Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Retak makin besar: Lim ‘lanyak’ KM isu cukai tanah melambung
Diterbitkan:  Mar 20, 2026 3:43 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

Anggota Parlimen Bagan, Lim Guan Eng hari ini mendakwa ramai pengundi Pulau Pinang tidak akan menyokong Ketua Menteri, Chow Kon Yeow jika mereka sedar bahawa manifesto pilihan raya negeri (PRN) 2023 kerajaan perpaduan membenarkan kenaikan kadar cukai tanah sehingga beribu-ribu kali ganda lebih tinggi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata dia terkejut dengan kenyataan terbaru Chow bahawa manifesto pilihan raya bukan dokumen yang menyekat kerajaan negeri daripada memperkenalkan inisiatif atau dasar baru jika dianggap perlu untuk kestabilan ekonomi dan kesejahteraan negeri.

Lim Guan Eng

Veteran DAP itu berkata manifesto yang dilancarkan menjelang PRN tidak menunjukkan kadar cukai tanah boleh dinaikkan dengan gandaan yang begitu besar.

Dia seterusnya mengkritik cubaan Chow untuk membandingkan kenaikan cukai tanah dengan cadangan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC), yang juga tidak disebut dalam manifesto tetapi diteruskan kerana tuntutan ekonomi yang berubah.

Hujahnya, walaupun PIFC boleh membawa manfaat kepada negeri dan rakyatnya, kenaikan cukai tanah yang mendadak sebaliknya akan memudaratkan kedudukan kewangan dan mata pencarian ekonomi pemilik tanah.

“Jadi, saya minta Chow untuk menunaikan janji dalam Manifesto Perpaduan PRN 2023 yang memberikan jaminan bahawa tiada pihak yang terpinggir atau dipinggirkan, prinsip negeri berkebajikan sentiasa menjadi pegangan dan pastinya kita membangun bersama-sama dalam percambahan sosioekonomi negeri Pulau Pinang secara keseluruhan,” kata Lim.

Hubungan antara Lim dan Chow semakin tegang kebelakangan ini, dengan kedua-dua mereka bertelagah secara terbuka.

Walaupun Lim bersikap kritikal secara terbuka terhadap kepimpinan Chow, ini adalah serangan paling kerasnya terhadap penggantinya itu setakat ini.

Mengulas lanjut, Lim mengecam tindakan Chow mempertahankan pegawai Pejabat Tanah dan Galian yang terlibat dalam pengiraan kadar baru tersebut.

Lim menarik perhatian bahawa dalam beberapa kes, jumlah cukai yang disemak semula kemudiannya dikurangkan sebanyak 80 hingga 90 peratus selepas dibangkitkan secara terbuka, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai ketepatan sistem penilaian itu.

“Sekiranya sistem pengiraan kenaikan kadar cukai tanah memang betul, adil, teratur dan profesyenal apa perlunya kurangkan cukai tanah sebanyak 80 peratus atau 90 peratus.

“Mengapa pula masih mempertahankan pegawai kerajaan yang buat kesilapan lebih daripada rakyat yang dianiayai?

“Pengurangan begitu besar sampai 80 peratus atau 90 peratus ini membuktikan sistem pengiraan kenaikan cukai tanah memang cacat, gagal dan bermasalah.

“Oleh itu sistem ini perlulah disemak semula dan digantikan dengan sistem pengiraan kadar cukai tanah yang betul, teratur dan munasabah, selepas dirundingkan terlebih dahulu dengan pemegang taruh berkenaan," katanya.

Lim memetik beberapa contoh yang disifatkannya sebagai kenaikan melampau, termasuk sebuah sekolah di Butterworth yang didakwa menyaksikan cukai tanahnya meningkat lebih 4,000 kali ganda.

Dia juga mengketengahkan kes di Batu Kawan — kawasan parlimen yang diwakili oleh Chow — termasuk sebuah rumah kampung di Juru yang cukai tanah didakwa meningkat daripada RM12 kepada lebih RM34,000, dan seorang lagi pemilik tanah yang mendakwa berada di bawah tekanan kewangan yang teruk disebabkan kadar semakan itu.

Lim berkata pejabatnya menerima banyak aduan daripada penduduk yang bergelut dengan beban cukai tanah yang lebih tinggi.

“Ketua Menteri harus diingatkan semangat perjuangan sempena ulangtahun ke-60 parti DAP. Rakyat seharusnya diutamakan!” kata Lim.

Sebelum ini, Lim mendesak Chow turun padang untuk melihat sendiri kesan cukai tanah baru itu kepada penduduk umum.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS