Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perkembangan perang di Asia Barat
Diterbitkan:  Mar 23, 2026 10:45 AM
Dikemaskini: 2:56 AM

Perang di Asia Barat antara AS-Israel dan Iran tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan terhenti. Berikut perkembangan terbaharu perang tersebut yang bermula sejak 28 Februari lalu.

Israel luaskan serangan darat, udara terhadap Hizbullah di Lubnan

Ketua Turus, Tentera Israel Leftenan Jeneral Eyal Zamir telah meluluskan rancangan memperluaskan operasi ketenteraan darat dan udara terhadap kumpulan Hizbullah di Lubnan.

Laporan AFP menyebut langkah itu diambil ketika konflik semakin memuncak berikutan serangan roket oleh Hizbullah ke arah wilayah utara Israel awal bulan ini, di tengah-tengah perang berterusan antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran.

Ia sekaligus meningkatkan kebimbangan satu pencerobohan berskala besar mungkin sedang dirancang.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, lebih daripada 1,000 orang telah terbunuh sejak peningkatan ketegangan itu, termasuk sekurang-kurangnya 118 kanak-kanak dan 40 petugas kesihatan.

Lebih sejuta penduduk turut berpindah, mencetuskan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan besar.

Iran lancar lebih 400 peluru berpandu balistik ke Israel

AFP juga melaporkan tentera Israel memaklumkan bahawa Iran telah melancarkan lebih 400 peluru berpandu balistik sejak bermulanya perang di Asia Barat.

Namun, rejim Yahudi itu mendakwa kira-kira 92 peratus daripadanya berjaya dipintas.

Angka itu diumumkan sehari selepas peluru berpandu Iran mengenai dua bandar di selatan Israel, Dimona dan Arad yang menyebabkan kira-kira 175 individu memerlukan rawatan perubatan.

"Iran melancarkan lebih 400 peluru berpandu balistik. Kami mencatatkan kadar pintasan yang sangat tinggi.

"Kami mempunyai kira-kira 92 peratus kadar kejayaan pintasan," kata jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Nadav Shoshani kepada wartawan.

AS-Israel bedil pusat penyiaran di selatan Iran, seorang terbunuh

AS-Israel dilaporkan melancarkan serangan di bandar pelabuhan selatan Iran, Bandar Abbas yang mensasarkan menara pemancar radio di Pusat Radio dan Televisyen Teluk Parsi.

Memetik laporan penyiar rasmi Iran, IRIB, pada Isnin, Anadolu Ajansi menyebut serangan itu mengorbankan seorang kakitangan keselamatan dan mencederakan seorang lagi,

Pengarah urusan pusat itu berkata serangan ke atas menara pemancar radio AM 100 kilowatt berkenaan atas dakwaan melanggar undang-undang antarabangsa.

Bagaimanapun menurut IRIB, siaran dari pusat berkenaan disambung semula seperti biasa selepas serangan itu.

Bandar Abbas, yang terletak di pantai utara Selat Hormuz, merupakan pelabuhan strategik penting Iran serta menempatkan pangkalan tentera laut utama negara itu.

Infrastruktur tenaga serantau boleh jadi sasaran jika kemudahan Iran diserang

Iran memberi amaran bahawa infrastruktur tenaga dan infrastruktur kritikal di seluruh rantau Asia Barat akan menjadi “sasaran sah” sekiranya kemudahan milik negara itu diserang, lapor Anadolu Ajansi.

“Sejurus selepas stesen janakuasa dan infrastruktur di negara kami disasarkan, infrastruktur kritikal, infrastruktur tenaga serta kemudahan minyak di seluruh rantau ini akan dianggap sebagai sasaran sah,” kata Speaker Parlimen Mohammad Bagher Qalibaf dalam satu kenyataan yang disiarkan di platform media sosial X.

Dia menambah sasaran berkenaan “akan dimusnahkan dengan cara yang tidak boleh dipulihkan,” sambil memberi amaran bahawa “harga minyak akan kekal tinggi untuk tempoh yang lama.”

Ancaman itu dibuat selepas Presiden AS Donald Trump mengeluarkan ultimatum pada Sabtu, memberi Tehran tempoh 48 jam untuk membuka Selat Hormuz atau berdepan serangan ke atas loji janakuasanya, “bermula dengan yang terbesar terlebih dahulu.”

Menteri Luar Iran Abbas Araghchi pada Jumaat turut memberi amaran bahawa Iran tidak akan menunjukkan "sebarang kekangan" sekiranya infrastrukturnya diserang.

UAE lapor serangan peluru berpandu, dron dari Iran

Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad memaklumkan sistem pertahanan udaranya sedang menangani “ancaman” peluru berpandu dan dron yang menyasarkan negara itu dari Iran susulan ketegangan serantau yang semakin memuncak, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan memaklumkan letupan yang kedengaran di beberapa bahagian negara itu berpunca daripada operasi pintasan oleh sistem pertahanan udara negara berkenaan.

Tiada maklumat diberikan mengenai sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan.

210 kanak-kanak maut di Iran

Sekurang-kurangnya 210 kanak-kanak dilaporkan maut manakala 1,510 yang lain cedera di Iran sejak bermulanya serangan AS dan Israel, kata menteri kesihatan negara itu pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita separa rasmi ISNA, Mohammad-Reza Zafarghandi berkata kira-kira 300 pusat kesihatan, perubatan dan kecemasan turut mengalami kerosakan sejak 28 Feb lepas.

Selain itu beliau menambah, kira-kira 30 ambulans rosak dan tidak dapat lagi digunakan.

Ketegangan serantau terus memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb lepas, yang setakat ini mengorbankan lebih 1,300 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ali Khamenei.

Iran dakwa sistem pertahanan udaranya tembak jatuh jet pejuang F-15

Iran pada Ahad mendakwa sistem pertahanan udaranya menembak jatuh sebuah jet pejuang F-15 berhampiran Pulau Hormuz di selatan negara itu, lapor agensi berita separa rasmi ISNA.

Memetik kenyataan Markas Pemerintah Pertahanan Udara Bersama Iran, pesawat perang itu dipintas di ruang udara pantai selatan negara itu berhampiran Pulau Hormuz.

Menurut kenyataan itu, pesawat berkenaan sempat melancarkam peluru berpandu sebelum menjadi sasaran sistem pertahanan udara Iran.

Tiada pengesahan segera daripada sumber lain, dan tiada butiran lanjut diberikan mengenai nasib juruterbang atau serpihan bangkai pesawat itu.

Ketegangan serantau terus memuncak sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb lepas, yang setakat ini mengorbankan lebih 1,300 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ali Khamenei.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS