Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesan Azam buat SPRM: Amanah lebih besar dari seronok sementara
Diterbitkan:  Mar 25, 2026 12:59 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengingatkan pegawai agensi antirasuah tersebut agar tetap teguh berdepan dengan sebarang kritikan, persepsi negatif dan juga fitnah kerana akan sentiasa ada pihak yang "tidak selesa" dengan ketegasan mereka menguatkuasakan undang-undang.

Dalam catatan Facebook semalam, Azam seterusnya mengingatkan SPRM untuk terus menegakkan integriti yang tinggi dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka oleh rakyat, dengan kejujuran, keberanian dan profesionalisme.

“Kita harus bersedia untuk berdepan dengan pelbagai kritikan, persepsi negatif, malah fitnah.

“Akan sentiasa ada pihak yang tidak selesa dengan ketegasan kita dalam menguatkuasakan undang-undang. Tidak kurang juga yang sanggup menyebarkan naratif palsu dan tidak berasas, walaupun mereka mengetahui hakikat yang sebenar.

“Namun, kita tidak boleh dan tidak akan terpesong daripada tanggungjawab kita.

“Kita perlu teguh dalam prinsip. Kekal fokus kepada misi. Biarkan kerja kita, integriti dan hasil pencapaian kita berbicara lebih kuat daripada sebarang tuduhan,” katanya dalam catatan pascahari raya itu.

Azam – yang kini terkait dengan dakwaan skandal saham – berkata, Ramadan bukan sekadar mengajar seseorang menahan lapar dan dahaga tetapi sebaliknya turut menekankan proses pembinaan disiplin, mengawal diri, memperteguh integriti dan memperhalusi nilai murni.

Katanya, itulah “ukuran sebenar” kejayaan seseorang yang menjalani ibadah puasa.

Junjung tinggi integriti

Justeru, dia mengajak warga SPRM untuk terus membawa semangat dan pengajaran Ramadan ke dalam setiap tindakan dan pelaksanaan tugas harian masing-masing.

“Amanah yang dipikul oleh kita jauh lebih besar daripada keseronokan sementara,” katanya.

Azam sekali lagi menjadi sorotan ramai apabila didakwa terlibat dengan pemilikan saham yang melanggar peraturan perkhidmatan awam, serta isu 'mafia korporat' seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg pada bulan lalu.

Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan Azam pada satu ketika pernah memegang 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd (Velocity Capital) dan kira-kira 4.52 juta saham Awanbiru Technology Bhd (Awanbiru Technology).

Saham Velocity Capital dipercayai dibeli pada harga sekitar RM1.5 juta, manakala saham Awanbiru Technology dianggarkan bernilai antara RM1.24 juta dan RM1.38 juta pada satu ketika.

Walaupun dagangan saham oleh penjawat awam tidak menyalahi undang-undang, Pekeliling Pengurusan Tatatertib dan Kelakuan Pegawai Awam 2024 menetapkan bahawa mereka tidak dibenarkan membeli saham yang melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau RM100,000 pada nilai semasa.

Azam membalas pegangan sahamnya tidak melibatkan modal berbayar tetapi diperoleh melalui pembelian di pasaran terbuka, dan dia mempunyai wang sendiri yang mencukupi untuk aktiviti perdagangan saham.

Dia juga memetik deklarasi yang dibuatnya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

JPA kemudian berkata mereka sedang menyemak semula peraturan pegangan saham yang "lapuk".

Seterusnya, Bloomberg menerbitkan satu lagi laporan, mendakwa bahawa pegawai SPRM telah berpakat dengan individu tertentu untuk memperkukuhkan pesaing perniagaan dan merancang pengambilalihan korporat.

Lapporan itu juga menyebut Azam menyedari pakatan sulit itu dan bertindak menyokong tindakan sedemikian.

Kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas yang diketuai oleh Peguam Negara Ahmad Dusuki Mokhtar bagi menyiasat dakwaan pegangan saham Azam.

Dalam catatan semalam, Azam berkata sebagai warga SPRM mereka mesti terus menjunjung tinggi integriti dalam setiap tindakan.

“Teruskan berkhidmat dengan penuh keikhlasan, disiplin yang tinggi, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi.

“Integriti adalah asas kita. Disiplin kekuatan kita. Berkhidmat kepada rakyat amanah kita,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS