Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke sekolahkan Lim soal disiplin DAP lepas perbalahan dengan KM
Diterbitkan:  Mar 21, 2026 12:41 PM
Dikemaskini: 5:51 AM

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini menegur penasihat partinya Lim Guan Eng berhubung kritikan berterusan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Dalam satu kenyataan, Loke berkata kepimpinan DAP "sangat bimbang dan terganggu" dengan pertikaian terbuka yang sedang berterusan antara bekas ketua menteri Pulau Pinang itu dan Chow, berkaitan kadar cukai tanah baharu di Pulau Pinang.

Sehubungan itu, katanya, bahawa dia juga akan mengatur satu pertemuan antara kedua-dua pemimpin tersebut untuk menyelesaikan perbalahan berterusan mereka secara baik.

Anthony Loke

Loke menyifatkan pertelingkahan awam itu sebagai sesuatu yang tidak sihat dan tidak wajar untuk menyelesaikan perbezaan dalaman mengenai perkara dasar awam, sambil menyatakan ia berlaku pada waktu yang sangat sensitif di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang semakin meningkat.

Dia juga melabelkan pendekatan Lim sebagai "sangat tidak wajar."

"Lim, sebagai bekas setiausaha agung DAP dan bekas ketua menteri Pulau Pinang, sewajarnya menghargai sepenuhnya kepentingan disiplin parti.

"Sebarang perselisihan faham, terutamanya daripada penyokong kerajaan mengenai keputusan kerajaan negeri, harus ditangani melalui mekanisme dalaman yang sedia ada dan bukannya didedahkan secara terbuka.

“Perbezaan pendapat tidak seharusnya dinyatakan dengan memperlekehkan ketua menteri kita sendiri dan kerajaan negeri," tambah Loke.

Loke yang juga adalah menteri pengangkutan menegaskan bahawa walaupun kelakuan Lim tidak wajar, Chow, sebagai ketua menteri, tetap perlu memandang serius kebimbangan tersebut kerana ia menyentuh kepentingan awam dan mencerminkan rungutan pelbagai pihak berkepentingan.

Katanya, walaupun terdapat keperluan untuk menyemak semula kadar cukai tanah di zon komersial bagi memastikan kelestarian kewangan kerajaan negeri Pulau Pinang, pendekatan itu mestilah seimbang, responsif, dan bertimbang rasa.

"Khususnya, cukai tanah yang melibatkan institusi pendidikan seperti sekolah awam tidak seharusnya dinaikkan secara berlebihan, dan kadar nominal harus dikenakan. Pertelingkahan awam ini mesti dihentikan, dan disiplin parti mesti ditegakkan pada setiap masa.

"Fokus kita mesti kekal untuk berkhidmat kepada rakyat dan menjaga kepentingan awam. Pemimpin parti mesti mengelak daripada bertengkar secara terbuka dan sebaliknya bekerjasama secara membina demi kepentingan terbaik rakyat," tambahnya.

Dia menggesa agar pemimpin parti berhenti bertelingkah secara terbuka dan kembali fokus untuk berkhidmat kepada rakyat serta melindungi kepentingan awam.

Hubungan antara Lim dan Chow semakin tegang kebelakangan ini, dengan kedua-dua mereka bertelagah secara terbuka.

Walaupun Lim bersikap kritikal secara terbuka terhadap kepimpinan Chow, kenyataannya semalam adalah serangan paling kerasnya terhadap penggantinya itu setakat ini.

Dalam kenyataan itu, Lim yang juga anggota parlimen Bagan, mendakwa ramai pengundi Pulau Pinang tidak akan menyokong Chow, jika mereka menyedari bahawa manifesto pilihan raya negeri 2023 kerajaan Madani membenarkan kenaikan kadar cukai tanah sehingga beribu-ribu kali ganda lebih tinggi.

Katanya, dia terkejut dengan kenyataan terbaru Chow bahawa manifesto pilihan raya bukan dokumen yang menyekat kerajaan negeri daripada memperkenalkan inisiatif atau dasar baru jika dianggap perlu untuk kestabilan ekonomi dan kesejahteraan negeri.

Dia seterusnya mengkritik cubaan Chow untuk membandingkan kenaikan cukai tanah dengan cadangan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC), yang juga tidak disebut dalam manifesto tetapi diteruskan kerana tuntutan ekonomi yang berubah.

Dalam mewajarkan serangannya terhadap Chow, Lim mengketengahkan kes di Batu Kawan — kawasan parlimen yang diwakili oleh Chow — termasuk sebuah rumah kampung di Juru yang cukai tanah didakwa meningkat daripada RM12 kepada lebih RM34,000, dan seorang lagi pemilik tanah yang mendakwa berada di bawah tekanan kewangan yang teruk disebabkan kadar semakan itu.

Lim berkata pejabatnya menerima banyak aduan daripada penduduk yang bergelut dengan beban cukai tanah yang lebih tinggi.

Sebelum ini, Lim mendesak Chow turun padang untuk melihat sendiri kesan cukai tanah baru itu kepada penduduk umum. Sebagai maklum balas, Chow menafikan dia tidak peka dengan kebimbangan penduduk di Pulau Pinang.

Chow berkata dia berterusan mengadakan libat urus dengan penduduk di semua daerah di negeri itu, terutamanya melalui program Jelajah Ramadan. Dia juga dilaporkan berkata bahawa pihak kerajaan negeri telah menyelesaikan lebih 500 daripada lebih 2,000 kes berkaitan cukai tanah.

Dalam satu kenyataan ringkas semalam bagi menjawab kritikan Lim, Chow berkata fokus kerajaan Pulau Pinang sekarang adalah untuk membolehkan pemilik tanah membuat rayuan.

“Setiap kes akan disemak, dan keputusan akan dimaklumkan.

“Kerajaan negeri mengumumkan tujuh konsesi minggu lepas,” katanya dalam kenyataan satu perenggan kepada media.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS