mk-logo
Berita
Serangan AS, Israel rosakkan lebih 81,000 tempat awam di Iran
Diterbitkan:  Mar 23, 2026 2:58 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

Bulan Sabit Merah Iran melaporkan kerosakan meluas pada rumah, premis perniagaan dan kemudahan kemanusiaan di beberapa wilayah, lapor Agensi Berita Mehr (MNA).

Pirhossein Kolivand, ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, mengumumkan bahawa serangan udara telah merosakkan lebih 81,000 bangunan awam dan menyatakan pusat perubatan, sekolah, ambulans serta pekerja bantuan adalah antara yang menjadi sasaran.

Kolivand menyifatkan serangan itu sebagai amat membimbangkan dan menggesa badan antarabangsa untuk mengambil tindakan segera serta berkesan bagi menghentikan serangan terhadap orang awam, pekerja bantuan, pusat perubatan dan infrastruktur penting, di samping mengemukakan tindakan undang-undang melalui institusi antarabangsa yang bertanggungjawab.

Beliau berkata penilaian lapangan menunjukkan sebanyak 81,365 unit awam telah rosak, termasuk 61,555 unit kediaman dan 19,020 unit komersial di seluruh wilayah yang berbeza.

Kolivand menambah bahawa di Tehran sahaja, sebanyak 24,605 unit kediaman dan komersial telah rosak.

Beliau berkata 275 pusat farmaseutikal, perubatan, kesihatan dan kecemasan, 498 sekolah, 17 pusat Bulan Sabit Merah, tiga helikopter dan 48 kenderaan operasi - termasuk ambulans, kenderaan menyelamat serta sokongan - turut mengalami kerosakan.

Beliau seterusnya berkata 10 pekerja bantuan cedera di bandar termasuk Tehran, Mahabad dan Khomein, manakala seorang pekerja bantuan Bulan Sabit Merah dari Isfahan terkorban semasa operasi menyelamat.

Menurut Kolivand, seramai 206 orang yang berkaitan dengan sektor pendidikan terbunuh dan 154 guru serta pelajar cedera, manakala dalam sektor perubatan, 21 orang terbunuh dan 103 lagi cedera.

Beliau menegaskan bahawa di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, orang awam, kakitangan perubatan, pekerja bantuan, hospital, sekolah dan pengangkutan perubatan berhak mendapat perlindungan khas dan tidak boleh dijadikan sasaran.

- Bernama-MNA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS