Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenaikan harga minyak tambah beban rakyat, kata Pemuda Bersatu
Diterbitkan:  Mar 26, 2026 12:16 PM
Dikemaskini: 5:42 AM
1

Ketua Pemuda bersatu (Armada) Muhammad Hilman Idham menyifatkan kenaikan harga minyak yang berkuat kuasa hari ini sebagai satu tekanan baru kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurutnya, kenaikan berkenaan bukan sekadar pelarasan angka, sebaliknya memberi kesan rantaian kepada kos sara hidup termasuk harga makanan, pengangkutan dan barangan keperluan asas.

"Situasi ini juga bakal memacu inflasi yang tinggi sekali gus menekan kuasa beli rakyat. Kesannya, golongan B40 dan M40 yang masih bergelut dengan tekanan ekonomi pasca pandemik kini sekali lagi dipaksa menanggung beban yang semakin berat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam harga diesel diumum melonjak kepada RM5.52 seliter bermula hari ini bagi seluruh Semenanjung, namun harga bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter.

Selain itu harga RON195 dan RON97 masing-masing meningkat kepada RM3.87 dan RM5.15 seliter, namun bagi RON95 bersubsidi (Budi95)) masih kekal pada harga RM1.99 seliter.

Kementerian Kewangan dilaporkan berkata, konflik Asia Barat yang berlarutan telah melonjakkan harga minyak mentah global lebih 40 peratus hingga melepasi AS$100 (RM396.50) setong, sekali gus meningkatkan risiko gangguan bekalan minyak dunia.

Pendapatan Petronas

Mengulas lanjut, Hilman mempersoalkan apakah kenaikan bahan api yang dimumkan kerajaan semata-mata akibat konflik di Asia Barat.

Ini kerana katanya, kenaikan harga minyak dunia turut meningkatkan pendapatan negara khususnya menerusi Petronas.

“Apakah unjuran pendapatan Petronas sekiranya konflik di Asia Barat berterusan ?

"Kerajaan tidak boleh mengharapkan rakyat untuk terus berkorban tanpa memberikan gambaran jelas tentang hala tuju dasar subsidi serta langkah perlindungan yang konkrit," katanya.

Dalam pada itu, Hilman berkata, pihaknya turut bimbang dengan laporan media mengenai kemungkinan pengurangan kuota subsidi RON95 daripada 300 liter kepada 200 liter.

"Jika laporan ini benar, ia merupakan satu malapetaka buat rakyat," tegasnya.

Dia turut menggesa kerajaan menyediakan pelan komprehensif bagi mengawal dan menstabilkan harga diesel memandangkan ia memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan dan logistik.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu memastikan semua ruang penjimatan dalam pengurusan kewangan negara diteroka sepenuhnya sebelum membebankan rakyat.

"Mengapa rakyat perlu dibebankan terlebih dahulu, sedangkan isu ketirisan dan pembaziran masih belum ditangani secara menyeluruh?

"Jelas, pelarasan harga minyak yang berkuatkuasa hari ini membuktikan Kerajaan Madani gagal. Kerajaan harus tampil beri penjelasan segera dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS