Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar memberi amaran mengenai risiko pemberhentian pekerja dan kenaikan harga barang asas susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik berterusan di Asia Barat.
Katanya, kesan geopolitik tersebut kini mula dirasai melalui gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos logistik yang sekali gus menekan kos pengeluaran merentasi pelbagai sektor.

"Tanpa intervensi dasar yang proaktif, risiko pemberhentian pekerja boleh meningkat, khususnya dalam sektor pembuatan, logistik, perusahaan kecil dan sederhana yang amat terkesan susulan kenaikan kos bahan mentah.
"Kesan rantaian ini tidak dapat dielakkan dan dalam tempoh beberapa bulan mendatang, negara berkemungkinan berdepan dengan kenaikan harga barang asas dan makanan, peningkatan kos pengangkutan dan logistik, kenaikan kos utiliti dan perkhidmatan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Bagi mendepani krisis tersebut, Samsuri mencadangkan penubuhan Majlis Perundingan dan Intervensi Ekonomi Negara yang melibatkan kerjasama antara kerajaan dan pembangkang.
Tegasnya, Malaysia memerlukan pendekatan non-partisan yang mengutamakan kepentingan nasional berbanding agenda politik kepartian.
"Saya mencadangkan penglibatan semua pihak secara menyeluruh termasuk kerajaan, pembangkang, Badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli akademik, pemain industri serta wakil masyarakat sivil dalam satu forum seumpama Majlis Perundingan dan Intervensi.
"Pendekatan ini bukan soal politik, tetapi soal kelangsungan negara. Malaysia tidak boleh bergerak secara berpecah mengikut garis kepartian (apabila) kestabilan ekonomi negara dan kebajikan rakyat menjadi taruhan," katanya lagi.

Samsuri yang juga menteri besar Terengganu dan naib presiden PAS menambah, penglibatan kolektif itu penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan keperluan negara dalam menghadapi cabaran ekonomi yang semakin meruncing.
“Kita mesti menghimpunkan kekuatan seluruh negara dengan merentasi perbezaan politik dan latar belakang untuk menghadapi cabaran ini secara bersama.
“Apabila kestabilan ekonomi negara dan kebajikan rakyat menjadi taruhan, keutamaan kita semestinya kesejahteraan dan daya tahan Malaysia,” katanya lagi.
