Menteri Belia dan Sukan, Taufiq Johari menzahirkan rasa kecewa berhubung kejatuhan mendadak ranking skuad bola sepak kebangsaan, sambil memberi jaminan bahawa kementeriannya akan mengadakan sesi libat urus dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai strategi bagi mengatasi kemelut tersebut.
lni selepas ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bagi Harimau Malaya dilaporkan menjunam 14 anak tangga, daripada kedudukan ke-121 kepada tempat ke-135, susulan sekatan terhadap pasukan kebangsaan dan FAM berkaitan isu pemalsuan dokumen kewarganegaraan.
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ini membatalkan kemenangan Malaysia dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 yang berlangsung tahun lalu, selepas mendapati FAM menurunkan pemain yang tidak layak semasa perlawanan tersebut.
Pembatalan kemenangan Harimau Malaya ke atas Vietnam dan Nepal itu sekali gus menamatkan saingan pasukan kebangsaan untuk memburu slot ke Piala Asia, menjelang perlawanan terakhir Kumpulan F menentang Vietnam di Stadium Thien Truong pada 31 Mac ini.
Pada Disember tahun lalu, Fifa turut membatalkan kemenangan Malaysia dalam tiga perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 yang dimainkan pada Mei dan September.
Dalam satu kenyataan hari ini, Taufiq berkata bahawa dia turut merasai kekecewaan rakyat Malaysia, khususnya peminat bola sepak tempatan, berhubung kejatuhan ranking serta kontroversi yang melanda skuad kebangsaan sejak kebelakangan ini.
"Semua pihak harus mengambil iktibar daripada perkara ini dan pemerkasaan bola sepak tanah air perlu terus diperhebat. Saya berharap langkah-langkah wajar akan diambil agar perkara seumpama ini tidak berulang lagi di masa akan datang.
"Pembangunan bola sepak, terutama di peringkat akar umbi, perlu diteruskan dan saya menggesa semua rakyat Malaysia supaya terus memberikan sokongan kepada sukan ini," katanya.
Dia turut menegaskan bahawa walaupun kementeriannya kekal dengan pendirian tidak campur tangan dalam pengurusan FAM, ia akan terus mengutamakan pemerkasaan bakat tempatan bersama FAM sebagai rakan strategik.
"Pada masa sama, KBS akan terus mengadakan sesi libat urus berkala dengan pihak FAM untuk mendapatkan maklum balas tentang strategi mereka bagi mengelakkan kejatuhan ranking yang lebih lanjut," katanya lagi.
Tambahnya, KBS melalui Pejabat Pesuruhjaya Sukan akan terus memantau kepatuhan pengurusan FAM terhadap perlembagaan persatuan serta Akta Pembangunan Sukan (Akta 576).
"Saya juga berharap semua pihak dapat memberi ruang kepada FAM, dengan bantuan AFC, untuk mengenal pasti dan seterusnya melaksanakan reformasi dalaman yang perlu, serta mengadakan kongres bagi memilih barisan kepimpinan yang baru," katanya.
Semalam, ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski dalam satu sidang media berkata segala perkara di bawah kawalan pasukan telah dilaksanakan dengan baik, termasuk latihan, gaya permainan, dan analisis taktikal.
Cklamovski, yang kontraknya berakhir tahun ini, menyifatkan halangan luaran sebagai cabaran sementara yang perlu diatasi, sambil mengakui "perkara di luar padang" telah memberi kesan kepada pasukan.
Bagaimanapun, dia menegaskan walaupun gagal dengan sasaran jangka pendek ke Piala Asia, visi jangka panjang untuk membawa Malaysia ke pusingan akhir Piala Dunia tidak berubah.
Pada 26 September, Fifa mengesahkan bahawa FAM dan tujuh pemain warisan Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Disiplin Fifa (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Siasatan mendedahkan bahawa FAM telah menyerahkan dokumen kewarganegaraan yang didakwa palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain terbabit.
Susulan kesalahan itu, FAM diperintah membayar denda sebanyak 350,000 Swiss francs (RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 Swiss francs dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan.
Awal bulan ini, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan sebahagian daripada sekatan Fifa terhadap pemain Harimau Malaya selepas mendapati pelanggaran dokumen tersebut telah dibuktikan.
Selain meminda sekatan terhadap pemain, CAS mengekalkan denda ke atas FAM, dan memutuskan jumlah tersebut sebagai adil dan munasabah.
Bagaimanapun, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyatakan pendaftaran empat pemain yang terlibat Figueiredo, Irazabal, Hevel, dan Arrocha mematuhi peraturan Liga-M, sekali gus membenarkan mereka didaftarkan sebagai pemain tempatan untuk liga berkenaan.
