Presiden Donald Trump membidas sekutu NATO disebabkan kekurangan sokongan mereka dalam perang AS-Israel terhadap Iran ketika Selat Hormuz kekal ditutup secara efektif, tanpa ada tanda konflik akan berakhir.
Negara NATO adalah “pengecut dan kami akan ingat!” tulisnya di platform Truth Social pada Jumaat.
Al Jazeera melaporkan presiden AS itu merungut bahawa negara NATO tidak mahu menyertai perjuangan menentang Iran, namun masih mengadu tentang harga minyak yang tinggi.

“Tanpa AS, NATO ibarat harimau kertas! Mereka tidak mahu menyertai usaha menghentikan Iran yang berkuasa nuklear.
“Kini apabila pertempuran dimenangi dari segi ketenteraan, dengan risiko yang sangat rendah kepada mereka, mereka pula mengadu harga minyak tinggi yang terpaksa dibayar, tetapi tidak mahu membantu buka Selat Hormuz, satu gerakan ketenteraan mudah yang menjadi puncak tunggal harga minyak tinggi.
“Begitu mudah untuk mereka lakukan, dengan risiko yang amat rendah,” tulisnya.
Trump menyeru sekutu utama AS dan pihak lain, yang mana tiada seorang pun daripada mereka dirunding atau dimaklumkan mengenai perang itu, untuk membantu menjamin keselamatan perkapalan melalui Selat Hormuz yang dikawal Iran.

Konflik itu menjejaskan pasaran global, membunuh ribuan orang dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal sejak serangan AS-Israel bermula pada 28 Februari.
Khamis lalu, enam kuasa besar antarabangsa termasuk United Kingdom, Perancis, Jerman dan Jepun menyatakan kesediaan menyumbang kepada usaha bersesuaian bagi menjamin keselamatan Selat Hormuz.
Bagaimanapun, negara-negara tersebut belum membuat komitmen rasmi untuk menyertai sebarang misi di laluan perairan penting itu, manakala sekutu lain seperti Jerman dan Itali menolak mengambil tindakan sebelum gencatan senjata dicapai dalam perang di Asia Barat.
Dalam perubahan nada, United Kingdom mengumumkan pada Jumaat bahawa ia kini membenarkan AS menggunakan pangkalannya untuk menyasarkan Iran demi “pertahanan kolektif rantau ini”.
Menurut kenyataan daripada pejabat Perdana Menteri Keir Starmer, menteri-menteri bertemu dan “mengutuk peluasan sasaran Iran yang kini termasuk perkapalan antarabangsa.”

“Mereka mengesahkan bahawa perjanjian untuk AS menggunakan pangkalan UK dalam pertahanan kolektif rantau ini merangkumi operasi pertahanan AS untuk melumpuhkan tapak peluru berpandu dan keupayaan yang digunakan untuk menyerang kapal di Selat Hormuz,” tambah kenyataan itu.
Serangan Trump terhadap Eropah berlaku ketika NATO mengumumkan pada Jumaat bahawa ia sedang “menyelaraskan” misinya di Iraq, selepas pegawai di negara itu menyatakan pasukan bukan tempur ditarik balik buat sementara waktu berikutan perang Iran.
“Kami boleh mengesahkan bahawa kami sedang menyelaraskan kedudukan kami dalam konteks Misi NATO Iraq,” kata jurucakap perikatan Allison Hart kepada agensi berita AFP dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Jeneral Tentera Udara AS Alexus Grynkewich, komander tertinggi sekutu NATO Eropah, mengesahkan penempatan semula semua kakitangan misi NATO Iraq ke Eropah dalam satu kenyataan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Republik Iraq dan semua Sekutu yang membantu dalam penempatan semula kakitangan NATO dari Iraq dengan selamat,” menurut kenyataan itu.

Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata selepas sidang kemuncak Kesatuan Eropah selama dua hari di Brussels bahawa mempertahankan undang-undang antarabangsa dan mempromosikan de-eskalasi adalah “perkara terbaik yang boleh kami lakukan”.
“Saya tidak mendengar sesiapa di sini menyatakan kesediaan untuk memasuki konflik ini – malah sebaliknya.”
