Bahasa Inggeris kolokial yang sering digunakan rakyat Malaysia dan Singapura kini mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila beberapa istilah ikonik seperti "agak-agak", "kaypoh", dan "boleh" secara rasmi disenaraikan dalam kemas kini terbaharu Kamus Bahasa Inggeris Oxford (OED).
Menurut pengumuman Oxford Languages pada Selasa, penyertaan kata pinjaman dan slanga serantau itu adalah sebahagian daripada kemas kini suku tahunan mereka yang bertujuan mendokumentasikan evolusi bahasa Inggeris di seluruh dunia.
Istilah "agak-agak" kini diiktiraf sebagai kata nama dan kata kerja. OED memperincikan penggunaannya dalam konteks membuat anggaran, khususnya dalam seni masakan tradisional apabila tukang masak lebih bergantung kepada gerak hati berbanding sukatan tepat.
Turut mencuri tumpuan ialah perkataan "wayang". Selain merujuk kepada seni teater tradisional, kamus itu turut memasukkan maksud kiasannya yang merujuk kepada lakonan pura-pura atau sesuatu yang bersifat kosmetik semata-mata.
Sementara itu, perkataan "boleh" diberi definisi sebagai kemampuan melakukan sesuatu serta kata seru bagi menyatakan persetujuan. Kamus itu turut mencatat bagaimana istilah ini melonjak melalui slogan keramat "Malaysia Boleh" yang sering kedengaran dalam arena sukan dan politik.
Unsur linguistik majmuk rantau ini turut diperkukuh dengan kemasukan istilah daripada dialek Hokkien seperti "jialat" (situasi malang) dan "kaypoh" (sikap suka menjaga urusan orang lain).
Bukan itu sahaja, menu tempatan dan frasa harian lain turut tidak ketinggalan. Antara yang disenaraikan termasuk:
Assam laksa dan ais kacang
Mat Salleh
Play, play (merujuk kepada perbuatan tidak serius atau sekadar bergurau)
Pihak Oxford Languages menjelaskan bahawa proses pemilihan sesuatu perkataan adalah ketat.
Ia memerlukan bukti penggunaan yang konsisten merentasi pelbagai sumber bebas dalam tempoh masa yang munasabah sebelum layak dijulang sebagai sebahagian daripada perbendaharaan kata rasmi dunia.
