Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PN terdesak, MIC berbolak-balik: Strategi merisik yang makan diri'

Penganalisis politik berpandangan percanggahan berhubung penyertaan MIC dalam Perikatan Nasional (PN) membuatkan gabungan itu dilihat terdesak untuk menampilkan imej sebagai gabungan pelbagai kaum.

Menurut penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof Azmi Hassan, langkah itu juga dilihat sebagai usaha PN memperkukuh sokongan bukan Melayu.

Jelasnya, ia malah berpotensi mewujudkan dua parti teras masyarakat India dalam gabungan itu, iaitu MIC dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Prof Azmi Hassan

Bagaimanapun, katanya, dakwaan penyertaan MIC masih belum muktamad apabila Timbalan Presiden M Saravanan sebelum ini menafikan wujudnya permohonan rasmi, sebaliknya hanya dikatakan sebagai peringkat “merisik”.

“Nampak sangat PN terdesak untuk bawa masuk MIC bagi menterjemahkan PN sebagai parti multiracial. Tapi bila disergahkan oleh timbalan presiden MIC (M Saravanan) bahawa itu bukan borang permohoan sebaliknya cuma merisik atau bertanya khabar, itu sahaja dan belum mengesahkan untuk masuk (PN),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Azmi berkata demikian mengulas kesan kenyataan yang dibuat Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan sebelum ini apabila mengesahkan penyertaan MIC dalam PN, namun kemudian dinafikan MIC.

Sebelum ini, Takiyuddin memberitahu pemberita di Kota Bharu, Kelantan bahawa dengan kemasukan MIC, PN kini menjadi sebuah gabungan yang terdiri daripada lima parti.

“Saya boleh sahkan malam ni saya nak pergi KL, saya akan jumpa MIC.

“Kita akan bagi surat rasmi pada MIC katakan mereka diterima parti anggota dalam PN,” kata pemimpin PAS itu.

Menurutnya, MIC diterima sebagai ahli PN pada Disember tahun lalu, namun keahlian parti itu hanya disahkan secara rasmi pada mesyuarat terakhir gabungan tersebut pada 14 Mac.

Apabila ditanya jika MIC akan meninggalkan BN demi PN, Takiyuddin membayangkan perkara itu terpulang kepada parti berkenaan.

M Saravanan, Timbalan Presiden MIC

Bagaimanapun, Saravanan kemudian berkata bahawa partinya belum mengemukakan sebarang permohonan rasmi untuk menyertai PN.

Sebaliknya, Saravanan berkata bahawa MIC sekadar membuat pertanyaan mengenai penyertaan ke dalam PN ketika Muhyiddin Yassin mempengerusikan gabungan itu.

Dilema MIC

Mengulas lanjut, Azmi turut berpendapat MIC kini berada dalam dilema, berkemungkinan menunggu keputusan Barisan Nasional (BN) berhubung agihan kerusi Parlimen sebelum membuat keputusan muktamad.

“Mungkin MIC menunggu apabila BN mengumumkan akan bertanding 115 kerusi Parlimen, itu kita boleh terjemahkan kepada mungkin ada kerusi untuk dua kompenan utama BN itu - MCA dan MIC.

“Sebab itu dikatakan terdapat rasa serba salah kerana dalam MIC hanya bertembung atau pun lawan MIC tak ada.

“Tapi dalam PN lawannya adalah MIPP, terpaksa berkongsi kerusi dengan MIC sebab itu dikatakan bahawa memang MIC mungkin nak masuk tapi hanya menunggu pujuk memujuk daripada BN. Tetapi hakikatnya BN tak akan pujuk kerana bagi mereka itu keputusan mereka (MIC) sendiri,” katanya.

Memalukan kedua-dua pihak

Sementara itu, seorang lagi penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof Awang Azman Awang Pawi menyifatkan percanggahan kenyataan antara PN dan MIC sebagai sesuatu yang memalukan kedua-dua pihak.

Dia berpandangan situasi itu mencerminkan kelemahan PN dari segi koordinasi dalaman, selain menunjukkan gabungan itu masih belum stabil berikutan krisis dalam parti komponennya, Bersatu.

Prof Awang Azman Awang Pawi

Katanya, walaupun MIC dipercayai pernah menunjukkan minat untuk menyertai PN, namun perkembangan semasa termasuk ketidaktentuan dalam PN menyebabkan parti itu dilihat “menarik brek” dan mengambil pendekatan berhati-hati.

“Isu ini jelas mengenakan MIC sebagai parti yang dilihat berbolak-balik dan play safe. MIC kini berada dalam posisi defensif, tidak berani menafikan secara keras, tetapi juga tidak cukup berani untuk mengesahkan secara terbuka.

“Ini menunjukkan MIC sedang cuba mengekalkan hubungan dengan semua pihak secara serentak, namun strategi ini akhirnya memakan diri.

“Dalam politik, persepsi lebih penting daripada niat dan persepsi yang terbina ialah MIC tidak mempunyai pendirian yang tegas, berdolak dalih.

“Ini memberi gambaran bahawa MIC sekadar menunggu ‘angin politik’ sebelum membuat keputusan, bukan memimpin hala tuju sendiri,” katanya.

Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PN

Menurut Awang Azman, situasi ini menonjolkan BN, khususnya Umno, sebagai blok politik paling stabil berbanding PN.

“Pengumuman Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, mengenai Rumah Bangsa memberikan kesan positif dan menandakan bibit pemulihan Umno. BN kini lebih tersusun, dengan disiplin komunikasi yang lebih baik, manakala PN tergesa-gesa membuat pengumuman tanpa koordinasi dalaman atau pengesahan rasmi,” katanya.

Awang Azman juga menegaskan, MIC terperangkap akibat percubaan politik pintu belakang dengan PN, sekali gus menjejaskan kredibiliti mereka di kalangan rakan gabungan dan pengundi.

“Dalam politik gabungan, kepercayaan adalah mata wang utama dan MIC telah kehilangan kepercayaan,” jelasnya.

Selain itu, tanpa penglibatan MIC, Umno kini lebih bebas untuk bergerak dan memperkukuh strategi sendiri, termasuk memperluas sokongan kepada pengundi bukan Melayu melalui pendekatan inklusif.

Sebaliknya, kata Awang Azman Bersatu sebagai komponen utama PN menghadapi krisis dalaman berpanjangan, menjadikan PN semakin tidak stabil dan sukar untuk mengekalkan imej sebagai alternatif kepada kerajaan semasa.

Kesimpulannya, Awang Azman berkata, pengumuman Takiyuddin menuntut MIC bertanggungjawab dan membuat keputusan jelas, manakala Umno pula perlu tegas menangani isu ini agar dapat bergerak ke hadapan dengan lebih berkesan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Kelemahan komunikasi

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ariff Aizuddin Azlan pula berkata percanggahan tersebut menunjukkan kelemahan komunikasi antara PN dan MIC.

Katanya, rundingan antara kedua-dua pihak dipercayai masih berjalan tetapi belum mencapai kesepakatan, menyebabkan timbul pelbagai versi kenyataan.

“Jika tidak diurus dengan baik, ia boleh menjejaskan imej PN dan menghakis kepercayaan pengundi, khususnya dalam kalangan pengundi India,” katanya.

Manakala Jamaie Hamil dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata PN menerima tamparan hebat apabila MIC menafikan kenyataan Takiyuddin yang menimbulkan kekeliruan dan kontradiksi yang mencalar imej gabungan berkenaan.

Jamaie berkata, walaupun pada awalnya MIC dilaporkan bersetuju untuk menyertai PN, penafian rasmi daripada pihak parti menyebabkan masyarakat melihat konflik dalaman gabungan itu semakin serius.

“Ini satu jawapan tergesa-gesa dan agak terburu-buru yang dilakukan oleh Taqiyuddin. Dengan penafian timbalan presiden MIC, ia merupakan tamparan hebat kepada Perikatan Nasional,” kata penganalisis itu.

Menurutnya, kesan daripada kekeliruan menyebabkan imej PN semakin tercalar di mata rakyat, justeru menimbulkan keraguan tentang kepimpinan dalaman gabungan itu serta kemampuan mereka untuk mengekalkan relevansi politik.

Jamaie Hamil

Masalah dalaman sebelum ini, katanya, termasuk isu kepimpinan negeri, konflik dalam Bersatu, serta perselisihan PAS dengan kumpulan lain, kini bertambah rumit dengan dinamik hubungan antara PN dan MIC.

“Walaupun PN cuba menutup kelemahan ini, ia tidak memberi kesan untuk menarik semula simpati atau sokongan rakyat,” katanya.

Jamaie turut menegaskan bahawa rakyat Malaysia kini semakin matang menilai keberkesanan dan relevansi PN sebagai gabungan politik.

Pada November tahun lalu, media melaporkan dakwaan Muhyiddin bahawa MIC telah memohon untuk menyertai PN.

Sama seperti situasi terbaru, MIC ketika itu menafikan ada membuat sebarang permohonan, dengan Setiausaha Agungnya, S Ananthan menjelaskan bahawa surat yang dihantar kepada PN bukannya permohonan rasmi, sebaliknya bertujuan mendapatkan maklumat awal sebelum sebarang keputusan.

Dia seterusnya menjelaskan bahawa MIC turut meminta penjelasan mengenai komitmen PN terhadap pembangunan masyarakat India, termasuk isu pendidikan, sosioekonomi, dan perwakilan politik.

Sebelum ini, MIC beberapa kali menyatakan bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan BN susulan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan politik parti itu, terutama selepas Umno di bawah pimpinan Zahid menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Selain MIC, MCA turut dilaporkan bimbang mengenai isu pembahagian kerusi pilihan raya yang dianggap lebih memihak kepada parti penyandang.

Di bawah formula pembahagian kerusi BN-PH, MCA dan MIC dijangka hanya akan menerima jumlah kerusi yang kecil untuk ditandingi pada pilihan raya umum akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS