Filipina pada Selasa menjadi negara pertama mengisytiharkan darurat tenaga nasional sebagai tindak balas kepada gangguan bekalan global yang semakin meruncing akibat konflik di Asia Barat ketika ini, lapor media tempatan.
Presiden Ferdinand Marcos Jr menandatangani perintah eksekutif yang secara rasmi mengisytiharkan kecemasan tersebut dan mengaktifkan tindak balas seluruh negara bagi menstabilkan bekalan tenaga serta melindungi ekonomi daripada kenaikan kos bahan api, lapor GMA News.
Perintah itu memberikan kuasa darurat kepada pihak eksekutif untuk menggantung atau mengurangkan cukai eksais ke atas produk petroleum secara sementara.
Sebagai sebahagian daripada langkah tersebut, kerajaan turut emperkenalkan rangka kerja sokongan komprehensif yang dikenali sebagai Pakej Bersepadu untuk Mata Pencarian, Industri, Makanan dan Pengangkutan atau Uplift.
Ajansi Anadolu melaporkan inisiatif itu bertujuan membantu sektor-sektor kritikal seperti pengangkutan, pertanian serta Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS).
Pegawai kerajaan memaklumkan bahawa pengisytiharan ini membolehkan pendekatan seluruh kerajaan mengurus pengagihan bahan api, dan melaksanakan program bantuan sasaran untuk komuniti yang terjejas.
Negara Asia Tenggara itu memperoleh hampir 26 peratus bekalan tenaganya dari Asia Barat, dengan bil pada tahun 2024 berjumlah AS$16 bilion.
Ketegangan serantau di Asia Barat berterusan sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb, yang setakat ini mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk pemimpin agung ketika itu, Ali Khamenei.
Iran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu berulang kali yang menyasarkan Israel dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera Amerika Syarikat.
Tehran juga mengambil alih kawalan Selat Hormuz, laluan pengangkutan minyak global yang kritikal di mana sebahagian besar bekalan tenaga melalui kawasan itu untuk sampai ke kebanyakan negara Asia.
