Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman maritim: Wakil Rakyat Sabah digesa saman kerajaan pusat
Diterbitkan:  Mar 21, 2026 10:46 AM
Dikemaskini: 2:46 AM

Anggota Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau menggesa wakil rakyat Sabah supaya bersatu membantu membiayai cabaran undang-undang berhubung hak pelantar benua atau sempadan maritim negeri itu.

Bekas presiden Upko itu berkata, badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Sabah Action Body Advocating Rights (Sabar) memerlukan RM500,000 menjelang 30 April bagi kes berkenaan di Mahkamah Persekutuan.

Wilfred Madius Tangau

Katanya, jika semua 111 wakil rakyat Sabah menyumbang RM5,000 setiap seorang, NGO itu mampu mengumpul jumlah sebanyak RM555,000, merujuk kepada 25 anggota parlimen, 73 Adun, tujuh senator dan enam Adun lantikan di negeri berkenan.

“Jumlah ini bukan sahaja akan melepasi sasaran, malah menjadi bukti kukuh perpaduan kita dalam mempertahankan kepentingan negeri,” katanya seperti yang dipetik oleh Free Malaysia Today.

Wilfred merujuk kepada cabaran undang-undang Sabar terhadap kesahihan Akta Laut Wilayah (TSA) 2012, yang mengehadkan sempadan maritim negeri kepada hanya tiga batu nautika.

Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai defendan tunggal dalam kes tersebut.

Sementara itu, akhbar Daily Express memetik peguam Sabar, Ronald Cheng sebagai berkata jumlah yang besar diperlukan kerana keperluan untuk mendapatkan pendapat pakar undang-undang mengenai hak pelantar benua Sabah.

Dia menyatakan bahawa kerajaan persekutuan sudah melantik pakar undang-undangnya sendiri.

Tambahnya, ramai pakar undang-undang tempatan menolak untuk membantu Sabar dalam kes itu kerana mereka sudah memberikan nasihat kepada kerajaan persekutuan.

“Kami sedang melihat beberapa pakar undang-undang antarabangsa seperti dari Singapura dan New Zealand, tetapi untuk mendapatkan pendapat asas pun memerlukan wang,” katanya.

Sabar menuntut beberapa pengisytiharan mahkamah terutamanya berkaitan hak Sabah ke atas pelantar benua dan perairan wilayahnya.

Antara lain, ia mencabar peruntukan dalam TSA yang mengehadkan perairan wilayah Sabah kepada tiga batu nautika (5.5km) dari kawasan pantai, sebaliknya berhujah bahawa perairan negeri harus menjangkau sehingga 12 batu nautika.

Ia juga meminta pengiktirafan bahawa wilayah Sabah termasuk pelantar benuanya berikutan penarikan darurat 1969, dan Ordinan Perlombongan Negeri 1960 kekal sah.

Kumpulan itu seterusnya mahu mahkamah memutuskan bahawa Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 tidak lagi terpakai di Sabah dan tidak mengikut perlembagaan selepas 19 Jun 2012.

Selain itu, Sabar menuntut kos guaman dan apa-apa relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Jika cabaran itu berjaya, ia boleh menimbulkan persoalan mengenai pemakaian undang-undang persekutuan tertentu di Sabah yang diluluskan tanpa persetujuan dewan undangan negeri.

Sabah secara konsisten menolak TSA, begitu juga Terengganu.

Pada April 2024, anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu sebulat suara meluluskan usul untuk menolak Akta tersebut, dengan menyatakan ia melanggar hak negeri untuk meneroka sumber dan menjana hasil dalam sempadan maritimnya, lapor Bernama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS