Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trump dakwa Iran 'takut' mengaku mahu rundingan
Diterbitkan:  Mar 26, 2026 12:18 PM
Dikemaskini: 4:53 AM
1

Presiden AS Donald Trump pada Rabu menegaskan bahawa Iran sedang menyertai rundingan damai, sambil mendakwa penafian Tehran adalah disebabkan perunding Iran takut dibunuh oleh pihak mereka sendiri.

"Mereka sedang berunding, dan sebenarnya, mereka sangat ingin mahu buat perjanjian.

“Tetapi mereka takut untuk mengatakannya, kerana mereka fikir mereka akan dibunuh oleh rakyat sendiri," kata Trump pada majlis makan malam untuk anggota Kongres daripada parti Republikan.

"Mereka juga takut akan dibunuh oleh kita."

Komen pemimpin AS itu menyusul selepas Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata bahawa "kami tidak berniat untuk berunding."

AFP juga memetik Trump sebagai mengulangi dakwaannya bahawa Iran sedang "hancur" dalam konflik yang kini memasuki minggu keempat, walaupun Tehran masih mengekalkan kawalan berkesan ke atas laluan minyak penting di Selat Hormuz.

Sambil mengecam lawan domestiknya, Trump juga mendakwa Demokrat cuba "mengalihkan perhatian daripada semua kejayaan besar yang kita perolehi dalam operasi ketenteraan ini."

Dalam rujukan mengejek terhadap desakan Demokrat agar dia mendapatkan kelulusan Kongres bagi konflik itu, Trump menambah: "Mereka tidak suka perkataan 'perang', kerana anda sepatutnya mendapat kelulusan, jadi saya akan guna perkataan operasi ketenteraan."

White House sebelum ini berkata bahawa Trump bersedia untuk "mencetuskan neraka" jika Iran tidak mengaku kalah, sambil turut menegaskan bahawa Tehran masih menyertai rundingan.

Media kerajaan Iran sebelum ini memetik seorang pegawai yang tidak dikenali sebagai berkata bahawa republik Islam itu memberikan maklum balas "negatif" terhadap laporan pelan 15 perkara dari Washington.

'Rundingan diteruskan'

"Jika Iran gagal menerima realiti masa kini, jika mereka gagal memahami bahawa mereka sudah tewas dari segi ketenteraan dan akan terus tewas, Presiden Trump akan memastikan mereka diserang lebih hebat daripada yang pernah mereka alami sebelum ini," kata Setiausaha Akhbar Karoline Leavitt kepada pemberita.

"Presiden Trump tidak menggertak dan dia bersedia untuk mencetuskan neraka. Iran tidak sepatutnya tersalah kira lagi."

Ditanya sama ada rundingan dengan Iran telah terhenti, Leavitt menjawab: "Rundingan diteruskan. Ia produktif."

Leavitt enggan menyatakan dengan siapa AS berurusan di Tehran susulan pembunuhan pemimpin agung Ali Khamenei, yang menyaksikan anak lelaki Mojtaba Khamenei menggantikannya tetapi tidak kelihatan di khalayak ramai.

Laporan juga mencadangkan bahawa perantara pentadbiran Trump ialah Mohammad Bagher Ghalibaf, Speaker Parlimen Iran dan antara tokoh bukan ulama paling berpengaruh di negara itu.

White House juga enggan mengesahkan laporan sama ada pegawai kanan AS termasuk Naib Presiden AS, JD Vance, dijangka mengadakan rundingan dengan pihak Iran di Pakistan, yang muncul sebagai perantara utama.

Trump sedang menggerakkan beribu-ribu tentera payung terjun dan tambahan marin ke negara-negara Teluk ketika spekulasi bahawa dia mungkin mengarahkan serangan darat sama ada untuk merampas aset minyak Iran di Teluk atau menawan Selat Hormuz.

Sementara itu White House dikatakan masih berpegang kepada tempoh masa empat hingga enam minggu yang diberikan sebelum ini untuk peperangan tersebut berakhir.

Trump mengumumkan pada Rabu bahawa kunjungannya ke China untuk bertemu Xi Jinping kini dijadualkan semula pada pertengahan Mei, selepas menangguhkannya selama enam minggu untuk mengendalikan konflik tersebut.

"Kami sentiasa menganggarkan kira-kira empat hingga enam minggu (untuk tempoh operasi ketenteraan terhadap Iran), jadi anda boleh mengira sendiri tempoh itu," tambah Leavitt.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS