Ada yang akan "meletup" sekiranya kerajaan hanya mensasarkan ahli perniagaan, Victor Chin dalam siasatan berkaitan dakwaan ‘mafia korporat’, kata bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli.
Bercakap dalam satu podcast malam tadi, Ahli Parlimen Pandan itu berkata dia percaya Chin mungkin menyimpan rekod dan bukti semua transaksi perniagaannya, sama seperti dilakukan oleh ahli perniagaan Albert Tei berkait skandal rasuah perlombongan di Sabah.
“Seolah-olah ada kecenderungan, hanya tumpu kepada Victor Chin untuk kambing hitamkan dialah (dalam skandal mafia korporat).
"Saya nak ingatkan dan saya, nak nasihatlah kot..Kalau sayalah ada di Putrajaya, orang keliling Datuk Seri Anwar ke apa semua ni, orang keliling di Bukit Aman, orang keliling di SPRM - berhati-hati tau - besar kemungkinan Victor Chin ni ada semua bukti dia simpan semua ini.
"Kamu pergi kejar dia nak jadikan dia satu-satunya kambing hitam, keluar habis nanti. Jadi sebab itu contohnya, keluar habis, dia jumpa siapa for all you know, dia rekod semua, dia bincang semua, dia rekod semua, kita tak tahu,” katanya dalam podcast ‘Yang Berhenti Menteri’ di YouTube.
Jumaat lalu, polis menyerbu beberapa premis milik Chin di Sungai Long dan Kemensah, Selangor, berkaitan siasatan skandal ‘mafia korporat’.

Menurut laporan StarBiz, pihak berkuasa menyita beberapa barangan termasuk dua buah kereta, jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai dalam ringgit dan mata wang asing serta dokumen.
Susulan itu, Chin mempersoalkan mengapa siasatan tertumpu kepadanya berbanding pihak lain yang sepatutnya turut disiasat, serta memberi amaran dia tidak akan “berdiam diri” jika tekanan terhadap dirinya dan keluarganya diteruskan.
Menurut Rafizi, seorang penasihat korporat seperti Chin hanyalah sebahagian daripada “ekosistem”, namun pihak berkuasa didakwa cuba menjadikan keseluruhan skandal itu seolah-olah hanya berkisar kepada individu tersebut.
Dia turut mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak menyiasat nama-nama lain yang disebut oleh Bloomberg dalam pendedahan berkaitan skandal itu bulan lalu.
Ambil alih syarikat pesaing
Bulan lalu, Bloomberg menamakan Chin sebagai sebahagian daripada rangkaian ahli perniagaan yang didakwa bekerjasama dengan SPRM untuk mengatur pengambilalihan syarikat pesaing.
Laporan itu memperincikan taktik sekumpulan ahli perniagaan yang menyasarkan sesebuah syarikat, kemudian membuat aduan kepada SPRM terhadap syarikat tersebut.

SPRM kemudiannya akan menyiasat pengasas syarikat berkenaan, sekali gus memberi tekanan yang membolehkan pihak pengadu mengambil alih syarikat tersebut.
Agensi anti-rasuah itu bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Susulan tekana agar diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan itu, Jemaah Menteri minggu lalu mengarahkan agensi penguatkuasaan termasuk polis, SPRM, LHDN dan Suruhanjaya Sekuriti untuk menjalankan siasatan.
Dakwa polis terlibat
Dalam podcast tersebut, Rafizi turut mendakwa pihak polis terlibat dalam dakwaan mafia korporat berkenaan.
Dia mendakwa pasukan keselamatan itu bekerjasama dengan ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam usaha untuk mengambil alih NexG Berhad.
Menurutnya, Unit Anti-Pengubahan Wang Haram polis didakwa membekukan akaun dagangan sebuah syarikat yang memegang sejumlah besar saham dalam NexG sebelum mengarahkan pemindahan saham tersebut kepada syarikat lain.
Pemindahan itu didakwa dilakukan tanpa pengetahuan dan persetujuan pemegang saham, kata Rafizi.

"Jumlah yang terlibat itu RM60 juta dipindahkan. Kemudian barulah yang ini didakwalah, didakwa tuan punya itu, didakwa, dipaksalah untuk tandatangan mengatakan bahawa saya bersetuju untuk memindahkan saham saya.
"Dan saya dah tengoklah bukti-bukti yang betul kan,” katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Farhash dan Bukit Aman untuk mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan tersebut.
Untuk rekod, Farhash sebelum ini menafikan laporan berita yang mengaitkannya dengan cubaan mengambil alih NexG.
Bekas setiausaha politik kepada Anwar itu juga telah menghantar surat tuntutan kepada Channel News Asia (CNA) berhubung dakwaan tersebut.
