Syarikat perkhidmatan pengurusan kematian Kumpulan Nirvana Asia mengesyaki insiden kecurian abu mayat di beberapa taman peringatan di Malaysia baru-baru ini mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah terancang sindiket scam dari Kemboja.
Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, syarikat itu mendedahkan bahawa berdasarkan maklumat semasa dan bantuan pihak berkuasa, jenayah tersebut dipercayai bukan dilakukan secara rawak.
"Insiden ini tidak kelihatan seperti tindakan rawak atau terpencil, sebaliknya melibatkan elemen aktiviti jenayah terancang yang telah dirancang terlebih dahulu.
"Jenayah serupa yang mensasarkan institusi pengebumian telah dilaporkan di pelbagai negara dan wilayah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk Hong Kong dan Korea Selatan.
“Ia dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan (scam) Kemboja yang beroperasi di rantau ini," kata kenyataan itu.
Menurut syarikat itu, perbuatan keji tersebut adalah kesalahan jenayah serius serta pencabulan berat terhadap maruah si mati dan hak keluarga mereka.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan kecurian beberapa pasu abu mayat dari kolumbarium di sebuah taman peringatan di Nilai, Negeri Sembilan dan di Kulai, Johor.
Pihak Nirvana turut memaklumkan bahawa semua pasu di taman peringatan mereka yang dicuri telah berjaya ditemukan semula dengan bantuan pihak polis.
Proses pengesahan, pemeriksaan, dan penempatan semula abu mayat tersebut kini sedang dijalankan secara teratur sebelum diserahkan kembali kepada keluarga terlibat.
Syarikat itu juga telah mengaktifkan langkah tindak balas kecemasan tahap tertinggi, termasuk menyediakan saluran komunikasi terus, sokongan undang-undang, serta bantuan emosi kepada keluarga yang terkesan.
"Kami sedang mengatur upacara keagamaan dan peringatan yang sesuai bagi menghormati si mati dan memberi ketenangan kepada ahli keluarga, mengikut permintaan dan kepercayaan masing-masing," tambahnya.
