PKR memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba mengaitkan kepimpinan parti itu dengan dakwaan menerima wang bagi menyelesaikan skandal "mafia korporat".
Setiausaha Agungnya, Dr Fuziah Salleh berkata, parti itu memandang serius tuduhan yang tular kebelakangan ini yang mendakwa terdapat pemimpinnya terlibat dalam urusan haram bagi kepentingan tertentu.
"Dakwaan berkenaan sebagai satu cubaan terdesak oleh pihak tertentu untuk menutup kesalahan atau salah laku sendiri dengan mengheret reputasi parti.
"PKR ingin menegaskan bahawa tuduhan seumpama ini amat mudah untuk dibuat, lebih-lebih lagi oleh pihak-pihak yang terdesak untuk melepaskan diri daripada kesalahan atau salah laku mereka sendiri.
"Dalam hal ini, PKR tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah atau tohmahan terhadap kepimpinan parti tanpa sebarang asas yang sahih.
“Tindakan undang-undang akan dipertimbangkan dan diambil sewajarnya, sama ada terhadap individu di dalam mahupun di luar parti," katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.
Kenyataan itu hadir selepas ahli perniagaan, Victor Chin, mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR menerima wang berjumlah RM9.5 juta bagi membantu menyelesaikan isu berkaitan mafia korporat terhadap syarikatnya.

Chin dalam satu dokumen kronologi setebal 40 halaman mendakwa dia diminta menyediakan RM10 juta oleh seorang wakil rakyat PKR untuk berunding dengan "geng mafia korporat". Dia mendakwa telah menyerahkan RM9.5 juta, namun baki RM500,000 tidak diberikan kerana isu yang dihadapinya gagal diselesaikan oleh pemimpin berkenaan.
Chin, yang juga dikaitkan dengan siasatan pengubahan wang haram, turut mengancam untuk mendedahkan identiti ahli parlimen tersebut sekiranya wang berkenaan tidak dipulangkan sebelum 30 Mac ini.
Susulan itu, Menteri Sumber Manusia R Ramanan semalam menafikan dirinya terlibat skandal rasuah tersebut.
Kata Naib Presiden PKR itu, dia tidak pernah berjumpa mahupun mengenali Chin sekali gus menafikan dirinya adalah "Mr R" yang dimaksudkan ahli perniagaan kontroversi itu.

"Hanya Chin boleh jawab siapa Mr R... ada sebahagian cuba mengaitkan Mr R itu dengan saya. Dia kononnya cakap Mr R itu saya.
“Individu itu mendakwa ratusan juta saham dipindahkan kepada saya. Saya tidak mempunyai sebarang pemilikan saham. Saya tidak fikir mana-mana MP akan terlibat dengan transaksi saham bernilai ratusan juta" katanya.
Mengulas lanjut, Fuziah menegaskan sebarang dakwaan yang dilemparkan tanpa bukti kukuh tidak seharusnya dilayan sebagai fakta atau dijadikan alat untuk mencemarkan nama baik individu.
"PKR tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas terhadap penyebar fitnah, sama ada mereka berada di dalam mahupun di luar parti.
"Tindakan undang-undang akan dipertimbangkan dan diambil sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah atau tohmahan tanpa sebarang asas yang sahih," katanya lagi.
