Peguam yang mewakili M Indira Gandhi mempersoalkan “perbezaan ketara” oleh pihak berkuasa dalam menyekat akses penerima program subsidi bahan api, Budi95.
Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh merujuk kepada satu kes baru-baru ini apabila Kementerian Kewangan menyatakan akan menyekat pemilik sebuah kenderaan daripada menerima subsidi Budi95 selepas satu video menunjukkan individu terbabit mengisi RON95 ke dalam tong plastik.
Dengan membandingkan kes itu dengan penggunaan Budi95 oleh bekas suami Indira, Riduan Abdullah, para peguam itu mempersoalkan mengapa tiada tindakan serupa diambil terhadap individu tersebut, sedangkan dia masih dikehendaki oleh pihak berkuasa susulan pertikaian hak penjagaan anak yang berlarutan sekian lama.
“Dalam kes tersebut, kerajaan menunjukkan bahawa ia mempunyai kuasa undang-undang dan keupayaan pentadbiran untuk bertindak pantas dengan mengehadkan kelayakan melalui kawalan pangkalan data yang berkait dengan sistem MyKad.
“Umum juga mengetahui bahawa pihak berkuasa telah sedar sejak November 2024 bahawa (bekas suami Indira) layak dan masih layak menerima manfaat di bawah skim subsidi Budi95.
“Walaupun mengetahui perkara ini, nampaknuta tiada tindakan senarai hitam atau penggantungan telah dikenakan. Perbandingan ini tidak dapat dielakkan,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Para peguam itu turut menyatakan bahawa dalam kes penguatkuasaan Budi95 baru-baru ini, tindakan boleh diambil hampir serta-merta sebaik sahaja maklumat berkaitan diketahui.
Namun dalam kes ini, mereka menambah, walaupun berbulan-bulan telah berlalu sejak November 2024, pihak berkuasa tidak menggunakan sistem yang sama untuk menafikan manfaat subsidi kepada individu yang sedang mereka cari.
“Ketidakkonsistenan ini menjadi lebih membimbangkan apabila dilihat dalam konteks keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira, di mana mahkamah tertinggi negara telah mengeluarkan perintah yang mengikat untuk mendapatkan semula anak tersebut.
“Perintah itu masih belum dilaksanakan selepas tujuh belas tahun.
“Kegagalan menguatkuasakan penghakiman tersebut sejak sekian lama menimbulkan kebimbangan serius terhadap komitmen pihak berkuasa dalam menegakkan kedaulatan undang-undang," ujarnya.
Mereka berkata kerajaan tidak boleh, dari satu segi menunjukkan keupayaan melaksanakan penguatkuasaan pentadbiran secara segera dalam kawalan subsidi, tetapi pada masa sama membiarkan keadaan di mana seorang individu yang dikehendaki masih menerima subsidi.
Rajesh dan Sachpreetraj turut menegaskan perkara ini lebih membimbangkan kerana perintah Mahkamah Persekutuan yang berkaitan dengan kes sama masih belum dilaksanakan.

“Sehubungan itu, kami menuntut kerajaan, Kementerian Kewangan dan pihak polis menjelaskan mengapa, walaupun mengetahui sejak sekurang-kurangnya November 2024 bahawa (Riduan) layak menerima Budi95, tiada tindakan diambil untuk menggantung atau menyenaraihitamkannya, serta apakah langkah yang akan diambil bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Selagi persoalan ini tidak dijawab, keyakinan awam terhadap pelaksanaan undang-undang secara adil akan terus terjejas,” kata mereka.
Mereka turut memaklumkan bahawa subsidi Budi95 milik Riduan masih aktif setakat semakan pada jam 11.30 pagi hari ini.
Dalam kenyataan terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa mereka telah mengenal pasti individu dalam klip video tular yang menunjukkan mereka mengisi petrol RON95 ke dalam bekas besar di but kereta di sebuah stesen minyak merupakan warganegara Malaysia dan pemegang MyKad.
Sebagai respons kepada video tular tersebut, kementerian berkata ia akan menyekat nombor kad pengenalan yang digunakan dalam transaksi itu, serta pemilik kenderaan, daripada mengakses subsidi Budi.
