MIC memberi bayangan bahawa parti itu akan kekal bersama BN buat masa ini susulan kebimbangan terhadap peralihan kepimpinan dalam Perikatan Nasional (PN) yang kini diterajui oleh PAS.
Timbalan Presiden MIC, M Saravanan mendedahkan bahawa keputusan itu dicapai dalam mesyuarat majlis kerja pusat parti di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur, hari ini.
Jelas Saravanan, dalam perhimpunan agung tahunan parti baru-baru ini, perwakilan diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan mengenai kedudukan MIC dalam landskap politik semasa.
Namun, katanya, ketika itu, MIC mempunyai persepsi yang berbeza terhadap PN ketika gabungan itu masih dipimpin oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
“Bagi perwakilan MIC, mereka mempunyai pengalaman bekerja yang lama di bawah pimpinan Muhyiddin.
"Bagaimanapun, dinamika tersebut berubah secara drastik apabila kepimpinan tertinggi PN kini beralih arah dan dilihat lebih didominasi oleh PAS.
"Persoalannya, sekiranya kita mengikut kepimpinan PN sekarang, bagaimanakah kedudukan masyarakat India nanti? Bagaimanakah nasib masyarakat India? Adakah masyarakat India akan menyokong kita?
"Oleh kerana kita berada dalam situasi di mana keputusan yang tekad perlu diambil, perjalanan MIC harus diteruskan dengan mengekalkan kestabilan seperti yang ada sekarang iaitu kekal bersama BN buat masa ini," katanya kepada pemberita dalam sidang media.
Ketika ditanya adakah pendirian kekal bersama BN hanya bersifat sementara iaitu sehingga PRU16, Saravanan membalas keputusan kekal bersama BN adalah “buat masa ini.”
"Keputusannya kekal bersama BN adalah buat masa ini dan kami masih terbuka kepada semua pilihan," katanya.
Terdahulu, mesyuarat CWC selama tiga jam itu dipengerusikan oleh presiden parti SA Vigneswaran.
Sebelum ini, timbul spekulasi kuat bahawa MIC dan MCA mungkin akan mencari haluan baru selepas merasa "dipinggirkan" dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Malah, beberapa siri pertemuan antara pemimpin utama PN dengan pimpinan MIC sebelum ini menguatkan lagi khabar angin mengenai penghijrahan parti itu.
Pada 17 Mac, Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan berkata MIC menjadi anggota kelima gabungan pembangkang itu.
Dia berkata bahawa MIC diterima sebagai anggota PN pada Disember tahun lalu, tetapi ini hanya disahkan semasa mesyuarat terakhir gabungan itu pada 14 Mac.
Namun Saravanan kemudian memberitahu Malaysiakini bahawa partinya tidak membuat sebarang permohonan rasmi untuk menyertai PN, sebaliknya hanya membuat pertanyaan tentang kemungkinan menyertai gabungan itu semasa Muhyiddin Yassin memimpin gabungan itu.
Pada November tahun lepas, dilaporkan bahawa Muhyiddin mendakwa MIC memohon untuk menyertai PN.
Bagaimanapun, parti itu menafikan membuat sebarang permohonan untuk menyertai gabungan berkenaan dengan Setiausaha Agung MIC S Ananthan menjelaskan bahawa surat tersebut bukan permohonan rasmi, tetapi bertujuan untuk mendapatkan maklumat awal sebelum parti membuat sebarang keputusan.
