Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Arab Saudi berhak sertai perang terhadap Iran, kata menteri luar
Diterbitkan:  Mar 20, 2026 2:05 PM
Dikemaskini: 6:05 AM

Arab Saudi mempunyai hak untuk bertindak secara ketenteraan terhadap Iran dan segala kepercayaan terhadap Tehran telah musnah, kata menteri luar Saudi pada awal Khamis, selepas Riyadh menjadi sasaran peluru berpandu balistik negara itu,

Dalam komen paling keras dari kerajaan Teluk itu sejak perang bermula, Menteri Luar Saudi Putera Faisal bin Farhan menuduh Iran melakukan tindakan bermusuhan yang dirancang terhadap jiran-jirannya, sama ada secara langsung mahupun melalui pelbagai proksi serantau.

Laporan Reuters menyebut terdapat sedikit tanda-tanda keredaan dalam perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran yang kini memasuki minggu ketiga. Perebakan konflik itu menyebabkan gangguan luar biasa kepada bekalan tenaga global.

Dalam peningkatan terbaharu, Iran menuduh Israel menyerang kemudahannya di medan gas South Pars yang besar pada Rabu. Rejim Yahudi itu membalas dengan melancarkan peluru berpandu ke arah Qatar dan Arab Saudi sambil berikrar untuk menyerang sasaran minyak dan gas di seluruh Teluk. Ini, menyebabkan harga minyak yang sememangnya tinggi melonjak lebih jauh.

Jurucakap kementerian luar Iran berkata pada Khamis bahawa kenyataan Putera Faisal adalah "tidak adil" dan berat sebelah.

"Tekanan daripada Iran ini akan memakan diri secara politik dan moral, dan pastinya kami berhak mengambil tindakan ketenteraan jika dianggap perlu," katanya dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat diplomat tertinggi serantau di Riyadh.

Pemintas peluru berpandu dilihat dilancarkan dari kawasan berhampiran hotel di Riyadh di mana persidangan itu diadakan, yang mengumpulkan menteri luar dari kira-kira sedozen negara termasuk Turkiye, UAE, Jordan, Qatar dan Syria untuk mesyuarat mengenai perang Iran.

Kemudahan minyak dan gas Qatar, Emiriah dan Saudi diserang pada Rabu, kata pihak berkuasa di negara-negara tersebut, selepas Iran berkata ia akan membalas apa yang didakwanya sebagai serangan Israel ke atas medan gas utama.

Arab Saudi diserang oleh ratusan peluru berpandu dan dron Iran sejak permulaan konflik, yang mana sebahagian besarnya dipintas, kata pihak berkuasa.

Serangan pada Rabu menandakan kali pertama ramai penduduk di bandar itu mendengar letupan atau menerima mesej amaran melalui pesanan ringkas.

Kementerian pertahanan Arab Saudi berkata ia menembak jatuh empat peluru berpandu balistik yang menyasarkan Riyadh, dan beberapa serpihan jatuh berhampiran penapis minyak di selatan bandar itu.

Arab Saudi dan Iran memulihkan hubungan diplomatik pada 2023 sebagai sebahagian daripada usaha untuk meredakan ketegangan selepas bertahun-tahun bermusuhan yang menyaksikan mereka menyokong puak politik dan ketenteraan yang bertentangan di rantau itu.

Putera Faisal berkata Arab Saudi masih memilih jalan diplomasi, tetapi "jika Iran tidak berhenti serta-merta, saya fikir hampir tiada apa yang dapat memulihkan semula kepercayaan."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS