Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saya ‘gila’ kopi: Netanyahu nafi khabar angin dia sudah mati
Diterbitkan:  Mar 20, 2026 9:12 AM
Dikemaskini: 1:12 AM

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, muncul pada satu sidang bersama media asing mengenai perkembangan terkini mengenai operasi ketenteraan Israel terhadap Iran, semalam sekali gus menepis dakwaan bahawa dia telah erbunuh dalam serangan balas republik Islam itu.

Netanyahu membuka sesi berkenaan dengan kenyataan bersifat sinis: "Saya masih hidup dan anda semua menjadi saksi".

Dia turut menjelaskan, bahawa dakwaan mengenai kematiannya hanyalah berita palsu sebelum memulakan taklimat mengenai Operasi Roaring Lion.

Ahad lalu, dia turut memuat naik video dirinya sedang menikmati kopi dan berbual dengan pembantunya selepas khabar angin mengenai kematian atau kecederaan dia disiarkan oleh media kerajaan Iran serta tersebar secara dalam talian di negara itu.

Dalam video yang dirakam di sebuah kafe di pinggir bandar Baitulmuqaddis dan dimuat naik di akaun Telegram miliknya, pembantu Netanyahu bertanya mengenai khabar angin tersebut.

Netanyahu menjawab dengan menggunakan permainan kata bagi perkataan "mati" — yang dalam slanga bahasa Ibrani boleh digunakan untuk menggambarkan perasaan "sangat menyukai" seseorang atau sesuatu — sambil menghirup secawan kopi.

"Saya sangat sukakan kopi. Awak tahu apa lagi? Saya sangat sukakan rakyat saya," kata Netanyahu kepada pembantunya.

Laporan Reuters turut mengesahkan lokasi video tersebut melalui imej arkib kafe berkenaan yang sepadan dengan hiasan dalaman yang dilihat dalam video tersebut. Tarikh video juga disahkan daripada beberapa rakaman dan foto lawatan Netanyahu yang dimuat naik oleh pihak kafe pada Ahad.

Sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari, Netanyahu melawat sekurang-kurangnya dua bandar yang terkena peluru berpandu Iran, sebuah hospital, pelabuhan, dan pangkalan tentera. Bagaimanapun, akses media adalah sangat terhad atau tiada langsung, dan video-video tersebut hanya diedarkan oleh pejabatnya.

Sekatan keselamatan kecemasan di Israel sejak permulaan perang melarang perhimpunan awam dan memaksa kebanyakan penduduk duduk di rumah atau berada berhampiran tempat perlindungan serta bilik selamat, manakala sekolah di kebanyakan kawasan di negara itu ditutup.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS