Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PKR minta RM10 juta - Bukan saya, kata Rafizi
Diterbitkan:  Mar 25, 2026 11:15 AM
Dikemaskini: 4:38 AM

Bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya menggesa kerajaan untuk tampil sama ada menafikan atau mengesahkan dakwaan bahawa seorang anggota parlimen PKR meminta dan mengambil RM9.5 juta daripada ahli perniagaan, Victor Chin bagi membantu menyelesaikan isu "mafia korporat" yang membabitkan Chin.

Dalam satu hantaran di X, Latheefa berkata perlu ada ketelusan mutlak kepada orang awam dalam perkara seserius ini.

Latheefa Koya

"Sementara itu, SPRM mesti menganggap ini sebagai kes keutamaan, bertindak segera untuk merakam kenyataan Chin dan menyiasat secara menyeluruh; mereka mesti segera mencari kebenaran dalam perkara ini - tidak perlu menunggu sesiapa membuat laporan," katanya.

Semalam, selepas menuduh anggota parlimen PKR yang tidak dinamakan itu dalam satu kronologi setebal 40 muka surat, Chin mengancam untuk mendedahkan identiti individu tersebut melainkan wang berkenaan dikembalikan kepadanya.

"Saya berjaya menguruskan RM9.5 juta pada mulanya, tetapi baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kepadanya, kerana ahli parlimen ini tidak menyelesaikan isu itu. Tiada wang yang pernah diserahkan kepada kumpulan mafia korporat.

"Saya mengeluarkan pesanan kepada ahli parlimen ini: Sila pulangkan RM9.5 juta sebelum 30 Mac 2026, atau saya akan mendedahkan identiti anda," katanya.

Victor Chin

Bukan saya, kata Rafizi

Selain Latheefa, beberapa pihak turut mendesak SPRM dan polis supaya memulakan siasatan mengenai dakwaan mengenai seorang ahli parlimen PKR yang dikatakan menerima wang berjumlah RM9.5 juta daripada individu bernama Victor Chin.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang juga bekas timbalan presiden PKR, memaklumkan dia sedia maklum mengenai kekecohan tersebut namun hanya akan memberikan ulasan lanjut pada esok hari.

"Kecoh pasal ahli parlimen PKR terima RM9.5 juta dari Victor Chin. Bukan saya.” katanya berseloroh dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

"Tapi sebab masih mood raya, saya komen esok sajalah."

Sementara itu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari, juga menggesa agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan susulan pendedahan terbuka itu tanpa perlu menunggu sebarang arahan daripada pihak atasan.

Ahmad Fadhli Shaari

"Jika SPRM sudah selesai berhari raya, dimohon untuk siasat Victor Chin kerana sudah mengaku beri RM9.5 juta kepada seorang MP PKR.

“Takkanlah nak tunggu kelulusan PMX pula," katanya.

Dalam satu lagi kenyataan panjang lebar, semalam, Chin mengulangi rayuannya kepada Ketua Polis Negara Khalid Ismail untuk "membongkar kebenaran" di sebalik dakwaan skandal 'mafia korporat'.

Chin juga memperincikan kronologi peristiwa yang katanya menunjukkan bagaimana kumpulan mafia korporat menyasarkannya dan rakan kongsinya untuk "merampas kawalan" NexG Berhad.

Bulan lalu, Bloomberg menamakan Chin sebagai sebahagian daripada rangkaian ahli perniagaan yang didakwa berpakat dengan SPRM untuk memalsukan pengambilalihan korporat pesaing.

Minggu lalu, Chin mengeluarkan kenyataan panjang lebar mengenai siasatan antipengubahan wang haram yang sedang dijalankan, mendakwa pihak berkuasa membekukan lebih 500 akaun bank yang dikaitkan dengannya, menyebabkan kerosakan cagaran yang meluas kepada pihak ketiga.

Chin mendakwa Pasukan Petugas Khas Anti Pengubahan Wang Haram polis bertindak secara tidak munasabah dalam siasatannya, yang bukan sahaja menjejaskannya tetapi juga rakan sekutu, pelabur dan perniagaan yang berkaitan dengannya.

Dia menegaskan bahawa dia telah bekerjasama sepenuhnya dengan polis, termasuk kembali ke Kuala Lumpur pada 29 Dis 2025, untuk memberikan kenyataan, selepas itu, dia direman selama tiga hari.

Walau bagaimanapun, dia mendakwa pihak berkuasa terus membekukan akaun dan menyerbu hartanah yang dikaitkan dengannya.

Chin juga mendakwa mungkin terdapat campur tangan peringkat tinggi yang melibatkan akaun milik Rembulan Lestari Sdn Bhd dan Skylimit Alliance Sdn Bhd, untuk memudahkan pemindahan saham dalam NexG.

Tiada apa akan berlaku

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali turut mempersoalkan maklum balas pihak berkuasa berhubung dakwaan tersebut.

Rafique Rashid Ali

Dalam satu surat terbuka, Rafique menyatakan keraguan terhadap tindakan yang bakal diambil oleh Ketua Polis Negara (IGP) memandangkan terdapat kes-kes profil tinggi sebelum ini yang didakwanya masih belum menunjukkan perkembangan.

Dia merujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Farhash Wafa Salvador pada September 2024 yang didakwa masih tidak terjawab sehingga kini.

"Nasihat saya mudah sahaja. Tiada apa yang akan berlaku. Kenapa? Kerana IGP akan membisu," dakwa Rafique.

Setakat ini, pihak polis mahupun SPRM belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan yang dibangkitkan oleh Chin tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS