Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kecurian bekas abu mayat dipercayai ada kaitan 'orang dalam'
Diterbitkan:  Mar 25, 2026 11:54 AM
Dikemaskini: 5:41 AM

“Orang dalam” mungkin memainkan peranan penting dalam kejadian kecurian bekas abu mayat baru-baru ini dari taman peringatan di beberapa negeri.

Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Tanah Perkuburan Cina Malaysia, Lee Koon Lam, berkata setakat ini diketahui jenayah itu dirancang dengan teliti dan melibatkan bantuan penting daripada individu yang mempunyai maklumat dalaman.

“Bukan mudah untuk mengeluarkan bekas khas abu mayat dari kolumbarium. Ada kunci, akses dan pergerakan yang dikawal.

“Mustahil untuk melakukan kecurian seperti ini tanpa seseorang dari dalam yang memberikan maklumat atau bantuan,” katanya seperti dipetik oleh New Straits Times.

Pengerusi Persatuan Tanah Perkuburan Cina Perak dan presiden Tanah Perkuburan Kwang Tung & Kwang Sai Kuala Kangsar itu berkata jumlah bekas abu mayat yang dicuri menunjukkan operas terancang, bukannya kejadian rawak atau terpencil.

“Jika ia berpunca daripada perasaan dendam peribadi, mereka hanya akan ambil satu bekas. Tetapi apabila berpuluh-puluh hilang, ia menunjukkan satu operasi yang dirancang, mungkin melibatkan sindiket,” katanya.

Lee turut menyatakan bahawa kecurian bekas abu mayat adalah sesuatu yang “baru” baginya, kerana biasanya pencuri di tanah perkuburam menyasarkan barangan berharga yang ditanam bersama si mati.

New Straits Times bagaimanapun memetik sumber polis melaporkan bahawa kecurian bekas abu mayat bukan perkara baru, tetapi kes-kes terkini menarik perhatian pihak berkuasa kerana jumlah bekas abu mayat yang dicuri dalam tempoh sebulan.

Laporan itu menyebut antara kes terkini termasuk kecurian 22 bekas abu mayat di Perpetual Memorial Park, Kulai, Johor pada 9 Mac, 30 bekas abu mayat di Xiao En Memorial Park, Nilai, Negeri Sembilan pada 18 Mac, serta sejumlah bekas abu mayat yang tidak didedahkan dari Nirvana Asia Group.

Ketua Polis Daerah Nilai, Johari Yahya, sebelum ini berkata pelaku telah menghubungi pihak pengurusan dengan menuntut bayaran sekiranya mahu bekas berkenaan dipulangkan.

Nirvana juga dilaporkan mengesahkan bahawa bekas abu mayat yang dicuri dari kolumbarium mereka telah dipulangkan, namun tidak menjelaskan sama ada wang tebusan telah dibayar.

Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, dilaporkan berkata Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan telah diarahkan untuk menyiasat perkara ini.

Bergantung pada lokasi dan kedudukan dalam kolumbarium, harga bekas abu mayat boleh mencecah antara RM3,000 hingga RM18,000, dengan ruang pada paras mata biasanya lebih mahal.

Lee turut menggesa waris si mati supaya tidak tunduk kepada tuntutan wang tebusan dan membuat laporan kepada pihak berkuasa, serta menasihatkan persatuan tanah perkuburan di seluruh negara memperkukuh sistem keselamatan, termasuk pemasangan CCTV, kunci keselamatn yang lebih ketat dan memantau pelawat yang datang.

Sementara itu, Bernama melaporkan polis telah merakam percakapan 10 saksi setakat ini bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan 30 tong abu mayat di taman peringatan (memorial park) di Nilai yang dilaporkan pada 26 Feb lepas.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata setakat ini empat tong abu mayat ditemukan namun pengesahan penuh dan semakan keseluruhan sedang dijalankan pihak pengurusan.

“Siasatan masih berjalan dan pihak polis sedang melengkapkan rakaman percakapan saksi berkaitan kes termasuk pekerja taman peringatan itu dan ia dijalankan secara menyeluruh dengan meneliti semua sudut siasatan yang relevan.

“Antara aspek yang turut diberi perhatian adalah kemungkinan penglibatan pihak dalaman namun siasatan masih di peringkat awal dan belum dapat disahkan,” katanya dalam satu kenyataan, di Seremban, hari ini.

Beliau berkata polis juga sedang membuat perbandingan dan analisis sama ada ia mempunyai kaitan dengan kes kecurian tong abu mayat di Kulai sebelum ini, bagaimanapun setakat ini belum dapat dipastikan sebarang kaitan.

Pihak polis, katanya, sedang mendapatkan bantuan teknikal selain menjalankan analisis lanjut termasuk aspek komunikasi serta transaksi terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 380, Seksyen 384 dan Seksyen 297 Kanun Keseksaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS