masing-masing tanpa perlu dipaksa.
“Kita boleh saling mendoakan, tapi jangan sampai memaksa orang lain ikut apa yang kita percaya,” katanya.
Menurutnya, hubungan Adam bersama “Amma” dan “Appa” ini telah membuktikan bahawa kasih sayang yang ikhlas boleh wujud tanpa mengira latar belakang.
“Niat saya kongsi kisah ini hanya untuk tunjukkan bahawa kasih sayang itu wujud tanpa mengira latar belakang.
“Kadang-kadang, orang yang tiada pertalian darah pun boleh menyayangi anak kita dengan sangat ikhlas,” katanya
