Kerajaan dilapor merancang untuk mengurangkan kelayakan bulanan standard bagi petrol RON95 bersubsidi di bawah program Budi95, selepas harga bahan api tanpa subsidi melonjak lagi susulan perang di Iran yang berterusan.
The Edge yang memetik sumber yang tidak dinamakan berkata, bahawa kuota 300 liter sekarang akan dikurangkan kepada 200 liter sebulan, dengan pengumuman kemungkinan dibuat seawal minggu ini.

Kuota baharu bagi bahan api bersubsidi itu, yang berharga RM1.99 seliter, dijangka berkuat kuasa bermula April.
Katanya, sebaik sahaja had 200 liter itu digunakan, pengguna akan tertakluk kepada harga apungan yang ditentukan pasaran.
Kementerian Kewangan semalam mengumumkan bahawa harga runcit bagi petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi meningkat sebanyak 60 sen seliter bermula hari ini (26 Mac hingga 1 April), manakala diesel di Semenanjung Malaysia melonjak lagi 80 sen kepada RM5.52 seliter.

Ini menandakan minggu ketiga berturut-turut kenaikan harga mendadak bagi RON97 dan diesel di semenanjung sejak 11 Mac, ketika kerajaan terus menyelaraskan harga bahan api domestik sebagai tindak balas kepada tekanan berterusan dalam pasaran minyak global.
Kementerian itu juga mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan kawalan ke atas pembelian diesel, terutamanya di Sabah, Sarawak dan Labuan, sebagai sebahagian daripada usaha mengekang ketirisan subsidi dan penyeludupan.

Serentak itu, kerajaan mengukuhkan bantuan sasaran untuk mengurangkan kesan kenaikan kos bahan api, dengan menaikkan pembayaran Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi kepada RM300 pada Mac 2026, berbanding RM200 sebelum ini.
Minyak mentah Brent, yang melonjak kepada hampir AS$120 setong lebih dua minggu lalu pada 9 Mac, hari ini menyusut kepada AS$94.49 setong. Kenaikan itu lebih 33 peratus daripada harga AS$70.84 pada 26 Februari lalu, sebelum perang meletus.
