Kritikan Ketua Penerangan Bersatu terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani bertitik tolak daripada satu perbandingan yang kelihatan mudah: ketika era PN, negara berhutang besar tetapi rakyat kononnya berasa lega, manakala hari ini hutang terus meningkat, subsidi disusun semula dan kos sara hidup masih tinggi. Berdasarkan gambaran tersebut, kerajaan semasa dilabel gagal.
Sekilas pandang, hujah ini tampak meyakinkan. Namun apabila diteliti secara mendalam, ia lebih bersifat retorik politik berbanding analisis ekonomi yang menyeluruh.
PN mentadbir ketika negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi terbesar dalam sejarah moden. Aktiviti ekonomi hampir terhenti, perniagaan gulung tikar dan jutaan rakyat kehilangan punca pendapatan. Dalam situasi luar biasa itu, kerajaan memang terpaksa berhutang dalam jumlah besar bagi memastikan rakyat terus bertahan dan ekonomi tidak runtuh sepenuhnya. Perbelanjaan tersebut adalah langkah kecemasan, bukan model pengurusan yang boleh dikekalkan selepas krisis berlalu.

Apa yang jarang disentuh ialah kerajaan hari ini mewarisi kesan langsung daripada tempoh tersebut. Pandemik tidak berakhir dengan pemulihan serta-merta. Negara masih menanggung beban hutang tinggi, defisit fiskal yang melebar serta struktur subsidi menyeluruh yang semakin sukar dipertahankan.
Hutang ketika krisis bertujuan menyelamatkan. Hutang selepas krisis bertujuan memulihkan dan menstabilkan.
Mengangkat perbelanjaan era PN sebagai bukti kecekapan pengurusan tanpa melihat kesan jangka panjang sebenarnya mengabaikan hakikat bahawa banyak langkah ketika itu menangguhkan penyesuaian fiskal yang perlu dilakukan sebaik ekonomi dibuka semula. Jika pendekatan sama diteruskan tanpa perubahan, risiko terhadap kedudukan kewangan negara akan meningkat, termasuk tekanan terhadap mata wang dan inflasi.
Kerajaan Madani memilih laluan yang sukar tetapi lebih mampan. Rasionalisasi subsidi, bantuan bersasar dan usaha menambah hasil negara dilaksanakan kerana subsidi pukul rata sebenarnya lebih banyak dinikmati golongan berpendapatan tinggi. Menumpukan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana bukan mengabaikan rakyat, sebaliknya memastikan sumber negara digunakan secara adil dan berkesan.
Langkah seperti gaji minimum RM1,700, sistem saraan baharu penjawat awam dan pelbagai bantuan bersasar bertujuan meningkatkan daya tahan isi rumah, bukan sekadar memberi kelegaan sementara. Kesan dasar seperti ini sememangnya mengambil masa sebelum dirasai sepenuhnya.

Isu pengalaman kepimpinan juga sering diketengahkan seolah-olah PN lebih berkemampuan mengurus negara. Namun setiap krisis memerlukan pendekatan berbeza. Ketika ekonomi ditutup, keutamaan ialah bantuan kecemasan berskala besar. Apabila ekonomi kembali dibuka, tumpuan beralih kepada pemulihan fiskal, pelaburan dan kestabilan jangka panjang. Menilai kedua-dua fasa dengan ukuran yang sama adalah tidak tepat.
Dakwaan bahawa hutang semasa tidak memberi manfaat juga tidak selari dengan keadaan ekonomi terkini. Malaysia masih mencatat pertumbuhan, inflasi kekal terkawal dan sistem kewangan stabil walaupun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik. Nilai ringgit turut menunjukkan tanda pemulihan berbanding tempoh sebelumnya.
Pelaburan asing kembali meningkat, sektor pelancongan pulih dan projek strategik seperti Zon Ekonomi Khas Malaysia-Singapura membuka peluang baru kepada ekonomi negara. Kedudukan Malaysia dalam beberapa penilaian antarabangsa juga menunjukkan peningkatan.
Pada masa yang sama, usaha membanteras rasuah secara lebih tegas membantu memulihkan keyakinan terhadap institusi negara. Walaupun langkah ini tidak menurunkan harga barang secara langsung, ia penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi berlaku tanpa ketirisan.

Mengaitkan konflik global dengan kelemahan dasar domestik juga tidak berasas. Semua negara yang ekonominya terbuka akan terkesan oleh perkembangan dunia. Persoalan sebenar bukan sama ada kesan itu boleh dielakkan sepenuhnya, tetapi sejauh mana negara mampu menanganinya.
Hakikatnya, hutang hanyalah instrumen kewangan. Yang menentukan keberkesanannya ialah tujuan dan cara penggunaannya. PN berhutang untuk mengelakkan keruntuhan ekonomi semasa krisis. Kerajaan Madanji berhutang untuk memulihkan kestabilan fiskal dan membina semula asas pertumbuhan. Kedua-dua keadaan ini tidak boleh disamakan secara mudah.
Selain itu, kerajaan semasa juga berdepan cabaran politik dan sosial yang kompleks, termasuk ketegangan isu sensitif yang boleh menjejaskan kestabilan negara. Dalam keadaan sebegini, pembaharuan ekonomi perlu dilaksanakan secara berhati-hati tanpa mengorbankan perpaduan nasional.
Memang benar rakyat sedang menghadapi kos sara hidup yang tinggi. Namun tekanan ini turut berpunca daripada inflasi global, gangguan rantaian bekalan dan ketegangan geopolitik yang menjejaskan hampir semua negara. Tiada kerajaan yang mampu mengawal sepenuhnya faktor luaran tersebut.
Menilai keadaan semasa semata-mata melalui perasaan bahawa masa lalu lebih selesa tidak memberi gambaran sebenar. Soal utama ialah sama ada pendekatan lama masih sesuai untuk cabaran hari ini. Dalam konteks ini, langkah kerajaan bertujuan mengelakkan negara kembali terperangkap dalam krisis yang sama.

Hutang untuk menyelamatkan negara ketika darurat adalah satu perkara. Hutang untuk membina semula negara selepas darurat adalah perkara yang berbeza sama sekali.
Eksploitasi sentimen mungkin memberi keuntungan politik jangka pendek, tetapi tidak menyelesaikan masalah asas ekonomi. Malaysia tidak boleh terus beroperasi seolah-olah negara masih berada dalam keadaan darurat. Pemulihan memerlukan keputusan sukar yang kadangkala tidak popular.
Rakyat bukanlah bodoh untuk tidak memahami keadaan sebenar. Mereka mampu membezakan antara naratif politik dan realiti ekonomi. Perbandingan yang mudah mungkin menarik perhatian, tetapi ia tidak semestinya mencerminkan kebenaran.
MAHATHIR MOHD RAIS merupakan bekas setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan dan kini ahli PKR.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
