Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trump sedia tingkatkan serangan jika Iran enggan terima 'kekalahan'
Diterbitkan:  Mar 26, 2026 11:40 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengutamakan resolusi damai dengan Iran namun bersedia untuk meningkatkan serangan secara mendadak jika Tehran gagal menerima "realiti saat ini," kata Rumah Putih pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.

Washington menangguhkan serangan yang dirancang ke atas loji jana kuasa dan infrastruktur tenaga Iran selepas "perbualan yang produktif" sejak tiga hari lepas, kata jurucakap Karoline Leavitt kepada pemberita.

Beliau berkata jika Iran gagal menerima bahawa ia "telah dikalahkan secara ketenteraan," Trump akan memastikan negara itu diserang lebih keras daripada sebelum ini.

Beliau berkata pentadbiran tidak menganggap kebenaran kongres "perlu" untuk serangan terhadap Iran dan mengakui bahawa tiada garis masa khusus ditetapkan untuk kapal tangki minyak pertama melalui Selat Hormuz, walaupun pegawai sedang berusaha untuk memastikan perkara itu berlaku "secepat mungkin."

Leavitt berkata AS telah memusnahkan lebih 140 kapal tentera laut Iran termasuk hampir 50 periuk api dalam apa yang disifatkannya sebagai "pemusnahan terbesar tentera laut di muka planet ini dalam tempoh tiga minggu sejak Perang Dunia II."

Beliau menambah bahawa pada hujung minggu, AS menjatuhkan beberapa bom 5,000 paun ke atas kemudahan bawah tanah yang digunakan untuk menyimpan peluru berpandu pelayaran antikapal dan pelancar peluru berpandu mudah alih yang diletakkan di sepanjang pantai Selat Hormuz.

Trump, menurut Leavitt, mahu melihat kepimpinan Iran yang "lebih memihak" kepada Washington dan bersedia untuk bekerjasama dengan AS.

Ditanya mengenai laporan televisyen negara Iran bahawa Tehran menolak rancangan 15 perkara AS untuk menamatkan perang, Leavitt berkata rundingan belum terhenti.

AS dilaporkan telah menghantar pelan 15 perkara kepada Iran yang menggariskan langkah-langkah mengenai program nuklear dan peluru berpandu balistik Tehran serta keselamatan maritim di Selat Hormuz.

Iran dilaporkan menolak cadangan itu, menyatakan sebarang gencatan senjata akan berlaku mengikut terma dan garis masanya selain menggariskan lima syarat untuk menamatkan perang, termasuk menghentikan sepenuhnya "pencerobohan dan pembunuhan."

Mengenai kemungkinan rundingan bersemuka, termasuk laporan mengenai jangkaan pertemuan di Pakistan, Leavitt berkata tiada apa yang harus dianggap rasmi sehingga diumumkan secara rasmi oleh Rumah Putih.

AS dan Israel mula menyerang Iran sejak 28 Feb, mengorbankan lebih 1,300 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu Ali Khamenei, mendorong serangan balas Iran di seluruh rantau Asia Barat dan menjejaskan aliran minyak global.

- Bernama- Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS