PKR sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan penglibatan ahli parlimen parti itu dalam kes salah laku melibatkan transaksi berjumlah RM10 juta.
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata kepimpinan parti telah dimaklumkan mengenai laporan berita berhubung dakwaan tersebut dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.
"Kami belum ada mesyuarat (mengenai perkara ini), namun kepimpinan telah dimaklumkan mengenai laporan berita tersebut.
“Sekiranya ada (salah laku), kita serah kepada pihak berkuasa untuk lakukan siasatan.
"Kami tidak ada apa-apa untuk disembunyikan dan parti akan memberikan kerjasama kepada pihak penguatkuasaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Polis Ke-219 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur, hari ini.
Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini telah memberikan mesej yang jelas bahawa kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam sebarang salah laku.
Menurut Fahmi prinsip itu terpakai kepada mana-mana kelompok, termasuk ahli parti atau ahli parlimen dalam kalangan blok kerajaan sendiri.
Mengenai tindakan lanjut parti, Fahmi menjelaskan, sebarang proses siasatan perlulah bermula dengan laporan rasmi daripada pihak pengadu kepada badan penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
"Terpulang kepada pengadu untuk membuat laporan polis atau kepada mana-mana badan penguatkuasaan yang lain. Itu ialah proses yang mesti dilalui sebelum tindakan lanjut diambil," katanya.
Semalam, media melaporkan ahli perniagaan terpalit skandal 'mafia korporat' Victor Chin Boon Long mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta dia menyediakan wang tunai bernilai RM10 juta bagi menyelesaikan skandal terbabit.
Pada 16 Mac lalu polis mengesahkan telah menyerbu beberapa premis milik Chin di sekitar Kemensah dan Sungai Long, Kajang, namun tokoh korporat dan isterinya dilaporkan tiada di lokasi ketika itu.
- Bernama
