Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia hilang daya saing gara-gara isu birokrasi kastam di Pengerang

Seorang pemain industri perkapalan melahirkan bimbangnya bahawa ketiadaan penempatan tetap anggota Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Pengerang akan menjejaskan daya saing negara berbanding pelabuhan serantau seperti Singapura.

Pengasas syarikat perkapalan Maritime Network Sdn Bhd, R Jeyendran berkata ketiadaan pejabat kastam beroperasi di dalam kawasan pelabuhan serta waktu operasi yang tidak selari dengan aktiviti pelabuhan 24 jam menyebabkan pemain industri terpaksa menanggung kerugian masa sehingga 10 jam bagi setiap urusan keluar masuk kapal.

"Masalah utama, pejabat kastam untuk Pelabuhan Pengerang terletak di Sungai Rengit, hampir 20 minit dari sini. Ia menyukarkan urusan segera, terutamanya untuk aktiviti luar waktu pejabat.

Pejabat Kastam Sungai Rengit

“Kelemahan bertambah parah apabila waktu operasi kastam hanya mengikut rutin pejabat biasa sedangkan aktiviti pelabuhan tidak pernah tidur.

"Kastam hanya bekerja dari pukul 8 pagi hingga 6 petang. Hari minggu pejabat Sungai Rengit cuti.

“Selepas waktu itu, sesiapa yang nak urus dokumen kapal terpaksa pergi ke Pejabat Kastam Pasir Gudang yang mengambil masa empat jam perjalanan pergi dan balik tidak termasuk masa proses di pejabat Pasir Gudang.

"Ini menyebabkan kelewatan kritikal," katanya kepada Malaysiakini.

R Jeyendran

Kekurangan sumber manusia

Mengulas lanjut, Jeyendran memberi contoh proses dokumentasi yang mengambil masa lapan hingga 10 jam berbanding di Singapura yang hanya memakan masa kurang tiga jam.

"Katakan proses memunggah muatan kapal selesai jam 12 malam, dan kita terima Bill of Lading (BL) sekitar jam 3 pagi."

Oleh sebab pejabat kastam di Sungai Rengit sudah tutup, kena bawa dokumen ke Pasir Gudang untuk pengesahan.

“Lepas urusan kastam selesai, barulah boleh lantik (tempah) jurupandu (pilot) untuk kapal belayar keluar. Proses ini ambil masa lapan hingga 10 jam," katanya.

Sedangkan, menurut Jeyendran, di Pelabuhan Singapura, semua urusan ini boleh diselesaikan dalam masa tiga jam.

"Di Pengerang ini bukan sahaja membazir masa, tetapi menjejaskan keyakinan syarikat perkapalan antarabangsa terhadap kecekapan pelabuhan kita.

"Kadang-kadang, akibat kelewatan ini, pengendali pelabuhan terpaksa mengarahkan kapal berlabuh di kawasan persinggahan (anchorage) sementara menunggu giliran, yang sudah tentu melambatkan lagi jadual perjalanan.

"Kami mohon kerajaan segera lantik dan tempatkan pegawai kastam tetap di pelabuhan ini dengan perkhidmatan 24 jam.

"Jangan biarkan pelabuhan mega ini tercicir dalam persaingan hanya kerana masalah penempatan pegawai," tegasnya.

Sementara itu, sumber daripada JKDM yang enggan dinamakan mengesahkan fasiliti untuk kastam sebenarnya sudah tersedia di pelabuhan tersebut, namun tiada anggota ditempatkan di situ.

"Di Pelabuhan Pengerang, semua fasiliti untuk kastam sudah ada. Tetapi masalahnya, tiada pegawai ditempatkan di situ.

“Ia berpunca daripada kekurangan sumber manusia yang dihadapi jabatan," kata sumber itu.

Kekangan ini, katanya menyebabkan JKDM tidak dapat memenuhi keperluan operasi 24 jam di semua pelabuhan, termasuk Pengerang yang strategik.

"Kita faham impaknya kepada industri. Namun, dengan jumlah pegawai sedia ada, sukar untuk kita buka perkhidmatan sepenuh masa di setiap lokasi.

"Kita harap limpahan hasil daripada pelabuhan ini dapat digunakan untuk menambah perjawatan, supaya perkhidmatan dapat ditingkatkan," katanya lagi.

Pengerang yang terletak di Kota Tinggi, Johor, merupakan lokasi Hab Penapisan dan Petrokimia Bersepadu (PIPC) yang menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit dan menjadi nadi pembangunan petroleum serta petrokimia terbesar di selatan tanah air.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Kewangan dan ketua pengarah kastam untuk mendapatkan ulasan lanjut berhubung isu ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS