Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Presiden Jerman sifatkan perang Iran sebagai kesilapan bawa bencana
Diterbitkan:  Mar 25, 2026 4:55 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Perang Iran merupakan satu "kesilapan membawa bencana" yang melanggar undang-undang antarabangsa, kata Presiden Jerman pada Selasa. Kenyataan itu merupakan teguran luar biasa keras terhadap dasar luar Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, yang menurutnya menandakan keretakan hubungan Jerman dengan sekutu pasca-perang terbesarnya.

Reuters melaporkan dalam serangan lisan yang tajam, Frank-Walter Steinmeier, yang memegang peranan sebahagian besarnya bersifat upacara dan membolehkan dia bercakap lebih bebas daripada ahli politik, mengambil pendirian jauh lebih kritikal berbanding Canselor Friedrich Merz yang mengelak soalan mengenai kesahihan perang tersebut.

"Dasar luar kita tidak akan menjadi lebih meyakinkan hanya kerana kita tidak tegur pelanggaran undang-undang antarabangsa sebagai satu pelanggaran undang-undang antarabangsa," kata Steinmeier, bekas menteri luar daripada Parti Demokratik Sosial haluan kiri-tengah, dalam satu ucapan di kementerian luar.

"Kita mesti menangani perkara ini berkaitan dengan perang di Iran. Kerana, pada pandangan saya, perang ini bertentangan dengan undang-undang antarabangsa," katanya.

Dia menambah bahawa diinya tidak ragu-ragu bahawa alasan mengenai ancaman serangan yang bakal berlaku terhadap sasaran A.S. adalah tidak berasas.

Menyifatkan perang itu sebagai tidak perlu dan satu "kesilapan politik yang membawa bencana", Steinmeier berkata penggal kedua Trump menandakan keretakan dalam hubungan luar Jerman yang sama mendalamnya dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

"Sama seperti saya percaya tiada jalan kembali dalam hubungan dengan Rusia seperti sebelum 24 Februari 2022, begitu juga saya percaya tiada jalan kembali dalam hubungan transatlantik seperti sebelum 20 Januari 2025," kata Steinmeier.

Mengurangkan pergantungan

Jerman perlu menerapkan pengajaran yang diperoleh daripada usaha melepaskan diri daripada "pergantungan melampau" terhadap Rusia dan mengaplikasikannya kepada AS, terutamanya dalam aspek pertahanan dan teknologi yang diterjemahkan kepada kuasa, katanya.

Jerman menekankan kepentingan mewujudkan alternatif kepada teknologi yang didominasi AS ketika kebimbangan meningkat mengenai akses AS.

China kembali menjadi rakan dagang utama Jerman dalam lapan bulan pertama 2025, memintas AS susulan tarif lebih tinggi yang menjejaskan eksport Jerman. Perdagangan antara AS dan Jerman berjumlah lebih 163 bilion euro ($190 bilion) sepanjang tempoh tersebut.

Pertikaian baru-baru ini antara Pentagon dan Anthropic berhubung garis panduan keselamatan berkaitan kecerdasan buatan syarikat tersebut boleh menjadi amaran, atau peluang bagi Eropah, kata Steinmeier.

"Eropah sebagai hab teknologi mempunyai bakat, pasaran, peluang dan yang penting, piawaian etika. Kita harus membina kekuatan berdasarkan perkara ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS