mk-logo
Berita
Azam cadang tiga undang-undang baru kekang salah guna dana, rasuah
Diterbitkan:  Mar 23, 2026 5:27 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki mencadangkan sekurang-kurangnya tiga undang-undang baru bagi menutup kelompongan dalam pembiayaan awam, sekali gus mencegah salah guna dana dan rasuah.

Katanya, cadangan itu merangkumi rasuah berskala besar selain kutipan dana oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Akta ini dicadangkan dalam usaha mencegah penyalahgunaan dana hasil derma awam oleh mereka yang menggelar diri mewakili NGO, mengutip wang kononnya untuk disalurkan kepada pihak kurang bernasib baik," katanya seperti dipetik BH Online.

Ketika membentangkan cadangan itu, Azam menjelaskan undang-undang pertama berkait salah laku dalam jawatan awam, dengan tujuan mencegah perlakuan tidak wajar dalam kalangan penjawat kerajaan yang boleh membuka ruang kepada kesalahan lebih serius.

Undang-undang kedua pula melibatkan cadangan Akta Kebajikan bagi mengekang penyalahgunaan dana awam oleh NGO, katanya.

Azam turut menggesa penubuhan Suruhanjaya Kebajikan bagi membendung penyalahgunaan sumbangan awam dan korporat, sambil menjelaskan bahawa SPRM mengesan kebimbangan berhubung potensi salah guna oleh individu yang mempunyai akses kepada dana tersebut.

Cadangan undang-undang ketiga berkaitan pembiayaan politik, yang disifatkan Azam sebagai penting dalam mencegah konflik kepentingan, rasuah dan pengaruh tidak wajar dalam politik.

“Pendanaan politik pula bukan isu baharu kerana ia dibincangkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 lagi, tetapi belum dilaksanakan kerajaan. Namun isu ini tetap membimbangkan dan mendapat gesaan banyak pihak untuk penggubalan akta yang lebih ketat.

"Ia termasuklah keperluan mendedahkan sumbangan dan pinjaman politik untuk mencegah konflik kepentingan, rasuah dan pengaruh tidak wajar dalam politik," katanya lagi.

Perkembangan ini berlaku ketika Azam berdepan kritikan awam susulan laporan Bloomberg dan Malaysiakini yang mendakwa dia memiliki pegangan saham besar dalam dua syarikat, melebihi had dibenarkan perkhidmatan awam.

Bloomberg turut melaporkan sebelum ini bahawa pegawai SPRM didakwa bersekongkol dengan individu swasta untuk menekan pesaing perniagaan serta mengatur pengambilalihan korporat, dengan dakwaan Azam mengetahui — malah menyokong — tindakan tersebut.

Azam kemudian memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Bloomberg namun hanya berkaitan dakwaan tertentu mengenai pegangan sahamnya.

Susulan dakwaan itu, sumber kanan tanpa nama memberitahu The Straits Times bahawa kontrak Azam tidak akan disambung selepas tamat pada 12 Mei.

Mengulas lanjut, Azam mendedahkan cadangan itu susulan siasatan SPRM terhadap beberapa NGO, termasuk sebuah organisasi yang mendakwa mengutip derma untuk Palestin, selain pempengaruh media sosial yang meminta sumbangan dan infaq daripada orang ramai kononnya bagi tujuan kebajikan.

Katanya, pegawai penyiasat menemukan pelbagai modus operandi selepas membuka kertas siasatan terhadap pihak yang disyaki terlibat.

“Aktiviti kutipan dana awam atau crowdfunding semakin berleluasa, sekali gus membuka ruang kepada penyelewengan kerana tiada mekanisme semak dan imbang yang telus," jelasnya.

Berhubung rasuah berskala besar, Azam berkata Malaysia belum mempunyai undang-undang khusus bagi menangani kesalahan itu, dengan Akta SPRM 2009 kekal sebagai perundangan utama digunakan untuk mendakwa jenayah rasuah.

Namun, katanya peruntukan lain seperti Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Akta Tatacara Kewangan 1957, serta Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 boleh digunakan terhadap salah guna dana awam.

Dia turut memuji FRA dengan menegaskan kepentingannya dalam memastikan disiplin fiskal negara, ketelusan dan kelestarian kewangan.

Menurut Azam lagi, akta itu juga bertujuan mengekang pembentukan liabiliti luar kunci kira-kira seperti jaminan kerajaan, pampasan konsesi dan penyelamatan melibatkan syarikat berkaitan kerajaan serta projek mega, di samping memastikan keputusan fiskal utama dibuat dalam kerangka undang-undang jangka panjang yang teratur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS