Dikir barat adalah kesenian tradisi negeri Kelantan yang sudah melalui garis waktu panjang dalam sejarah perkembangan dan pengaruhnya dengan sisi-sisi dinamik serta keunikan tersendiri.
'Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan', kesinambungan seni persembahan pentas itu kekal relevan bahkan tetap bersifat malar segar walaupun diolah peredaran zaman dan arus kecanggihan teknologi.
Selain mengekalkan versi dikir barat tradisional, seni hiburan itu juga mengalami transisi kepada bentuk persembahan moden membabitkan aspek muzik, lagu, melodi dan aspek persembahannya.
Dari generasi ke generasi, seni dikir barat sama ada tradisional atau moden sehingga kini terus mendapat tempat di hati masyarakat Kelantan khususnya, dan tidak kurang sambutan menggalakkan diberikan oleh masyarakat luar Kelantan.
Namun, antara sisi yang jarang diperkatakan dalam konteks industri kesenian tradisional dan hiburan tempatan itu adalah penglibatan golongan wanita.
Walaupun ia dianggap berlawanan dengan acuan sistem pentadbiran dan penguatkuasaan undang-undang negeri, penglibatan pendikir wanita tidak boleh dikesampingkan bahkan tidak pernah pupus sama sekali.
Malah di sebalik usaha kerajaan negeri mencegah golongan wanita menceburi diri sebagai penyanyi dikir barat atau juga dipanggil sebagai pendikir secara terbuka, penglibatan kaum hawa itu sentiasa dilihat menggalakkan.
Lebih-lebih lagi dengan kemunculan pelbagai medium penyiaran yang lebih terbuka dan mudah diakses, aktiviti nyanyian dikir barat di kalangan kaum wanita semakin rancak sekali gus seolah-olah memberi gambaran bahawa larangan yang dikenakan hanyalah 'simbolik'.
Penglibatan wanita dalam kesenian dikir barat ini juga melalui perubahan yang unik sejajar dengan kemajuan platform penyiaran melalui media-media sosial atau aplikasi streaming.
Larangan bermula
Jika suatu masa dahulu, pendikir wanita aktif di kawasan-kawasan kampung bahkan secara tersorok bagi membuat penampilan yang dianggap istimewa bagi menarik kehadiran penonton ke persembahan yang dianjurkan.
Penganjuran persembahan itu biasanya berlangsung sempena kenduri perkahwinan, aktiviti kemasyarakatan, latihan kumpulan dikir barat atau persembahan mega berbayar melalui jualan tiket.

Bagaimanapun kegiatan yang menampilkan penyanyi wanita mula 'terancam' apabila kerajaan negeri memperkenalkan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Kelantan 1998, kemudian diganti enakmen sama yang lebih efektif pada 2025.
Enakmen itu disusuli dengan garis panduan hiburan dan sukan negeri Kelantan yang meletakkan syarat di mana penggiat seni (artis) wanita hanya dibenarkan membuat persembahan di hadapan khalayak wanita secara tertutup sahaja.
Perkara itu dikecualikan bagi persembahan sajak, puisi, pantun, syair, atau lain-lain persembahan seumpamanya yang berbentuk keagamaan atau patriotik, di samping pengecualian bagi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ke bawah yang dibenarkan membuat persembahan di hadapan khalayak secara terbuka.
Era Norma Dahlia hingga Eda Ezrin
Di sebalik kekangan undang-undang, bagaimanapun kehadiran bakat-bakat baru dalam persembahan seni suara di Kelantan ibarat seperti cendawan tumbuh sesudah hujan hingga ke hari ini.
Cuma, kaedah dan ekspresi bakat itu diperluas ke medium media baru yang dilihat di luar bidang kuasa Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Kelantan 2025.
Berkongsi pengalaman berkecimpung sebagai penyanyi dikir barat, Norma Abdullah, 57, berkata dia bermula ketika berusia 17 tahun dalam tahun-tahun 1980-an di mana seni dikir barat begitu meriah merebak ke seluruh negeri.
"Ketika itu belum ada sekatan, kemunculan penyanyi dikir wanita juga agak ramai dan mendapat sambutan yang meriah oleh masyarakat setempat. Saya dijemput buat persembahan serata negeri, melalui pahit-manis yang pelbagai.
"Ada satu masa tiap-tiap hari dijemput buat persembahan, kecuali malam Jumaat. Persembahan dikir barat melibatkan wanita agak bebas ketika itu, tetapi yang penting kita menjaga adab, kesopanan dan penampilan sebagai wanita Melayu.
"Dari segi pemakaian kita tidak terpengaruh dengan cara pakaian artis-artis hiburan lain. Kita tak pakai baju atau seluar yang ketat, dan jaga tingkah-laku yang sopan sebagai orang Melayu," katanya yang lebih dikenali dengan nama gelaran Norma Dahlia dalam temubual bersama Malaysiakini.

Selain Dahlia, antara penyanyi dikir yang turut popular di zamannya seperti Noriha Bunga Raya, Ani Cantik Molek, Syarifah Aloyah, Rohaya dan Faridah Bobby serta ramai lagi termasuk penyanyi dari Selatan Thailand.
"Ketika itu banyak penganjuran dikir barat diadakan dengan mengenakan bayaran tiket kepada penonton, persembahan biasanya dibuat di kawasan lapang yang ditutup dengan bidai guni mengelilingi pentas atau khemah persembahan.
"Setiap penonton perlu beli tiket untuk masuk, dengan bayaran tiket itulah penganjur bayar pula kepada kami. Biasanya RM50 (setiap persembahan) pada masa itu, selain duit diberikan oleh penonton ketika persembahan berlangsung," katanya sambil menambah dia tidak pernah dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa sepanjang karier.
Popular dengan lagu 'Bunga Dahlia', ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, rentak perjalanan kariernya menjadi perlahan apabila berlaku perubahan pentadbiran kerajaan negeri pada tahun 1990.
Namun katanya, kegiatan dikir barat masih diberi kelonggaran untuk menampilkan penyanyi wanita di sesetengah lokasi dan bergantung kepada kelulusan permit pihak berkuasa.
"Ketika itu sudah tidak bebas, jemputan dikir pun perlahan tapi masih ada kelonggaran. Tengoklah bergantung kepada lokasi dan kelulusan permit yang dipohon penganjur.
"Tetapi masih ada permintaan untuk terbitkan album rakaman kaset, sebelum beralih kepada VCD (cakera padat video). Saya sempat merakam puluhan kaset dan empat album bersama rakan-rakan lain melalui VCD," katanya sambil memberitahu hasil penerbitan album itu menjadi pendapatan untuk menampung kehidupan seharian.

Norma berkata, dia melihat penglibatan penyanyi dikir barat sehingga kini terus mendapat sambutan malah semakin ramai bakat baru ditonjolkan melalui platform media baru.
"Selepas generasi saya, muncul pula bakat baru dan sehingga sekarang pun masih ramai. Cuma sekarang penyanyi wanita lebih ditonjolkan dengan unsur nyanyian moden.
"Saya rasa kita perlu pertahan dan ketengahkan keaslian seni dikir barat, manakala nyanyian dikir yang menggunakan muzik moden cukuplah sebagai sampingan. Kita kena tunjukkan pada generasi baru hari ini dengan dikir barat yang asli," katanya yang kini mengusahakan kedai makan di Kampung Kayu Kelat, Jerteh.
Puteri Suara Gendang
Seorang penggiat dikir barat wanita yang dikenali sebagai Dikming, 32, berkata sambutan terhadap kesenian warisan itu sehingga kini sangat baik walaupun melibatkan persembahan individu atau kumpulan wanita.
Berkongsi pengalamannya, dia menubuhkan pasukan Puteri Suara Gendang pada Ogos tahun lalu untuk terus melibatkan diri dan berkarya dalam dikir barat.
Katanya, penubuhan kumpulan dikir barat wanita itu melibatkan ahli keluarga terdekat sebagai ahli kumpulan termasuk ahli lelaki sebagai pemain alat muzik.
"Saya sendiri sebagai tok juara, manakala awak-awak semuanya perempuan terdiri daripada anak-anak saudara, mak saudara dan sepupu-sepupu saya. Cuma pemain muzik ahli keluarga lelaki.
"Saya sejak usia 12 tahun lagi berkecimpung dengan dikir barat, sudah sebati sejak kecil sebab ayah dan datuk juga terlibat dengan dikir barat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Dikming berkata, penglibatan wanita dalam dikir barat adalah sesuatu yang unik memandangkan tradisi itu dimonopoli oleh golongan lelaki.
Namun katanya, aspek-aspek positif perlu dilihat selagi tidak menonjol secara berlebihan selain mengakui bahawa undang-undang perlu dihormati.
"Kumpulan saya ini lebih kepada untuk pamerkan keaslian dikir barat, kita jaga kesopanan sebagai wanita, jaga adab, tingkah laku termasuk cara berpakaian dan pergaulan.
"Latihan kumpulan juga cuma buat di halaman rumah, kecuali kalau ada jemputan persembahan persahabatan daripada kumpulan lain. Setakat ini tak banyak (jemputan) sebab baru saja ditubuhkan, tetapi pernah dijemput mengadakan persembahan secara tertutup," katanya yang juga aktif menulis lirik lagu nyanyian dikir barat.
Setiap kali sesi latihan Dikming akan menyiarkan persembahan mereka secara langsung melalui aplikasi TikTok dan sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.
"Harapan saya, insya-Allah saya akan kekalkan seni warisan dikir barat, walaupun undang-undang tak benarkan wanita buat persembahan terbuka, kita usahakan secara tertutup agar bakat generasi muda boleh diketengahkan, dikekalkan jangan ditelan zaman dan yang penting jangan tonjolkan perkara yang bukan-bukan.
"Selain mengetuai kumpulan Puteri Suara Gendang, saya juga berjinak-jinak dalam mencipta lagu nyanyian dikir barat. Yang terbaru dipopularkan Eda Ezrin berjudul 'nasib diri'," katanya.
Era Eda Ezrin
Eda Ezrin juga merupakan penyanyi dikir barat wanita yang kini aktif bergiat dalam persembahan itu, namun dia lebih tertumpu kepada pengeluarkan video persembahan melalui saluran media sosial selain mengadakan persembahan pentas.
Pemilik nama sebenar Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail itu juga dilihat segera bangkit selepas diuji dengan penahanannya oleh pihak berkuasa di negara jiran dua tahun lalu.

Ibu kepada dua cahaya mata yang bebas dari penjara Narathiwat pada Ogos lalu itu tidak menungu lama untuk kembali aktif berkarya malah menembusi industri muzik arus perdana selepas lagu duet 'Cinta Setandang Pisang' yang dirakam bersama Den Manjo menggungguli kategori Lagu Etnik Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-24, Sept lalu.
Pencapaian itu menunjukkan betapa bakat pendikir wanita dari Kelantan boleh diketengahkan dengan lebih jauh untuk bersaing dengan artis-artis arus perdana di seluruh negara.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Eda Ezrin bagaimanapun tidak dapat ditemu bual buat masa ini kerana terlalu sibuk dengan urusan perniagaan dijalankan sepanjang bulan Ramadan.
Dikir barat di hujung jari
Aktivis dan penggiat dikir barat, Mohd Sulhie Yusuf, berpendapat isu penglibatan wanita dalam kesenian dikir barat sememangnya dikawal melalui enakmen kerajaan negeri.
Namun katanya, masih ada persembahan dibuat oleh pendikir wanita secara 'haram' yang kebiasaannya berlangsung di premis persendirian atau majlis kenduri di kampung.
"Kebanyakan yang meriah ialah majlis-majlis di premis (persendirian), kalau kenduri di kampung secara 'haram', kalau minta permit memang tak dapat. Tapi biasanya ada yang langgar saja, biasanya di kampung-kampung, di pedalaman ada penyanyi wanita yang menyanyi, tapi tidak secara terbuka.
"Sejak dulu secara aslinya, penyanyi wanita tampil sebagai acara nyanyian selingan yang menjadi jurang antara giliran pasukan dikir yang buat persembahan atau pertandingan. Ia masih jadi amalan, cuma kekangan undang-undang tidak membantu mereka dan membataskan perkembangan pendikir wanita secara 'halal', kalau secara 'haram' banyak," ujarnya yang lebih dikenali sebagai Yie Arjunasukma.
Tambahnya, kemunculan media baru secara atas talian seperti YouTube dan TikTok membuka ruang seluas-luasnya kepada pendikir wanita untuk mengetengahkan bakat mereka.
"Bagi mereka yang lebih bijak ambil kesempatan daripada ruang media baru, mereka boleh menjana pendapatan melalui bidang ini. Bagi saya ia platform begitu baik, medium ini tak terikat dengan undang-undang yang menghalang penglibatan penyanyi wanita buat pesembahan.
"Kita boleh tengok bakat-bakat baru boleh tonjolkan diri hingga jadi terkenal, kemudiannya mereka berkembang apabila ada pihak metaja untuk mempromosi produk-produk dalam sektor keusahawanan," kata Mohd Sulhie.

Seorang lagi penggiat dikir barat di Kelantan, Sulizi Che Awang, berpendapat enakmen yang diperkenalkan kerajaan negeri tidak mampu mengawal secara keseluruhan penglibatan wanita dalam kesenian itu, namun mampu mencegah elemen-elemen yang bertentangan dengan agama Islam.
Dia bersetuju bahawa penglibatan golongan wanita melalui persembahan secara terbuka lebih banyak keburukan berbanding kebaikan khususnya apabila meonjolkan pergerakan fizikal atau joget.
"Kalau nak kata undang-undang menyekat wanita terlibat dengan dikir barat memang betul, tapi bukan secara keseluruhan. Dari segi agama pun tidak benarkan apabila melibatkan keadaan yang mencolok mata atau berlebihan melibatkan pergerakan fizikal yang boleh mendatangkan suatu bentuk akhlak yang tidak baik.
"Memang ada sekatan, tetapi tidak seratus peratus sehingga menyekat sepenuhnya perkembangan dikir barat oleh kaum wanita. Masih ada kelonggaran misalnya ada anjuran pertandingan dikir barat wanita, tetapi persembahannya hanya melibatkan khalayak wanita sahaja.
"Ada yang kerajaan negeri mampu sekat apbila persembahan secara terbuka, tetapi kalau pertandingan tertutup ia dibenarkan, begitu juga persembahan semasa majlis keraian, kenduri, mungkin diberikan kelonggaran.
"Namun jika situasi tidak terkawal, maka ada tindakan suslan akan dikenakan. Biasanya nyanyian wanita dalam bentuk dikir rakyat, sekarnag ini jarang kita tengok berlangsung pada waktu malam, biasanya pada waktu siang," katanya yang lebih dikenali sebagai Cikgu Sulizi.
Berkongsi pengalaman sebagai penerbit album dikir barat, Sulizi berkata, tahun 2000 menjadi pencetus populariti pendikir wanita apabila persembahan mereka dirakam dalam bentuk VCD.
Apabila bermulanya penerbitan VCD tegasnya, penglibatan wanita tiada sekatan malah mereka mula mendapat tempat di hati peminat dikir barat.
"Ketika itulah munculnya Rosalinda, Adik Waniey dan lain-lain yang mendapat perhatian sehingga melahirkan banyak album dikir barat. Misalnya album Jaguh yang diterbitkan dengan jumlah lapan album melibatkan penyanyi wanita.
"Setiap album catat angka jualan sangat memberangsangkan, dan masa itu peminat tak dapat tonton mereka menyanyi di pentas terbuka. Tetapi peminat dapat tengok melalui kaca televisyen dan mereka mula dikenali bukan sahaja di Kelantan bahkan di seluruh negara.
"Kini, dengan kemajuan teknologi dan media baru, orang boleh dengar lagu dikir hanya di hujung jari melalui telefon pintar dengan akses medium atas talian, malah setiap penyanyi kini mempunyai channel masing-masing, jadi semua orang boleh akses.
"Dengan adanya kecanggihan teknologi ini, peminat dikir barat boleh dengar dan tengok lagu-lagu pendikir wanita seperti Eda Ezrin, bahkan arus pekembangan dikir barat wanita semakin hari semakin berkembang mendapat tempat di hati peminat, perkara ini tidak boleh disekat lagi termasuk melalui enakmen kerajaan negeri," katanya yang popular dengan lagu 'Cinta Seorang Saing'.
