Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Luka dibuli jadi kekuatan: Yazmin Aziz kini buru impian global
Diterbitkan:  Mar 23, 2026 10:14 AM
Dikemaskini: 2:14 AM

Pernah melalui pengalaman pahit dibuli ketika zaman kanak-kanak kerana tidak fasih berbahasa Melayu, penyanyi muda berbakat besar Yazmin Aziz menjadikan luka masa lalu itu sebagai sumber kekuatan untuk melangkah lebih jauh dalam kerjaya seni.

Gadis kacukan Melayu-Filipina itu membuktikan pengalaman tersebut tidak mematahkan semangatnya, selain membentuk dirinya menjadi seorang artis yang lebih berani, autentik dan sarat emosi dalam berkarya.

Yazmin, 25, berkata pengalaman dibuli bermula ketika beliau kembali ke Malaysia dari Filipina pada usia 10 tahun dan terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu di Kuala Lumpur.

"Saya membesar di Filipina dan apabila kembali ke Malaysia saya agak bergelut di sekolah kerana masih belum fasih berbahasa Melayu.

"Akibatnya saya dibuli dan diejek rakan-rakan di sekolah. Malah ada yang sampai bertindak secara fizikal dan ini memberi kesan kepada saya sehingga pernah rasa tidak seronok untuk ke sekolah. Namun apabila semakin dewasa, saya belajar mengawal emosi, dan hari ini saya meluahkan segala pengalaman itu melalui lagu-lagu saya," katanya kepada Bernama.

Tidak mahu menoleh ke belakang, pemegang pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Komunikasi Massa (Pengajian Media) ini menjadikan setiap pengalaman yang dilaluinya sebagai inspirasi untuk menghasilkan karya lebih jujur serta dekat dengan pendengar.

Yazmin mencuri perhatian peminat muzik tanah air apabila menjadi satu-satunya peserta dari Asia Tenggara pada pertandingan nyanyian Silk Way Star di Kazakhstan baru-baru ini, yang secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang untuknya menembusi pasaran antarabangsa.

"Rancangan itu memberi impak besar terhadap perkembangan kerjaya saya. Banyak video persembahan saya dalam program itu tular di TikTok dan membuatkan ramai rakyat Malaysia mula menyedari bakat serta kemampuan saya.

"Kini, saya menerima pelbagai tawaran persembahan dari luar negara termasuk Singapura, Filipina dan Dubai (Emiriah Arab Bersatu). Peluang untuk bergerak ke peringkat global sekarang sangat besar dan saya mahu orang melihat kemampuan saya bukan sahaja dalam satu bahasa, tetapi pelbagai bahasa antaranya Melayu, Inggeris dan Tagalog," katanya.

Dalam masa sama, anak sulung daripada tiga beradik itu berkata selain menumpukan pada kerjaya muzik, beliau juga masih aktif menghasilkan kandungan kreatif termasuk video komedi di platform media sosial seperti TikTok.

"Walaupun sekarang sibuk dengan persembahan di luar negara, minat saya dalam menghasilkan kandungan di media sosial dan berlakon tidak padam. Saya sentiasa terbuka untuk menerima sebarang tawaran, terutama dalam bidang lakonan," katanya yang sebelum ini pernah menolak beberapa tawaran kerana memberi tumpuan kepada pelajaran.

Sementara itu, berkongsi mengenai single terbaharunya berjudul Nagpalinlang dalam bahasa Tagalog, Yazmin berkata karya tersebut mengangkat tema kekecewaan dalam percintaan yang mudah dikaitkan dengan ramai pendengar.

"Ramai yang menghantar mesej peribadi dan berkongsi pengalaman mereka selepas mendengar lagu ini. Bagi saya, muzik bukan sekadar hiburan, tetapi sesuatu yang boleh menyentuh hati orang.

"Walaupun kini banyak menghasilkan lagu dalam bahasa Tagalog, saya tetap terbuka untuk menghasilkan karya dalam bahasa Inggeris dan Melayu," katanya.

Dalam industri muzik yang semakin kompetitif, beliau turut menegaskan bahawa keaslian menjadi asas kepada identiti seninya sebagai penyanyi.

"Ramai artis mengikut trend nyanyian, tetapi saya mahu suara saya kekal asli. Apabila saya menyanyi, saya mahu orang benar-benar merasakan jiwa saya," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS