Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Chin: RM9.5 juta yuran perkhidmatan bukan 'kawtim' kes
Diterbitkan:  Mar 26, 2026 1:35 PM
Dikemaskini: 7:18 AM

Ahli perniagaan Victor Chin menjelaskan bahawa bayaran RM9.5 juta yang didakwa diberikan kepada seorang ahli Parlimen PKR adalah "yuran perkhidmatan" dan bukannya bertujuan untuk menyelesaikan sebarang kes dengan agensi penguatkuasaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Chin menegaskan bahawa bayaran jutaan ringgit itu bukan untuk menutup dakwaan salah laku terhadapnya, sebaliknya dilakukan susulan "tekanan hebat" daripada ahli kumpulan "mafia korporat".

"Bayaran itu bukan dibuat untuk 'kawtim' mana-mana agensi penguatkuasaan, mahupun untuk menutup sebarang siasatan atau menyelesaikan dakwaan salah laku terhadap saya.

"Ia adalah 'yuran perkhidmatan' yang dibuat dalam situasi ekstrem, bagi menghentikan permusuhan terhadap orang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan saya," katanya.

Chin mendakwa dia diberitahu bahawa wang berkenaan akan diserahkan kepada kumpulan mafia korporat tersebut bagi memastikan keselamatan dirinya dan menghentikan gangguan terhadap pihak-pihak yang berkaitan dengannya.

"Saya diberitahu bahawa bayaran RM9.5 juta itu akan diserahkan kepada kumpulan mafia korporat untuk memuaskan hati mereka, menghentikan permusuhan terhadap orang-orang saya, dan memberi saya peluang kedua untuk hidup.

“Bayangkan jika anda berada di tempat saya. Saya berada di bawah tekanan hebat daripada kumpulan mafia korporat,” kata Chin, yang mendakwa dia ditekan dan dipaksa untuk menyerahkan sahamnya secara percuma.

Dia mendakwa bahawa untuk mencapai matlamat tersebut, kumpulan itu menyasarkan ahli keluarganya, rakan perniagaan, syarikat, rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang dianggap mempunyai kaitan dengannya.

Dia menambah bahawa selepas pihak berkuasa membekukan lebih 500 akaun milik individu yang dipercayai dikaitkan dengannya, gaji tidak dapat dibayar serta-merta dan bayaran balik pinjaman tidak dapat dipenuhi.

"Semua individu dan syarikat yang terjejas panik serta mengalami tekanan kewangan dan mental yang ketara secara serentak. Saya tidak mempunyai pilihan. Saya berasa sangat bersalah kerana orang-orang ini menderita hanya kerana mereka mengenali saya atau dikaitkan dengan saya.

"Saya membuat pembayaran tersebut demi melindungi kakitangan dan rakan-rakan saya, dengan harapan dapat mengakhiri kesengsaraan kewangan mereka dengan segera. Pembayaran RM9.5 juta itu hanyalah satu reaksi untuk menghentikan tindakan melampau kumpulan mafia korporat tersebut.

"Kekayaan terbesar dalam hidup bukanlah wang, tetapi ketenangan fikiran. Saya sanggup melakukan apa sahaja demi ketenangan fikiran orang-orang saya," tambahnya.

Chin turut mengulangi gesaannya agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat skandal tersebut, yang turut membabitkan SPRM.

Bulan lalu, Bloomberg menamakan Chin sebagai sebahagian daripada rangkaian ahli perniagaan yang didakwa bersubahat dengan SPRM untuk melakukan pengambilalihan korporat terhadap pesaing.

"Saya berharap ia akan dijalankan secara menyeluruh dan saksama, meliputi semua pihak yang terlibat atau dikaitkan dengan peristiwa ini, dan tidak terhad kepada saya seorang sahaja sebagai individu," katanya lagi.

PKR ancam saman, PN tuntut jawapan

Awal hari ini, PKR mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang menyebarkan fitnah terhadap kepimpinan parti itu, susulan dakwaan Chin bahawa salah seorang anggota parlimen parti itu meminta RM10 juta daripadanya untuk menyelesaikan skandal mafia korporat tersebut.

Fuziah Salleh

Setiausaha agungnya, Fuziah Salleh berkata adalah mudah untuk membuat tuduhan sedemikian, "terutamanya oleh mereka yang terdesak untuk mengalihkan perhatian daripada salah laku atau perbuatan salah mereka sendiri".

Kontroversi itu turut mengheret Menteri Sumber Manusia, R Ramanan, yang dalam satu sidang media semalam menafikan dirinya ada meminta RM10 juta daripada Chin.

Dalam kronologi peristiwa setebal 40 muka surat mengenai dakwaan masalahnya dengan mafia korporat pada Selasa, Chin dilihat membezakan antara anggota parlimen PKR yang tidak dikenali itu dengan seorang tokoh berasingan yang hanya dirujuk sebagai "Mr R," yang digambarkannya sebagai orang tengah yang bekerjasama rapat dengan mafia korporat.

Bagaimanapun, Ramanan mendakwa pihak tertentu yang kononnya dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli cuba menggambarkan dia sebagai individu bernama Mr R tersebut – satu dakwaan yang dinafikannya sekeras-kerasnya.

Sambil menegaskan bahawa dia tidak pernah bertemu Chin, Naib Presiden PKR itu berkata dia akan membuat laporan polis terhadap individu yang membuat tuduhan tersebut yang didakwanya disebarkan oleh "pihak yang tidak bertanggungjawab".

Dalam kenyataan berasingan, Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Takiyuddin Hassan berkata dakwaan Chin amat membimbangkan, bukan sahaja kerana jumlah besar yang terlibat, tetapi juga kerana ia menimbulkan persoalan serius mengenai tadbir urus korporat, penyalahgunaan pengaruh politik, dan integriti institusi negara.

"PN turut menggesa kerajaan, dan khususnya kepimpinan PKR, untuk memberikan penjelasan segera dan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS