Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hanya Chin boleh jawab siapa Mr R - Ramanan dakwa Rafizi serangnya
1

Menteri Sumber Manusia R Ramanan menafikan dirinya terlibat skandal rasuah sebanyak RM9.5 juta daripada ahli perniagaan yang dikaitkan dengan "mafia korporat" Victor Chin.

Kata Naib Presiden PKR itu, dia tidak pernah berjumpa mahupun mengenali Chin sekali gus menafikan dirinya adalah "Mr R" yang dimaksud ahli perniagaan kontroversi itu.

R Ramanan

"Hanya Chin boleh jawab siapa Mr R... ada sebahagian cuba mengaitkan Mr R itu dengan saya. Dia kononnya cakap Mr R itu saya.

“Individu itu mendakwa ratusan juta saham dipindahkan kepada saya. Saya tidak mempunyai sebarang pemilikan saham. Saya tidak fikir mana-mana MP akan terlibat dengan transaksi saham bernilai ratusan juta.

"Memang kita lihat cybertrooper bekas timbalan presiden serang saya macam saya bersekongkol dengan Mr Chin, saya tak pernah jumpa Mr Chin, saya tak tahu siapa dia," katanya dalam sidang media di pusat khidmat Ahli Parlimen Sungai Buloh di Sungai Buloh, hari ini.

Ramanan mendakwa laskar siber atau cybertrooper Rafizi menyerangnya dengan memainkan naratif yang bertujuan untuk memecah-belahkan parti.

Tuduhan buta tuli

Dia turut meminta pihak yang membuat tuduhan terhadapnya termasuk isu pemilikan saham supaya membuktikan perkara itu dan tidak membuat tuduhan membuta tuli.

“Ini adalah naratif kotor untuk menjatuhkan imej PKR, apabila mengaitkan ahli Parlimen (MP) kerajaan,

"Macam mana saya boleh ambil RM9.5 juta daripada seorang yang saya tak kenal atau tak pernah jumpa," tambahnya lagi.

Sehubungan dengan itu, Ramanan mengarahkan semua ketua cabang PKR di seluruh negara supaya membuat laporan polis berhubung dakwaan individu berkenaan bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Ditanya sama ada dia sudah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Ramanan berkata selaku naib presiden PKR, dirinya perlu tampil menjernihkan keadaan.

Katanya, dia enggan membebankan perdana menteri yang kini fokus kepada agenda ekonomi dunia yang lebih penting.

Victor Chin

Semalam, dalam satu dokumen setebal 40 halaman yang memperincikan kronologi peristiwa berkaitan dakwaan masalahnya dengan "mafia korporat", Chin berkata seorang anggota parlimen PKR meminta dia menyediakan tunai RM10 juta bagi menyelesaikan masalah ahli perniagaan itu.

Mendakwa dia membayar RM9.5 juta daripada jumlah itu kepada anggota parlimen kerajaan berkenaan pada 18 Oktober tahun lalu, Chin turut mengugut untuk mendedahkan identiti anggota parlimen terbabit jika gagal memulangkan wang tersebut menjelang 30 Mac.

Dia menambah bahawa anggota parlimen itu, yang tidak dinamakan dalam dokumen tersebut, gagal memberikan sebarang penyelesaian yang dijanjikan.

Antara MP PKR dan Mr R

Chin juga dilihat membezakan antara anggota parlimen PKR yang tidak dikenali itu dengan seorang individu bernama "Mr R", di mana ahli perniagaan itu berkata individu terbabit bertindak sebagai orang tengah yang bekerjasama rapat dengan "mafia korporat".

Sementara itu, pada sidang medianya itu Ramanan turut menyerang Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan yang didakwanya mempunyai agenda tersembunyi terhadap dirinya.

Ramanan menyifatkan Rafizi sebagai bekas timbalan presiden PKR dan bekas menteri yang gagal ketika diberi peluang berada dalam Kabinet.

Rafizi Ramli

"Dia (Rafizi) bekas menteri yang gagal, apa kejayaan dia? Bagi saya dia penakut, dia tahu dia gagal dia cepat-cepat letak jawatan.

“Apa niat beliau (Rafizi) sehingga dilihat seakan-akan melindungi individu tersebut. Dalam situasi ini, beliau seperti mempertahankan individu tertentu, malah sanggup mengkritik parti demi menyelamatkan pihak berkenaan.

“Apakah agenda sebenar beliau?” tambahnya yang mengecam tindakan Rafizi yang sering mengecam pihak berkuasa.

Sehubungan dengan itu, Ramanan mencabar mana-mana pihak termasuk Rafizi untuk menamakan dirinya sekira ingin dikaitkan dengan isu berkenaan, sambil menegaskan dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Rafizi seolah-olah telah membuat kesimpulan bahawa perkara ini benar-benar berlaku walaupun tiada nama disebut dan fakta belum diperincikan.

“Ini menimbulkan persepsi bahawa wujud agenda tidak sihat untuk memecahbelahkan parti,” katanya.

Mengenai keperluan siasatan dalaman oleh PKR, ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata setakat ini tiada bukti kukuh yang mengaitkan mana-mana ahli Parlimen parti dengan dakwaan berkenaan.

Ditanya sama ada Rafizi bertindak secara sendirian dalam isu berkenaan, Ramanan enggan membuat sebarang spekulasi. 

“Terlalu banyak spekulasi ketika ini. Saya tidak mahu bertindak seperti beliau dengan menyebarkan khabar angin yang boleh mewujudkan naratif palsu.

“Perkara ini memerlukan fakta, dan kebenaran harus didedahkan berdasarkan bukti,” katanya.

‘Chin adalah syaitan korporat’

Menteri itu turut mempersoalkan niat Chin yang mengambil pendirian kononnya dia adalah "mangsa" dalam tindakan salah oleh pihak berkuasa.

“Sebelum ini, (Chin) kata SPRM, Bank Negara, dan polis sedang memburunya, dan sekarang dia dakwa seorang anggota parlimen PKR terlibat (dalam urusan itu).

“Apa niat dia (Chin) buat tuduhan liar sedemikian? Untuk jatuhkan kerajaan? Untuk perjuangkan keadilan? Ini strategi untuk gambarkan dirinya sebagai mangsa supaya dia boleh minta suaka politik di United Kingdom,” dakwa Ramanan.

“Ini bukan ‘mafia korporat’... lelaki ini (Chin) adalah syaitan korporat dan dia tidak mempunyai belas kasihan.”

Dia menggesa Chin, yang dipercayai berada di luar negara ketika ini, untuk pulang ke Malaysia dan “berdepan kebenaran”.

“Jika kamu benar-benar tidak bersalah, pulanglah ke Malaysia. Berhenti hisap cerutu di luar negara sambil bersembunyi. Ini adalah negara undang-undang,” kata Ramanan.

Bulan lalu, Bloomberg menamakan Chin sebagai sebahagian daripada rangkaian ahli perniagaan yang didakwa berpakat dengan SPRM untuk melakukan pengambilalihan korporat terhadap pesaing.

Walau bagaimanapun, Chin berkata sebarang siasatan terhadap dakwaan itu mesti merangkumi “peranan dan tingkah laku” SPRM dan polis, sambil menambah bahawa dia menyokong gesaan untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI).

Katanya, dirinya menjadi mangsa dan “didesak oleh mafia” yang menggunakan agensi kerajaan untuk kepentingan mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS