Israel mengesahkan bahawa sebuah kilang penapis minyak di bandar utara Haifa terkena serangan peluru berpandu Iran, namun tiada kerosakan "signifikan" dilaporkan ketika Tehran terus membalas dendam di seluruh wilayah itu atas serangan terhadap infrastruktur energinya.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Menteri Tenaga Eli Cohen berkata bekalan elektrik terputus seketika akibat serangan ke atas kemudahan Oil Refineries Ltd itu sebelum dipulihkan untuk kebanyakan pengguna.
"Kerosakan pada rangkaian kuasa di utara adalah setempat dan tidak signifikan," kata Cohen.
"Selain itu, dalam serangan bertubi-tubi ke arah utara, tidak ada kerosakan signifikan pada tapak infrastruktur Israel."

Al Jazeera pula melaporkan Iran melancarkan gelombang serangan peluru berpandu dan dron di seluruh Asia Barat sejak Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan perang terhadap negara itu akhir bulan lalu.
Minggu ini, Tehran menyasarkan beberapa kemudahan minyak dan gas di wilayah Teluk sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas medan gas luar pantai South Pars pada Rabu.
Sementara itu, AFP melaporkan Iran melancarkan beberapa gelombang serangan peluru berpandu ke arah Israel lewat malam tadi, selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengisytiharkan republik Islam itu lumpuh akibat perang.
Serangan Iran itu mencetuskan letupan kuat di ruang udara Baitulmaqdis.
Netanyahu pada Khamis mendakwa bahawa Israel dan AS sedang "menang" dalam perang menentang Iran, dengan republik Islam itu kini "hancur" serta tidak lagi mampu memperkaya uranium atau menghasilkan peluru berpandu balistik.
Pda satu sidang media berbahasa Inggeris, Netanyahu menegaskan Israel "bertindak sendirian" dalam menyerang lapangan gas gergasi South Pars milik Iran, sambil mengesahkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump meminta tentera Israel untuk "menangguhkan" serangan sedemikian pada masa hadapan.

Pemimpin Israel itu turut menolak tanggapan bahawa dia mengheret Trump ke dalam konflik tersebut, sebaliknya memberi gambaran bahawa dia hanyalah rakan kongsi junior dalam serangan bersama terhadap Iran.
"Adakah sesiapa benar-benar fikir ada orang yang boleh memberitahu Presiden Trump apa yang perlu dilakukan?" soal Netanyahu kepada pemberita.
"Dia tidak perlu diyakinkan," tambahnya.
"Saya rasa tidak ada mana-mana dua pemimpin yang begitu selaras seperti Presiden Trump dan saya. Dia adalah pemimpin. Saya pula, seperti yang anda tahu, adalah sekutunya."
Ahli politik veteran Israel itu cuba menggambarkan potret kejayaan yang luas bagi konflik yang kini berlarutan hampir tiga minggu dan telah menyelubungi Asia Barat.
"Kami sedang mengambil tindakan untuk memusnahkan industri yang membolehkan pembinaan peluru berpandu. Iran tidak lagi mempunyai kapasiti untuk memperkaya uranium dan menghasilkan peluru berpandu balistik," kata Netanyahu.
"Kami sedang menang dan Iran sedang dihancurkan."

Netanyahu berkata serangan itu turut mencetuskan keretakan dalam kalangan pemimpin republik Islam yang masih terselamat, dan Israel sedang berusaha untuk memperdalamkan perpecahan tersebut.
"Saya tidak pasti siapa yang mentadbir Iran sekarang. Mojtaba, ayatollah pengganti, tidak memunculkan diri," katanya merujuk kepada pemimpin agung Iran yang baru dilantik, iaitu anak kepada Ayatollah Ali Khamenei yang terbunuh dalam serangan udara Israel pada hari pertama perang.
"Apa yang kita lihat adalah terdapat banyak ketegangan dalam kalangan mereka yang berebut kedudukan teratas," kata Netanyahu.
"Kami melihat keretakan, dan kami cuba menyebarkannya secepat mungkin. Bukan sahaja di peringkat arahan tertinggi – kami juga melihat keretakan di lapangan."
Serangan ke atas lapangan gas Iran telah menggoncang pasaran tenaga dunia yang sedia tidak menentu, dan Trump pada Khamis menyuarakan rasa tidak senangnya terhadap serangan itu.
"Kami tidak akan melakukan perkara itu lagi," kata presiden tersebut di Pejabat Oval.

Netanyahu menjelaskan bahawa mesej itu telah diterima.
"Presiden Trump meminta kami menangguhkan serangan pada masa hadapan dan kami sedang menangguhkannya."
Netanyahu juga menyifatkan tindakan Iran menutup Selat Hormuz, yang menyebabkan harga tenaga melambung tinggi, sebagai "ugutan" yang "tidak akan berkesan."
Pemimpin Israel itu seterusnya membayangkan kempennya terhadap Iran akan diteruskan dengan berkata: "Masih banyak kerja yang perlu dilakukan, dan kami akan melakukannya."
Kedua-dua Trump dan Netanyahu dalam beberapa kesempatan telah menyatakan harapan agar rakyat Iran akan menggulingkan kerajaan di Tehran.
"Sering dikatakan bahawa anda tidak boleh... melakukan revolusi dari udara," kata Netanyahu.
"Itu benar," sambungnya. "Perlu ada komponen darat juga. Terdapat banyak kemungkinan untuk komponen darat ini dan saya memilih untuk tidak berkongsinya dengan anda."

"Saya juga melihat perang ini akan berakhir jauh lebih cepat daripada yang disangka orang ramai."
