Ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long mengeluarkan kenyataan panjang lebar berhubung siasatan pengubahan wang haram (AMLA) yang sedang berjalan, dengan mendakwa pihak berkuasa telah membekukan lebih 500 akaun bank yang dikaitkan dengannya, sekali gus memberi kesan besar kepada pihak ketiga.
Chin mendakwa Pasukan Petugas Khas Anti-Pengubahan Wang Haram (AMLA) PDRM bertindak tidak munasabah dalam siasatan mereka, sehingga menjejaskan bukan sahaja dirinya, malah rakan, pelabur dan perniagaan yang berkaitan dengannya.
“Setiap bulan berlalu, siasatan AMLA Bukit Aman terhadap saya semakin tidak munasabah,” katanya, yang dikaitkan dengan dakwaan “mafia korporat”.
Chin menegaskan dia telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis, termasuk kembali ke Kuala Lumpur pada 29 Disember 2025 untuk memberi keterangan, sebelum ditahan reman selama tiga hari.
“Saya telah mematuhi undang-undang. Saya tidak melakukan sebarang kesalahan,” tegasnya.
Namun, dia mendakwa pihak berkuasa terus membekukan akaun dan menyerbu hartanah yang dikaitkan dengannya, dan menyamakan tindakan itu seperti “latihan pengeboman udara yang intensif”.
“Setakat ini, lebih 500 akaun telah dibekukan, sama ada disyaki berkaitan dengan saya atau hanya kerana terlibat dalam pegangan, dagangan atau transaksi saham MMAG Holdings Bhd, NexG Bhd dan NexG Bina Bhd,” katanya.

Dia mendakwa tindakan itu menyebabkan harga saham syarikat berkenaan menjunam pada Oktober tahun lalu, ketika siasatan bermula pada 14 Okt.
“Saham jatuh kerana akaun ramai individu dan perniagaan tidak bersalah dibekukan, hanya kerana mereka mengenali saya,” katanya.
Kesan jangka panjang
Chin turut mendakwa individu dan syarikat yang terjejas akibat pembekuan akaun akan menghadapi kesan jangka panjang, termasuk kesukaran mendapatkan perkhidmatan perbankan dan pembiayaan.
“Apabila akaun dibekukan oleh AMLA, ia boleh mengubah kehidupan individu atau perniagaan. Ia menjadi tanda amaran dalam institusi kewangan di seluruh dunia dan mewujudkan rekod kekal kepada pihak terjejas,” katanya.
Dia juga mendakwa terdapat ketidakwajaran dalam pengendalian beberapa akaun yang dibekukan, dengan mendakwa ada yang “dipercepatkan” untuk dibuka semula.
“Ini amat tidak adil, dan saya berharap semua akaun yang dibekukan, tanpa mengira kaitan dengan saya, akan dilayan secara sama rata dan adil,” katanya.
Dalam pada itu Chin memohon maaf kepada mereka yang terlibat, dengan mengatakan mereka telah “disenarai hitam seumur hidup hanya kerana mengenali dirinya.
“Saya ingin memohon maaf kepada semua rakan, rakan perniagaan dan pelabur saya yang berada dalam senarai sasaran hanya kerana mengenali saya,” katanya.
Serbuan pihak berkuasa
Pada 17 Mac, Chin mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menyerbu kediamannya minggu lalu berkaitan siasatan tersebut.
Serbuan itu berlaku beberapa hari selepas kabinet mengarahkan polis, Suruhanjaya Sekuriti, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan “mafia korporat”.
Chin seterusnya menggesa Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail memastikan siasatan dijalankan secara adil dan telus.

“Hanya dengan kepimpinan anda, kita dapat memastikan siasatan yang adil, bebas daripada campur tangan pihak ketiga, dan selaras dengan undang-undang sedia ada,” katanya.
Sementara itu dia menggesa Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti menyiasat dakwaan ketidakwajaran berkaitan pembekuan dan pembukaan semula akaun yang melibatkan transaksi saham.
Chin mendakwa mungkin wujud campur tangan peringkat tinggi melibatkan akaun milik Rembulan Lestari Sdn Bhd dan Skylimit Alliance Sdn Bhd bagi memudahkan pemindahan saham NexG Bhd.
“Namun, terdapat ‘kuasa lebih tinggi’ yang mengarahkan pembukaan semula akaun tersebut tanpa kebenaran untuk membolehkan transaksi saham dibuat, sebelum ia dibekukan semula,” dakwanya.
Dia memberi amaran bahawa isu ini boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan keupayaan Malaysia menarik pelaburan asing.
“Saya menyeru agar keyakinan pelaburan di negara ini dipulihkan dan dilindungi,” katanya.
Bulan lalu, Bloomberg menamakan Chin sebagai sebahagian daripada rangkaian ahli perniagaan yang didakwa bekerjasama dengan SPRM untuk mengatur pengambilalihan korporat ke atas pesaing.
Namun, Chin menafikan dakwaan tersebut.
Dia juga menyokong gesaan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat perkara ini serta dakwaan penglibatan SPRM.
Permohonan maaf 12 halaman kepada Loke
Chin secara berasingan mengeluarkan permohonan maaf setebal 12 halaman yang ditujukan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke, lapan ahli perniagaan, beberapa syarikat, serta para pelabur dan ahli keluarga.
Dalam dokumen bertajuk 'Lampiran A: Kenyataan Peribadi & Permohonan Maaf', Chin berkata dia berasa berbesar hati kerana Loke pernah hadir dalam beberapa acara berkaitan MMAG Aviation Consortium ketika dia berkhidmat sebagai pengarah eksekutif MMAG Holdings Berhad.

“Jika pada bila-bila masa saya menjarakkan diri, ia bukan kerana keangkuhan atau kurang hormat. Ia adalah kerana saya tidak mahu situasi saya, nama saya, atau reputasi semasa saya mencemarkan tuan dalam apa cara sekalipun. Sebagai Menteri Pengangkutan kami, tuan telah banyak berjasa dan memberi sumbangan yang sangat bermakna kepada Malaysia.
“Saya juga amat kesal kerana gambar-gambar kita yang diambil di acara awam telah disebarkan dan disalahgunakan dengan cara yang mungkin telah menimbulkan perhatian atau rasa tidak selesa kepada tuan.
“Perkara terakhir yang saya inginkan ialah situasi saya tidak memberi kesan walau sedikit pun kepada reputasi atau kedudukan tuan. Untuk itu, saya benar-benar memohon maaf,” katanya dalam surat tersebut yang turut menyenaraikan pegawai bank, pengurus dana, pelabur serta kakitangannya.
