Ahli perniagaan Albert Tei menggesa Victor Chin terus mendedahkan maklumat melalui media berhubung dakwaan mengenai skandal “mafia korporat”.
Ini susulan gesaan daripada bekas naib presiden PKR, R Sivarasa, yang menasihatkan Chin supaya tidak meniru “drama” Tei, sebaliknya membuat laporan polis berhubung dakwaannya bahawa seorang Ahli Parlimen PKR meminta RM9.5 juta untuk menyelesaikan skandal “mafia korporat” tersebut.
Tei, bagaimanapun, berpendapat tindakan merujuk isu itu kepada pihak berkuasa adalah langkah yang salah.
“Saya menasihatkan Chin supaya terus mendedahkan maklumat melalui media; hanya pengaruh yang kuat dan liputan media yang meluas boleh memastikan keselamatannya,” katanya dalam kenyataan media.
Tei berkata berdasarkan pengalamannya sendiri, rakyat Malaysia berpendapat bahawa pihak berkuasa tidak boleh dipercayai.
“Berapa banyak laporan polis dan SPRM yang telah saya buat sejak akhir 2024, namun tiada tindakan diambil terhadap mereka yang berkuasa dan berpengaruh walaupun dengan bukti yang banyak,” tambahnya.
Sejak Nov 2024, Tei mengaitkan berbelas ahli politik Sabah, bersama bekas setiausaha politik kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin, dalam skandal perlombongan di negeri itu.

Dia telah menyerahkan bukti setebal 300 muka surat termasuk rakaman video, mesej WhatsApp, dan dokumen lain kepada SPRM.
Dua daripada ahli politik tersebut serta Shamsul kemudian didakwa bersama Tei.
Salah seorang daripada ahli politik itu, Yusof Yacob, kemudian dilantik sebagai pengerusi baru Sabah Development Bhd (SDB), sekali gus mencetuskan kritikan daripada pelbagai pihak.
Pada Nov lalu, Anwar Ibrahim berkata siasatan masih berjalan, namun tiada perkembangan terkini dilaporkan sejak itu.
Perdana Menteri juga menafikan dakwaan bahawa kerajaan melindungi ahli-ahli politik tersebut yang merupakan sekutu dalam gabungan Pakatan Harapan.
Semalam, dalam dokumen setebal 40 muka surat yang memperincikan kronologi isu berkaitan dakwaan “mafia korporat”, Chin mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR telah meminta dia menyediakan wang tunai sebanyak RM10 juta untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
Chin turut mengulangi gesaannya kepada Ketua Polis Negara, Khalid Ismail supaya “mendedahkan kebenaran” di sebalik dakwaan penglibatan “mafia korporat” tersebut.
Bulan lalu, Bloomberg menamakan Chin sebagai sebahagian daripada rangkaian ahli perniagaan yang didakwa bersekongkol dengan SPRM untuk mengatur pengambilalihan syarikat secara paksa ke atas pesaing.
